Baru-baru ini, ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia, Prof Madya Dr B. Vinod menjelaskan tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) susulan China mencatatkan lonjakan penyakit berkenaan.
Menurutnya lagi, hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID-19 serta virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.
Dalam pada itu, selain hMPV, negara China juga mencatatkan lonjakan penyakit pernafasan bermusim termasuk syncytial respiratory virus (RSV) dan influenza, tiada bukti yang menunjukkan ia boleh menyebabkan ancaman pandemik global seperti COVID-19.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kes jangkitan hMPV serta virus pernafasan lain yang telah wujud sebelum ini dan kedatangan pelancong tidak mungkin mewujudkan patogen baharu atau yang tidak dikenali kecuali pemantauan mengenal pastinya.
“Tidak seperti SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) pada 2020, hMPV tidak menular seluas itu tanpa gejala dan keseriusannya secara umum boleh diuruskan dalam populasi yang sihat,” katanya kepada media Bernama dalam sebuah temubual eksklusif.
Jelasnya, kumpulan berisiko tinggi yang dikenal pasti dijangkiti hMPV termasuk bayi dan kanak-kanak terutamanya di bawah usia setahun, golongan warga emas yang mungkin mempunyai sistem imun lebih lemah, serta individu immunocompromised seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi atau menghidap penyakit kronik.
“hMPV, COVID-19 (yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2) dan influenza ialah virus pernafasan tetapi berbeza dari segi tahap keseriusan dengan COVID-19 dan influenza (selesema) bermula dari tahap ringan hingga teruk”
“Sebaliknya, hMPV secara umumnya hanya menyebabkan penyakit pernafasan ringan hingga sederhana. Walau bagaimanapun, bagi golongan berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan keadaan yang teruk seperti bronkitis atau radang paru-paru. Jangkitan hMPV lebih kerap berlaku pada penghujung musim sejuk dan musim bunga, sama seperti influenza,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai gejala hMPV, jangkitan virus ini biasanya menyerupai selesema biasa yang mungkin termasuk batuk, demam, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, nafas berbunyi, sesak nafas dan kadangkala ruam.
Ads
Selain itu, hMPV merebak terutamanya melalui sentuhan langsung dengan rembesan berjangkit seperti air liur, titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin dan/atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata sebelum mencuci tangan.
Kredit: Bernama
Sementara itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan hMPV, Dr Vinod menasihatkan orang ramai supaya kerap mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat atau menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol serta mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dibasuh.
“Tutup mulut serta hidung dengan tisu atau lengan apabila batuk atau bersin, bersihkan serta nyahkuman objek dan permukaan yang sering disentuh secara berkala serta elakkan kontak rapat dengan orang lain apabila mengalami gejala pernafasan untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.
Ads
Sebagai langkah pencegahan tambahan, Dr Vinod mencadangkan agar pihak berkuasa kesihatan mendidik orang ramai mengenai hMPV, gejalanya, cara penyebaran, langkah pencegahan, serta memastikan kemudahan kesihatan bersedia dengan baik untuk menguruskan peningkatan kes jangkitan pernafasan, termasuk bekalan dan protokol yang mencukupi.
Terdahulu, pada Sabtu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, data Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan makmal hospital kementerian menunjukkan terdapat 327 sampel diuji positif hMPV tahun lepas, meningkat daripada 225 pada 2023.
Walau bagaimanapun, KKM berkata jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerana ia bukan penyakit baharu.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Anak yatim piatu kerja kilang kini bergelar mahasiswi UUM, itulah kisah penuh inspirasi seorang gadis tabah bernama Nur Arissa binti Abdul Rahman, 20 tahun, yang membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan penghalang untuk menggapai cita-cita.
Kehilangan Sejak Kecil, Hidup Dalam Kekurangan
Menurut perkongsian Universiti Utara Malaysia, Arissa berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Hidupnya mula diuji seawal usia sembilan tahun apabila ibunya, Salmah binti Harun, meninggal dunia akibat kanser ovari. Belum sempat luka itu sembuh, ayah tirinya pula pergi menghadap Ilahi ketika Arissa berusia 17 tahun. Sejak itu, dia dan kakaknya hidup sebagai yatim piatu, serba kekurangan namun tetap tabah.
Foto: Arrisa bersama cikgu yang sangat banyak membantunya, Cikgu Rahimah binti Ayut.
Di sebalik kepayahan hidup, Arissa tidak pernah menyerah. Dengan keputusan STPM PNGK 3.58, dia layak melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kerja Kilang Demi Masa Depan
Selepas tamat STPM, Arissa mengambil keputusan berhijrah ke Klebang, Ipoh. Di sana, dia bekerja di sebuah kilang sebagai pemeriksa cip. Hampir enam bulan dia bertahan, mengikat perut dan menabung demi mengumpul wang untuk yuran pengajian.
“Alhamdulillah suasana kerja baik. Saya kerja hanya untuk sambung belajar. Itu saja tujuan saya,” katanya penuh kesungguhan.
Doa Dijawab, Dermawan Hulur Bantuan
Perancangannya mudah, tunggu gaji dan daftar masuk UUM pada bulan Oktober. Namun, Allah lebih mengetahui. Sehari sebelum pendaftaran pelajar baharu, kisah Arissa sampai ke pengetahuan pihak universiti menerusi bekas gurunya, Cikgu Rahimah.
Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UUM segera mengambil tindakan. Lebih istimewa, Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, sendiri turun ke Ipoh untuk menjemput Arissa ke Sintok.
Tidak lama selepas itu, seorang wanita dermawan dari Negeri Sembilan tampil membiayai keseluruhan pengajiannya. Beberapa lagi penyumbang turut menghulurkan sokongan awal. Semua bantuan ini difasilitasi HEPA UUM, yang prihatin terhadap kisah di sebalik pencapaian seorang mahasiswa.
Inspirasi Buat Semua Remaja
Bagi Arissa, bantuan ini bukan sekadar wang. Ia menjadi bukti bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya berjuang sendirian. Air mata yang dulunya gugur kerana rindu dan duka, kali ini mengalir sebagai tanda syukur.
Kisahnya membuktikan bahawa walaupun diuji kehilangan insan tersayang dan kesempitan hidup, impian tidak boleh dikuburkan. Dengan usaha, doa, dan sedikit keajaiban, setiap remaja mampu mengubah takdir mereka.
Buat anak muda di luar sana, jadikan kisah Arissa sebagai pembakar semangat: jangan pernah berhenti bermimpi, kerana setiap usaha pasti akan menemukan kita dengan pintu rezeki yang tidak disangka.
Pelakon terkenal, Rita Rudaini meluahkan rasa kecewa dan marah dengan perkembangan siasatan kes kematian tragis pelajar SMKA Tun Datu Mustafa, Allahyarham Zara Qairina, yang dipercayai menjadi mangsa buli.
Menurut Rita, walaupun insiden menyayat hati itu telah berlaku beberapa hari lalu, namun masih tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Menerusi satu hantaran tegas di media sosial, beliau menggesa saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Sudah hari ke berapa dah ni, seorang (suspek) pun tiada ditahan reman lagi ke? Susah sangat nak cari?
“Cekup dulu warden, pengetua dan guru-guru, siasat! Waktu macam ini tak nak pula mengaku Zara di bawah jagaan korang,”tegasnya.
Tambah Rita lagi, keadilan perlu ditegakkan dan mereka yang terlibat secara langsung atau cuai dalam kes ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Dia turut menyeru agar semua saksi, sama ada pelajar mahupun guru, supaya tidak takut untuk menyatakan perkara sebenar.
“Mungkin hari ini nasib ibu Zara, suatu hari akan kena dekat anak korang pula. Tolong jadi manusia!
“Wahai pelajar dan guru-guru, Allah sedang menguji kamu untuk bercakap benar atau tidak,”katanya lagi.
Sebelum ini, Datuk Nurulhidayah iaitu anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kes tersebut.
Beliau mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa suspek sedang ‘dilindungi’ oleh pihak tertentu.
Walau bagaimanapun, pihak polis Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, memandangkan kes ini masih dalam siasatan yang giat dijalankan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, negara Albania mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama di dunia melantik seorang menteri yang dihasilkan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) dan menteri maya ini diberi nama Diella, yang membawa maksud cahaya matahari dalam bahasa Albania.
Menurut Perdana Menteri Albania, Edi Rama mengumumkan perkara itu dalam perhimpunan Parti Sosialis di Tirana pada Khamis lalu. Beliau memperkenalkan Diella sebagai anggota kabinet terbaru yang akan bertanggungjawab menguruskan semua urusan perolehan awam negara tersebut.
“Diella adalah anggota pertama yang tidak wujud secara fizikal, tetapi diwujudkan secara maya oleh kecerdasan buatan,” kata Rama.
Jelasnya, semua keputusan berkaitan tender akan dipindahkan keluar dari kementerian dan diletakkan sepenuhnya di bawah kendalian Diella, yang digelar sebagai ‘pelayan perolehan awam’.
Dalam pada itu, proses ini akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan setiap tender awam bebas daripada unsur rasuah dan telus sepenuhnya.
Tegasnya, ini bukan merupakan sains fiksyen, tetapi tanggungjawab Diella. Selain itu, beliau juga mencerminkan keyakinan beliau terhadap potensi teknologi dalam meningkatkan integriti pentadbiran negara.
Sekadar info, Diella bukanlah asing bagi rakyat Albania kerana beliau sebelum ini sudah diperkenalkan melalui platform digital e-Albania, yang membolehkan rakyat mengakses hampir semua perkhidmatan kerajaan secara dalam talian. Diella juga mempunyai avatar berbentuk seorang wanita muda berpakaian tradisional Albania.
Sementara itu, menteri maya itu akan berperanan menilai tender serta berkuasa untuk mengambil bakat dari seluruh dunia, sekaligus membuka peluang baharu dan mengurangkan kekangan birokrasi dalam pentadbiran.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!