Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikenali sebagai Blake mati akibat kanser limfoma.
Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) itu terbabit dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan mencari mangsa lemas.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Facebook rasminya memaklumkan, Blake dilaporkan mengidap kanser limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu sempat mengikuti raptai sempena sambutan hari kebangsaan yang lalu.
Ads
“Selepas disahkan mengidap barah, Blake sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing berkenaan.
“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” katanya.
Ads
Menurutnya, hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak serta tiada harapan untuk dipulihkan.
“Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang semalam (18 September 2023) dan disahkan sudah tiada hari ini.
“Anjing Pengesan Blake adalah anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017,”katanya.
Untuk makluman, Blake banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun di Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Remaja lelaki bernama Muhammad Zulfikal Asmadi, 14 ini menjadi bualan ramai setelah tindakannya yang nekad menongkah arus deras dan ombak besar kira-kira 100 meter dari pantai demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini pada Jumaat lalu.
Menurut remaja tersebut dia secara kebetulan bersama beberapa penduduk kampung berada di bangsal nelayan berdekatan lokasi kejadian sebelum diberitahu mengenai insiden itu.
“Sebaik tahu ada mangsa lemas, saya dan penduduk bergegas ke pantai. Dari jauh saya nampak budak perempuan itu tenggelam timbul beberapa kali. Dalam situasi cemas itu saya hanya fikir satu sahaja iaitu ingin menyelamatkan nyawa dia.
“Pada mulanya, saya nekad untuk meredah ombak, namun selepas ternampak sampan yang ditinggalkan nelayan saya terus ambil sampan itu dan mendayung mengharungi ombak sejauh 100 meter dari pantai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Penunjuk, di sini, pada Ahad.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal itu berkata, sebaik menghampiri mangsa, dia meminta kanak-kanak itu berpaut pada perahu sementara dia mengayuh sehingga ke tepi pantai.
“Disebabkan perahu yang saya gunakan itu bersaiz kecil, saya tidak berani bawa kanak-kanak itu naik ke atas perahu kerana bimbang ia terbalik. Saya minta dia bergayut dan bertahan sehingga ada beberapa individu lain yang turut sama memaut kanak-kanak itu,” ujarnya.
Anak sulung dari empat adik-beradik itu berkata, dia berasa lega dan bersyukur kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak tersebut memandangkan ketika itu ombak begitu kuat.
Muhammad Zulfikal memberitahu, dia mahir berenang dan mengendalikan sampan serta bot kerana sering mengikut bapanya, Asmadi Ripin, 42, yang juga seorang nelayan turun ke laut menangkap ikan sejak berusia 12 tahun.
Sementara itu, Asmadi berkata, dia bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas anaknya dan mangsa lemas berjaya diselamatkan. Rakaman video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut tular di media sosial sejak Ahad.
Tindakan berani remaja itu mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji keberaniannya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejak semalam ramai individu menularkan di media sosial masing-masing kisah sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil menaiki motosikal menuju ke Kuala Perlis untuk balik ke Langkawi dan memulakan perjalanan dari Puchong.
Bila ditahan pihak berkuasa dalam sekatan jalan raya, suami menunjukkan surat buang kerja dari majikan dan dia sudah putus punca pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengambil keputusan nekad pulang ke kampung di Langkawi.
Menitis air mata petugas menahan sebak melihat kepayahan keluarga muda tersebut dengan anak kecil yang masih belum mengerti.
Ternyata gambar yang digunakan untuk kisah suami isteri itu sama sekali tiada kaitan dengan artikel tersebut dan Tahla Sebri , individu yang menumpangkan isteri dan anak kecil itu sehingga ke Cherating pada Januari lalu ketika ternampak pasangan suami isteri ini berhenti di RnR Temerloh berkongsi kisah sebenar di sebalik gambar yang tular.
Ya lah, tak nak orang salah sangkakan. Lagi pun gambar itu tiada kaitan pun dengan kes suami isteri yang balik ke Langkawi tu.
Gambar ini digunakan sebagai gambar hiasan kisah suami isteri balik kampung sebab dibuang kerja
INI KISAH SEBENARNYA..
Perkongsian cerita ini ditulis oleh pemiliknya pada 31 Januari.
Alhamdulillah sampi jugak di teratak kecil kami di Kerteh.
Hari ini Allah sayang kat kami sekeluarga. Allah beri kami peringatan dan pengajaran yang sangat mendalam pada diri kami sekeluarga. Selalu situasi macam ni kami baca di facebook. Hari ini Allah beri kami peluang ni. Terima Kasih Ya Allah.
Hari ini habis la tempoh kami bercuti. Maka kami pun berangkat pulang ke Kerteh. Sampai di RnR Temerloh, kami berhenti rehat dan mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan ke Kerteh. Sebelum meneruskan perjalanan aku ke Shell untuk mengisi petrol pula.
Sedang mengisi petrol aku perasan adasepasang mata cantik sangat sedang memerhati aku mengisi minyak. Aku paling ke kiri dan ternampak seorang bayi tersangatlah comel sedang memerhatikan aku. Bayi tersebut didukung ibunya yang sedang menunggu sang suami mengisi minyak motosikal mereka.
Aku lihat jam di tangan menunjukkan jam 6.20 pm. Dalam hati terdetik ish dah lewat petang ni. Ke mana agaknya destinasi mereka sekeluarga. Habis mengisi minyak aku baru nak menegur mereka tetapi mereka telah selesai mengisi minyak dan meneruskan perjalanan sebelum sempat aku menegur.
Isteriku menegur perkara sama pada aku. Katanya comel la anak famili tadi. Kesiannya. Dah lewat petang masih menunggang motorsikal dengan bayi. Lalu isteriku memintak aku cari keluarga tadi dan perhatikan mereka kot-kot dia orang akan ke susur keluar seterusnya dengan harapan mereka hampir ke destinasi.
Aku sambung memandu dari RnR dan mataku melilau mencari pasangan tadi dengan harapan dapat bertemu. Aku ikut perlahan-lahan dan mendapati mereka tidak keluar di susur keluar berhampiran tadi. Lalu aku pun memandu di sebelah mereka. Kemudian aku membuka tingkap dan menegur sang suami yang sedang khusyuk menunggang motosikal. Aku bertanyakan destinasi mereka sekeluarga.
Jawapan yang diberi sang suami tadi sangat mengejutkan kami sekeluarga. Mereka bersama bayi ingin pulang ke kampung di CHERATING! Jam menunjukkan 6.35 pm dan kami masih di Temerloh. Isteriku meminta aku bagi tahu mereka supaya benarkan kami menumpangkan isteri dan bayi mereka hingga ke susur keluar Jabor.
Pada mulanya sang suami menolak pelawaan kami. Aku kembali meneruskan perjalanan. Tapi aku masih tidak memandu jauh dari mereka. Hatiku rasa tak sanggup melihat bayi mereka bermalaman sementara menunggu tiba ke Cherating. Aku memperlahankan kenderaan dan cuba memujuk sang suami tadi sekali lagi. Setelah puas saya memujuk akhirnya sang suami setuju membenarkan kami menumpangkan isteri dan bayi beliau bersama kami.
Alhamdulillah lega dan syukur sangat sebab sang suami setuju membenarkan kami menumpangkan anak dan isteri beliau. Aku memberitahu pada suami tadi yang aku akan tumpangkan sampai ke susur Jabor.
Dalam perjalanan aku mendengar isteriku berborak dengan ibu bayi tadi. Nama ibu kepada baby comel tadi Fatin. Bekerja sebagai seorang Tele Marketing di salah sebuah bank tempatan di Cheras. Sang ayah tadi bernama Badrul Amin, seorang tukang masak di Cheras jugak kalo tak silap. Sang ibu berumur 20 tahun! Manakala sang ayah berumur 21tahun! Allahu mudanya mereka. Baby comel mereka bernama Fakhrullah Iman kalo aku tak silap. Sedap namanya secantik rupanya.
Mereka baru sahaja memulakan hidup dan masih membina kehidupan di kota metropolitan yang besar. Apaabila ditanya kenapa naik motor ke Cherating, sang isteri memberitahu bahawa ayah mertuanya diserang strok. Jadi mereka sekeluarga segera balik untuk menjenguk ayah yang sakit. Mereka masih belum mempunyai kereta menyebabkan mereka menunggang motosikal sahaja untuk pulang menjenguk ayah yang sakit. Allahu serius sebak bila dengar perbualan Fatin dan isteriku…
Aku pandu kereta seperlahan yang boleh supaya sang ayah tadi masih melihat kereta kami. Dalam perjalanan tiba-tiba hujan turun. Hatiku terdetik, Alhamdulillah kami tumpangkan anak dan isterinya tadi. Bayangkan kalau kita orang tak tumpngkan dia orang. Apa la nasib baby comel tadi? Ish memang tak boleh nak bayanng la. Hati ni memang sayu bila tengok baby comel tu perhati kat aku tadi.
Aku akhirnya bagitaw kat Fatin tadi yg aku tumpangkn dia orang sampai la ke Cherating. Memula dia menolak tapi aku berkeras jugak dengan beri alasan dah Maghrib dan keadaan yang hujan. Lalu Fatin setuju dengan kami.
Sampai di tol Jabor, aku berhenti tepi dan memberitahu pada si suami yang kami akan hantar anak dan isterinya hingga ke destinasi. Aku beri alasan yang sama pada Fatin tadi dan si suami bersetuju dengan cadanganku.
Alhamdulillah kami sekeluarga dan mereka sekeluarga selamat sampai ke CHERATING jam 8.30 pm. Bayangkan macam mana gelap jalan sepanjang perjalanan bermula dari Kuantan. Susur keluar Jabor, jalan pintasan Kuantan (Gebeng). Memang tak boleh bayang kalau kami tak tumpangkan Fatin dan babynya tadi. Mesti dia orang belum sampai lagi pada masa tu sebab si suami mesti tak bawak motor lelaju sebab ada baby dia orang sekali tadi.
Kami tunggu sehingga mereka betul-betul selamat memulakan perjalanan ke rumah ayahnya tadi. Allahuakbar terima kasih sangat Allah sebab hantar mereka sekeluarga pada kami tadi. Kami rasa kami susah tetapi ada lagi kelurga yang susah dan sedikit pun tiada tanda kesal atau mengeluh pada raut wajah mereka. Kuatnya hati mereka.
Ya Allah murahkan dan limpah ruahkan la rezeki mereka sekeluarga. Jadikan kehidupan mereka senang dan selesa di kemudian hari. Terima kasih kerana memberi peringatan pada kami sekeluarga…
Amin Ya Rabbal ‘Alamin..
TALHA SEBRI.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika ingin memilih kes melibatkan mangsa maut yang paling diperkatakan sepanjang tahun 2022 buat masa ini, ternyata tiada kes yang boleh mengenepikan kematian aktres Thailand, Nida Tangmo Patcharaveerapong.
Kematian aktres tersebut bukan saja meraih perhatian peminat di Thailand, malah warganet di Malaysia serta Indonesia juga menjadi menjadikan platform media sosial sebagai ‘kem’ untuk melaungkan tuntutan agar kematian tersebut mendapat pengadilan sejak bulan Februari lalu.
Pelbagai teori dimainkan oleh akaun media sosial selagi siasatan dijalankan. Andaian dan bukti tersebut kemudianya dikongsikan ke platform-platform berbeza hinggakan ramai percaya Tangmo menjadi mangsa percubaan bunuh oleh lima orang ahli bot yang dinaikinya di Sungai Chao Phraya pada malam kejadian.
Andaian tersebut bertambah kuat setelah ibu mendiang, Panida Siriyuthayothin inginkan agar ujian autopsi kedua dilakukan ke atas jasad Tangmo selepas beliau tidak berpuas hati dengan keputusan autopsi pertama.
Selepas tempoh siasatan ditamatkan pada minggu ini, akhirnya pihak polis Thailand memaklumkan bahawa pegawai penyiasatan telah menetapkan kematian aktres itu berlaku kerana terjatuh dari bahagian bot laju dan badannya terkena kipas bot sebelum dia lemas di sungai Chao Phraya.
Manakala, lima orang yang berada di dalam bot tersebut pula akan didakwa atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kematian, memberikan kenyataan palsu kepada pihak berkuasa dan menyembunyikan bukti bagi membantu pesalah.
Selain mereka berlima, peguam, Peam Em Thamtheerasri turut didakwa oleh polis kerana menyembunyikan bukti bagi membantu pesalah dan meminta pihak lain membuat kenyataan palsu.
Beikut merupakan dakwaan yang dikeluarkan oleh Polis Thailand ke atas lima ahli bot utama. Mereka menaiki bot laju bersama Tangmo pada 24 Februari lalu sewaktu mangsa terjatuh dari bot dan lemas :
Idsarin Gatick Juthasuksawa (Pengurus Tangmo)
Dakwaan: Menyembunyikan bukti untuk membantu pesalah dan memberikan kenyataan palsu.
Tanupat Por Lerttaweewit (Pemilik Bot Laju)
Dakwaan: Memandu bot secara cuai hingga menyebabkan kematian, memandu bot tanpa lesen, menjatuhkan objek ke dalam sungai, memberi kenyataan palsu, gagal melampirkan nama bot dan memandu bot yang telah tamat tempoh pendaftaran.
Nitas Jo Kiratisoothisathorn
Dakwaan: Menyembunyikan bukti untuk membantu pesalah dan menjatuhkan objek ke dalam sungai.
Phaiboon Robert Trikanjananun (Pemandu Bot Laju)
Dakwaan : Melakukan kecuaian menyebabkan kematian, memandu bot tanpa lesen, menggunakan bot dengan pendaftaran tamat tempoh dan menjatuhkan objek ke dalam sungai.
Wisapat Sand Manomairat
Dakwaan : Melakukan kecuaian hingga menyebabkan kematian.
*
Keputusan telahpun dibuat oleh pihak berkuasa Thailand. Diharap kita semua boleh menerimanya dengan hati terbuka dan tiada lagi spekulasi liar bertebaran selepas ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!