Dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam bidang animasi dan penerbitan menjadikan gadis muda ini tidak asing lagi dengan dunia seni.
Nur Ellysha Rashlina Mohd Rashdan, 12, atau lebih mesra disapa sebagai Ellysha, mewarisi semangat kreatif bapanya, Mohd Rashdan Ramlee, pengasas kepada siri animasi 3D popular Supertots dan SuperSquad yang mencipta fenomena sekitar awal 2000-an.
“Saya memang dah biasa dengan suasana produksi sejak kecil sebab selalu ikut ibu dan adik-beradik ke acara yang melibatkan Supertots dan SuperSquad.
“Dari situ, saya mula rasa seronok dan timbul keinginan untuk cuba sendiri,” kongsinya kepada Bernama.
Malah, Ellysha turut mendedahkan bahawa beberapa watak utama dalam siri animasi tersebut diinspirasikan daripada nama dan karakter adik-beradiknya sendiri, menjadikan karya tersebut dekat di hati mereka sekeluarga.
Langkah Awal Dalam Dunia Seni Persembahan
Minat Ellysha dalam seni bukanlah sekadar omongan kosong. Sejak usia empat tahun, beliau sudah pun mengikuti kelas tarian dan teater di bawah bimbingan ratu irama tradisional dan etnik kreatif, Noraniza Idris.
Anak bongsu daripada empat beradik ini turut diberi peluang menyumbangkan suara bagi beberapa projek alih suara seperti iklan tanggungjawab sosial LPPKN dan kempen kesedaran pandemik COVID-19 oleh Yayasan Hasanah.
Ads
“Sejak itu, saya mula terima lebih banyak tawaran. Antaranya, saya berlakon dalam teater muzikal Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu tahun ini,” ujarnya.
Lebih membanggakan, Ellysha juga aktif sebagai ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pernah mewakili negara ke Bangkok, Thailand, tahun lalu.
Cemerlang Dalam Sukan & Akademik
Bukan hanya seni dan aktiviti kemasyarakatan, Ellysha juga aktif dalam sukan lompat tali dan pernah mewakili Malaysia ke Singapore National and Open Jump Rope Championship 2024 untuk kategori bawah 12 tahun.
“Saya suka lompat tali sebab ia boleh dilakukan secara individu dan juga berkumpulan.
Ads
“Sekarang saya berlatih tiga hingga empat kali seminggu untuk mantapkan kemahiran.
“Insya-Allah, saya akan mewakili Malaysia di Queen’s Cup Jump Rope Thailand Open 2025 dan Singapore National Jump Rope 2025 pada hujung tahun ini,” katanya yang juga ahli GB Rope Skipping Academy dan Persekutuan Lompat Tali Malaysia.
Di sebalik jadual yang padat, Ellysha tetap mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang dengan menghadiri tuisyen dan kelas tambahan secara konsisten.
“Kadang-kadang memang penat sebab siang sekolah, malam pula ada latihan atau tuisyen, tapi saya dah biasa. Kalau kita suka dan ada matlamat, kita akan usaha juga,” katanya penuh yakin.
Di sekolah, Ellysha juga aktif sebagai pengawas Pembimbing Rakan Sebaya dan Pengerusi Kelab Kebudayaan.
Ads
Impian Untuk Terus Berjaya Dalam Bidang Seni
Apabila ditanya mengenai perancangannya, Ellysha berkongsi harapan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Seni Malaysia Perak, sebelum melanjutkan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang pendidikan seni teater.
“Kalau kita ada minat, jangan takut untuk mencuba. Kita kena yakin dengan diri sendiri dan jangan cepat putus asa.
“Kalau kita usaha, insya-Allah akan ada jalan,” katanya yang amat bersyukur kerana sentiasa menerima sokongan penuh daripada keluarga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER & FOTO: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mengejar cita-cita dan menggendong pengajian dalam masa yang sama bukanlah perkara yang mudah. Namun dengan keazaman yang tinggi, tiada apa yang mustahil. Elok percaturan dan terus berusaha menjadi satu azimat untuk cemerlang.
Inilah yang terjadi kepada Qila Shahirah atau nama sebenarnya Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman,24, juara pertandingan Ratu Hijabista yang dianjurkan oleh Majalah Hijabista, Ideaktiv dan Astro suatu ketika dahulu.
Biarpun menceburi pertandingan ketika masih berada di semester tiga pengajian sewaktu menyertai pertandingan dia tidak mengabaikan pelajaran dan tetap meneruskan pengajian dalam pada masa yang sama.
Pengorbanannya membuahkan hasil apabila dia berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA dan menjadi penerima Anugerah Naib Canselor atas kecemerlangan akademik meraih Anugerah Dekan setiap semester.
Usai kemenangannya sedikit demi sedikit anak jati Kelantan ini mula menghiasi kaca televisyen dan juga program-program digital sebagai pengacara.
“Semalam bermacam-macam perasaan ada, bahagia, sebak dan sedih bercampur. Hanya Allah tahu bagaimana Sukanya untuk saya menyeimbangkan di antara pengajian dan kerja.
“Selepas menang Ratu Hijabista, bermulalah kerjaya dalam bidang industri, tidak semudah yang orang sangkakan. Kalau ditanya kepada saya berbaloi atau tidak, Sekarang saya akan katakan yang ia berbaloi kalau anda mengutamakan apa yang harus diutamakan. Perkara yang paling penting akan datang dahulu tidak kira apa pun.
“Doing assignments while working, sleepless night, no energy. Finally, I made it! Jumpa dalam industri semua jaga diri!” ujarnya dalam satu hantaran di Instagram.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemain golf muda negara, Muhammad Afham Othman, terus membuktikan bahawa impian besar dan kerja keras adalah kunci kejayaan.
Pemain berusia 13 tahun dari Gua Musang ini bercita-cita untuk meraih kedudukan lima terbaik di Piala Dunia Remaja 2025 yang akan berlangsung di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada 3 hingga 5 Januari ini.
Walaupun masih muda, semangat dan tekad Muhammad Afham untuk berjaya sudah jelas kelihatan. Dia akan berlepas ke Florida pada hari Rabu ini bersama bapanya, Othman Ismail dan jurulatihnya, Dinie Zakie.
Kejayaan besar Muhammad Afham bermula apabila dia layak beraksi di Piala Dunia Remaja setelah meraih tempat kedua di Kejohanan Golf Remaja Thailand pada bulan lepas.
“Saya tidak sangka menjadi lima yang terbaik sehingga layak ke Florida kerana mengikut perancangan asal, penglibatan di kejohanan itu (di Thailand) hanyalah untuk menimba pengalaman,” katanya dengan penuh rasa rendah hati.
Bagi Muhammad Afham, peluang ke Florida adalah sesuatu yang sangat berharga dan penuh bermakna. Selain itu, dia bersyukur kerana impian untuk ke AS akhirnya tercapai melalui sokongan dan sumbangan beberapa pihak.
Sebelum ini, atlet muda berkenaan terpaksa berfikir panjang untuk menyertai kejohanan ini memandangkan kos perjalanan yang tinggi.
Sebagai anak ketujuh daripada sembilan beradik, Muhammad Afham mula aktif bermain golf pada usia 11 tahun. Dia menganggap pencapaiannya ini sebagai hasil daripada sokongan keluarga dan latihan yang tidak kenal penat.
Kini, Muhammad Afham amat teruja dan telah membuat persediaan rapi untuk memberikan aksi terbaiknya di kejohanan yang bakal berlangsung.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Empat pelajar Malaysia dilaporkan telah diterima untuk melanjutkan pengajian mereka di Harvard College yang merupakan sebuah institut pengajian sarjana muda Universiti Harvard.
Pelajar-pelajar yang terdiri daripada Bryan Lim, Victor Ngow, Thamini Vijeyasingam dan Elisa See telah membuktikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan mereka, serta telah menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan pencapaian yang dilakukan.
Berikut adalah info ringkas tentang mereka:
Bryan Lim
– Latar belakang pendidikan : Pelajar IGCSE di Garden International School.
– Bidang Pengajian Pilihan: Sains Komputer dan Matematik Gunakan.
– Pencapaian: Perwakilan Malaysia dalam Olimpiad Matematik dan Sains Komputer, serta aktif dalam sukan bola keranjang junior.
Victor Ngow
– Latar belakang pendidikan : Lulusan Sijil Pelajarn Malaysia dari SMK Damansara Utama.
– Bidang Pengajian Pilihan: Sains Alam Sekitar dan Dasar Awam, atau Kejuruteraan Alam Sekitar.
– Pencapaian: Mencipta sel biobahan api mikro untuk pertandingan kimia dan terlibat dalam NGO pendidikan, Project ID.
Thamini Vijeyasingam
– Latar belakang: Tamat pendidikan menengah di ELC International School.
– Bidang Pengajian Pilihan : Ekonomi dan Falsafah.
– Pencapaian: Jalani latihan amali di Free Malaysia Today dan KAF Investment Bank, aktif dalam debat dan pertandingan Model United Nations.
Elisa See
– Latar belakang pendidikan: Graduan Marlborough College Malaysia.
– Bidang Pengajian Pilihan: Sains Politik dan Ekonomi, atau Sains Komputer.
– Pencapaian: Jalani latihan amali di pelbagai organisasi termasuk pejabat Adun Subang Jaya Michelle Ng dan gerakan Undi 18.
Harvard College menerima sejumlah kecil pelajar antarabangsa setiap tahun, dengan hanya 15.4% pelajar antarabangsa dari 94 negara yang terpilih untuk menyertai kumpulan graduan 2028.
Penerimaan empat remaja Malaysia ini merupakan satu kejayaan besar kerana kadar penerimaan keseluruhan sebanyak 3.59% dari jumlah pemohon yang sangat besar, iaitu 54,008 orang.
Universiti Harvard memiliki reputasi yang sangat tinggi, terutamanya dalam QS World University Rankings 2024 di mana ia duduk di kedudukan keempat. Ini menjadikannya salah satu institusi pendidikan tertua dan paling berprestij di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Insiden remaja maut ditembak di Keningau mengejutkan negara. Ketahui kronologi kejadian, hasil siasatan polis dan pengajaran penting buat remaja serta ibu bapa mengenai bahaya senjata buatan sendiri.