
Bintang K-Pop terkenal, G-Dragon baru-baru ini dilaporkan telah memfailkan saman besar-besaran terhadap lebih 100 individu yang dipercayai meninggalkan komen berniat jahat di platform dalam talian. Tindakan tegas ini diambil susulan penyebaran pelbagai dakwaan tidak berasas, fitnah serta serangan peribadi yang didakwa mencemarkan reputasi penyanyi dan rapper berpengaruh itu.
Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsikan oleh agensinya, Galaxy Corporation pada 24 Februari berkata pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan firma guaman Yulchon bagi memastikan hak artis naungan mereka terus dilindungi. Langkah tersebut disifatkan sebagai komitmen berterusan syarikat dalam menangani isu serangan siber yang semakin berleluasa dalam kalangan selebriti.

Menurutnya lagi, tindakan undang-undang ini dibuat susulan laporan yang diterima daripada peminat serta hasil pemantauan dalaman yang dijalankan secara konsisten sejak kebelakangan ini. Mereka mendapati wujudnya penyebaran kandungan berunsur fitnah dan maklumat palsu yang memberi kesan negatif terhadap imej G-Dragon atau pemilik nama sebenar Kwon Ji Yong.
“Susulan notis kami sebelum ini, berdasarkan laporan daripada peminat dan pemantauan kami sendiri, kami telah memfailkan aduan berskala besar terhadap lebih 100 penulis hantaran berniat jahat atas tuduhan fitnah di bawah Akta Rangkaian Maklumat dan Komunikasi,” jelas kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa turut menjalankan operasi bagi mengenal pasti individu terlibat dengan melakukan geledah dan rampasan terhadap beberapa komuniti dalam talian utama serta platform media sosial.
“Para suspek telah dipindahkan ke balai polis tempatan masing-masing dan siasatan sedang dijalankan,” ujarnya.
BACA: Selepas Konsert Jelajah Dunia, G-Dragon Umum Fan Meeting Pertama Februari Ini
BACA: Digelar Sebagai Perintis ‘Self-Produce Idol’, Ini Cara G-Dragon ‘Warnai’ Dunia Muzik!

Difahamkan, sebahagian daripada individu yang disiasat telah mengaku bersalah, manakala kes mereka kini dalam proses tindakan lanjut oleh pihak pendakwa raya. Bagi mereka yang menafikan dakwaan, siasatan masih diteruskan sehingga keputusan muktamad dicapai.
Sementara itu, Galaxy Corporation turut menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan hak artis mereka. Tindakan sivil dan jenayah akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah, maklumat palsu atau melakukan serangan peribadi, sebagai mesej jelas bahawa budaya buli siber tidak akan dipandang ringan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















