Senaman pilates kini semakin popular dalam kalangan remaja yang mula cakna tentang kesihatan dan kecergasan.
Dengan gaya senaman yang tenang tetapi padat, pilates bukan sahaja membantu memperbaiki postur tubuh, malah meningkatkan kekuatan otot teras serta kesedaran minda terhadap tubuh badan. Namun, di sebalik trend ini, tak ramai yang tahu tentang sejarah asal-usulnya yang cukup unik dan mengagumkan.
Bermula Dari Seorang Lelaki Bernama Joseph Pilates
Nama “pilates” sebenarnya diambil sempena pengasasnya, Joseph Hubertus Pilates. Beliau dilahirkan di Jerman pada tahun 1883 dan merupakan seorang kanak-kanak yang sering sakit. Namun, kelemahan itu tidak menghalangnya untuk mendalami pelbagai kaedah senaman dari pelbagai budaya termasuk bina badan, gimnastik, yoga, tai chi, dan seni bela diri.
Sumber gambar: Life Magazine
Joseph percaya bahawa gabungan teknik Timur dan Barat mampu menghasilkan sistem senaman yang lengkap bukan hanya fokus kepada fizikal, tetapi juga kestabilan emosi dan kekuatan mental. Hasil daripada pencariannya, lahirlah satu sistem senaman yang beliau namakan Controlology, yang kelak dikenali di seluruh dunia sebagai Pilates.
Dibangunkan Ketika Dalam Tahanan Perang
Semasa Perang Dunia Pertama, Joseph telah ditahan di Britain kerana statusnya sebagai warga Jerman. Di situ, beliau bertindak sebagai jururawat dan mula mengembangkan teknik senamannya. Dengan menggunakan katil hospital dan spring, beliau membantu pesakit yang terlantar agar masih boleh melatih otot mereka. Dari sinilah tercetusnya idea alat ‘Pilates Reformer’ sebuah mesin latihan yang masih digunakan hingga ke hari ini dalam kebanyakan studio pilates.
Selepas perang tamat, Joseph kembali ke Jerman sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1926. Di New York, beliau membuka studio senaman bersama isterinya Clara dan mula mengajar teknik Controlology kepada umum, termasuk penari terkenal seperti Martha Graham dan George Balanchine.
Ads
Gabungan Timur & Barat Dalam Satu Sistem Senaman
Apa yang menjadikan pilates begitu unik ialah pendekatan menyeluruh yang merangkumi prinsip pergerakan dari budaya Timur dan kecergasan moden dari Barat. Joseph mempelajari seni postur daripada yoga, prinsip keseimbangan dari tai chi, dan kekuatan kawalan daripada latihan Rom serta Yunani kuno. Semua elemen ini disatukan dalam rutin yang fokus kepada enam prinsip utama: kawalan, tumpuan, pusat (core), ketepatan, pernafasan dan aliran pergerakan.
Beliau juga menekankan bahawa minda dan tubuh tidak boleh dipisahkan. “Mindalah yang sebenarnya membina tubuh badan,” katanya, memetik falsafah pemikir Jerman Friedrich Schiller.
Pilates Hari Ini
Selepas kematian Joseph Pilates pada tahun 1967, kaedah senamannya terus berkembang dan diajarkan oleh anak muridnya di seluruh dunia. Di Malaysia, pilates mula mendapat tempat sekitar tahun 2010 dan menjadi semakin popular selepas pandemik COVID-19, apabila ramai mula memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal dan mental secara seimbang.
Kini, studio pilates semakin banyak muncul, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Antara studio yang popular ialah Liberté Pilates, Urban Spring, Tone Reformer dan La Pilates.
Ads
Walaupun ada pergerakan yang menyerupai yoga, beberapa pandangan daripada ahli agama mengesahkan bahawa pilates tidak mengandungi unsur keagamaan dan hukumnya adalah harus dalam Islam, selagi dilakukan dalam persekitaran yang tertutup dan tidak bercampur antara lelaki dan perempuan.
Pilihan Ideal Untuk Remaja Hari Ini
Bagi remaja yang inginkan senaman yang bukan hanya membentuk fizikal tetapi juga membina fokus dan ketenangan dalaman, pilates adalah pilihan yang tepat. Ia sesuai untuk semua tahap kecergasan, boleh dilakukan di rumah atau di studio, dan tidak memerlukan peralatan yang rumit untuk permulaan.
Ads
Daripada seorang kanak-kanak sakit di Jerman sehinggalah menjadi pencetus kepada revolusi kecergasan dunia, kisah Joseph Pilates mengingatkan kita bahawa dengan ilmu, usaha dan kepercayaan terhadap diri segalanya mungkin.
Aktiviti berbasikal memang tidak asing lagi dengan rakyat Malaysia. Bagaikan trend terkini, bukan hanya kepada anak muda, malah oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira umur.
Kalau korang perasan, sekarang ini ramai yang sudah mula menjinakkan diri dalam sukan berbasikal. Selain daripada beriadah, antara manfaat yang korang akan peroleh sekiranya melakukan aktiviti berbasikal adalah seperti meningkatkan kesihatan mental, menurunkan berat badan dan mengurangkan sakit jantung serta risiko kanser.
Gambar Hiasan : Bicycling Australia
Namun begitu, kebanyakkan yang melakukan aktiviti berbasikal ini memilih baju sukan yang agak menjolok mata dan mengenakan jersi ketat. Pernah menimbulkan perbalahan netizen mengenai aurat wanita. Mari ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.
Soalan
Assalamualaikum. Saya berimpian untuk menyertai acara berbasikal yang menjadi sukan kegemaran ramai pada masa kini. Soalan saya, adakah dibolehkan jika seorang perempuan berpakaian sukan seperti memakai seluar tight dan skirt paras peha serta t-shirt lengan pendek berinner untuk memudahkan aktiviti berbasikal memandangkan aktiviti tersebut memerlukan pergerakan yang banyak. Adakah situasi kami ini boleh dikira sebagai darurat untuk etika berpakaian?
Ringkasan jawapan
Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang telah ditentukan oleh syara’. Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya, dengan memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dan longgar daripada dilihat oleh bukan mahram. Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.
Huraian jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Etika pakaian sukan dan Menutup Aurat
Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami:
Maksudnya: Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut.
[Rujuk: al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76]
Islam menitikberatkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang telah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata:
ستر العورة واجب
Maksudnya: Menutup aurat adalah wajib.
[Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/165]
Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian tersebut dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuklah ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan diluar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal.
Syariat Islam telah meletakkan garis panduan tentang cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi:
Bermaksud: Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun.
[Rujuk: al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie 1/125]
Selain daripada itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian tersebut bersifat ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman:
Bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah an-Nur 24:30)
Imam Ibnu Abbas رضى الله تعالى عنهما ketika menjelaskan maksud إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ketika mensyarahkan ayat diatas ialah wajah dan kedua-dua telapak tangan.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/376]
Oleh yang demikian, berdasarkan nas dan pendapat ulama dapat difahami bahawa berpakaian yang menutup aurat itu hendaklah tebal yang tidak menampakkan warna kulit sesorang dan juga pakaian tersebut bersifat longgar yang tidak menonjolkan bentuk badan si pemakai. Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang:
ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ
Bermaksud: Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.
(Hadis Riwayat Muslim 2128)
Dalam memahami maksud hadith, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni ada menerangkan maksud كاسِياتٌ عارياتٌ dalam hadith diatas ialah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang dalam tafsirnya seperti berikut:
كاسيات في الصورة عاريات في الحقيقة، لأنهنّ يلبسن ملابس لا تستر جسداً، ولا تخفي عورة، والغرض من اللباس السترُ، فإذا لم يستر اللباس كان صاحبه عارياً
Bermaksud: Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat, dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.
[Rujuk: Tafsir Rawai’ul Bayan 2/385)
Berdasarkan penerangan hadith diatas, maka sebarang pakaian yang bersifat ketat apatah lagi pakaian yang nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang.
Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan mempamerkan bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Apatah lagi berpakaian seperti itu ketika bersukan yang memerlukan pergerakan yang boleh menarik perhatian orang kepadanya.
Hukum ini tidak tertumpu kepada golongan wanita sahaja akan tetapi juga terlaksana kepada golongan lelaki yang bersukan. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian sukan yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakkan bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahkan anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapnya di persekitaran awam. Firman Allah SWT:
وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن
Bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka.
(Surah an-Nur 24:31)
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, orang perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT keatas mereka untuk melihat selain daripada suami-suami mereka.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]
Berdasarkan firman Allah SWT diatas jelas bahawa golongan wanita juga perlu menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah. Nabi SAW juga bersabda mengenai pandangan wanita terhadap lelaki sepertimana hadis baginda yang berbunyi:
وقد روت أم سلمة رضي الله عنها قالت: كنت عند رسول الله صلى الله عليه وسلم وعنده ميمونة، فأقبل ابن أم مكتوم فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (احتجِبا منه، فقلنا يا رسول الله أليس أعمى لا يبصرنا ولا يعرفنا؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم: أفعمياوان أنتما؟ ألستما تبصرانه)،
Bermaksud: Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah RA berkata: ketika aku bersama Rasulullah SAW dan disisinya ada Maimunah RA, maka datang Ibnu Ummi Maktum, maka Nabi SAW bersabda: berhijablah kalian berdua daripadanya, dan Kami pun seraya berkata wahai Rasulullah SAW: tidakkah dia buta dan tidak melihat kita dan tidak mengenali kita? Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu berdua buta? Tidakkah kamu berdua dapat melihat dia?.
(Hadis Riwayat Abu Daud 4112)
Hadis diatas dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir sebagai hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak boleh bagi orang perempuan melihat lelaki ajnabi sama ada dengan syahwat mahupun tidak bersyahwat.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]
Maka dapat difahami bahawa golongan wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat dan nipis yang diharamkan untuk dilihat.
Begitu juga, golongan lelaki perlu menitik beratkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah ketika bersukan bagi mengelakkan pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulkan fitnah.
Kesimpulan
Oleh yang demikian, aurat perlulah dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita.
Merupakan satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.
Oleh yang demikian, pendapat bahawa pakaian yang patuh syariah ini menghalang pergerakan ketika beriadah dan bersukan dengan alasan rimas, susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan yang tidak boleh dikira sebagai darurat dalam Islam kerana menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam.
Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar agar tersembunyi bentuk pada badannya dari kelihatan umum.
Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.
Dah nama pun anak muda, mesti korang suka nak try aktiviti-aktiviti mencabar, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan taman tema. Betul tak?
Bagi korang yang gemar mencuba slides di water theme park, pasti teringin nak try gelongsor air yang lebih mencabar. Kalau di Malaysia rasanya masih di tahap ‘biasa-biasa’ saja. So, kalau nak mencabar sikit apa kata korang boleh try gelongsor air yang ada di water theme park luar negara.
Nak tahu negara mana yang mempunyai slides air paling ‘gila’ di dunia? Jom lihat antara tempat yang kami senaraikan ini.
1. Jumeirah Sceirah
Dengan ketinggian 33 meter dan kelajuan 80km/jam, Jumeirah Sceirah merupakan gelongsor free-fall water tercepat dan tertinggi di United States. Taman tema ini juga merupakan antara 10 tarikan terbesar di Dubai.
2. The Leap of Faith Waterslide
Merupakan gelongsor paling hebat di Aquaventure Water Park, Atlantis The Palm, Dubai. Mempunyai ketinggian 60 kaki dari udara dan akan membawa korang melalui kolam yang dipenuhi dengan ikan jerung. Kawasan Aquaventure berkeluasan sekitar 17 hektar, serta terdapat pantai yang indah seluas 700 meter.
3. Insano Beach Park, Brazil
Berketinggian 41 meter iaitu lebih kurang seperti berada di tingkat 14, korang bayangkanlah macam mana tinggi gelongsor air ini. Kelajuannya sekitar 65 mph dan hanya mengambil masa kira-kira 4 ke 5 saat untuk sampai ke bawah.
4. Disney’s Blizzard Beach Water Park
Gelongsor terlaju dan terpanjang di Walt Disney World dan mempunyai ketinggian sekitar 36 meter.
5. World Waterpark
Gelongsor yang berada di dalam pusat membeli-belah dengan keluasan lebih dari 12 hektar. World Waterpark ini terletak di Kanada dan antaranya indoor waterpark terbesar di dunia.
Nampak semua macam best je, hmm tapi korang berani tak? Hiks!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ketika pandemik COVID-19 menyerang ini, kita nampak ramai yang tampil menghulurkan bantuan dan sedekah pada meraka yang terjejas. Namun, ekoran perkongsian di media sosial, ada sesetengah individu menyatakan ia seakan menunjuk-nunjuk, dan perbuatan sedekah dilakukannya tidak harus ditunjukkan di media sosial.
Pasti isu berkenaan turut menjadi tanda tanda di hati kita bolehkah sedekah dibuat terang terangan, di kongsi di media sosial atau seharusnya dibuat tanpa orang lain ketahui? Ini kerana mungkin ada di antara kita difahamkan tangan kanan memberi, tangan kiri tak harus ketahui.
REMAJA terjumpa perkongsian menarik dikongsikan oleh Ustaz Abu Iqbal atau mesra disapa Ustaz Mizul di fbnya mengenai hal ini dan mengupasnya untuk pembacaan kita semua. Rupanya dalam surah Al-Baqarah dan Fatir ada dinyatakan bahawa sedekah dibolehkan dihebahkan. Bacalah, agar kita lebih faham.
Ustaz Mizul berkongsi ilmu mengenai sedekah ini
Mike, kalu orang tanya…boleh ke idak kita tunjuk kat orang sedekah kita?
Selalunya orang akan kata…Hish…buat apa ditunjuk ke orang. Habih pahala.
Kalu nak buat baik, nak bagi sedekah, kena sembunyi-sembunyi…aci boleh, tangan kanan memberi, tangan kiri pun idak tau…
Hemm…selalunya ghoper itulah. Orang marah bebeno, sinis bebeno kalu nengak ada orang bagi sedekah dengan terbuka.
Apa lagi kalu masuk TV, masuk FB dan sebagainya.
Rugi le dia. Bagi sedekah, lepeh itu nayang kat orang. Riyak…habis lunyei pahala…
Sebenonya, baik sembunyi ke, atau terang-terangan ke…kedua-duanya dibolehkan.
Mari teman bagi beberapa dalil:
1# “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah: 271)
2# ”Orang-orang yang menginfakkan hartanya malam dan siang hari (secara) sembunyi-sembunyi mahu pun terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” (al-Baqarah, 2: 274)
3# “Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Fatir: 29)
Cukup tak tiga dalil di atas. Nak bagi ada lagi…
Sebab itu jangan mudah kata ke orang. Bila orang tu buat benda baik, dan dia tayang kat orang, ada sisi baiknya.
Nabi Muhammad SAW buat benda baik dan baginda tayang tak kat orang? Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a diketahui ahli sedekah no. 1 selepas nabi, ater ghoper mana orang boleh tahu kalu dia sedekah sembunyi-sembunyi? Begitu juge le taikun bisnes Muslim…siapa lagi kalu bukan Saiydina Abdul Rahman bin Auf?
Sebenonya, pamerkan ke, atau sembunyikan ke, yang penting sekali ialah niat. Jika niat sebeno-beno hanya kerana Allah SWT, maka ia lulus.
Tapi jika bagi le sembunyi-sembunyi, tapi dalam hati terdetik…isk…aku le orang paling pemurah…baiknya aku…haa… Cerah Masa Depan…itu semua sifat mazmumah…rasa ujub dan sebagainya…
Sebenonya, mempamerkan benda baik adalah sebahagian daripada ajaran Islam…
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memulai suatu sunnah yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengikutinya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)