Akhir-akhir ini, perkataan “kartel” sering diungkapkan dan digunakan di media massa, media cetak atau di media sosial. Oleh itu, kita hendaklah membaca dan memahami perkataan tersebut dengan betul. Perkataan “kartel” berbeza dengan perkataan “katil”. Perkataan “katil” bermaksud perabot tempat seseorang itu tidur atau berbaring yang diletakkan tilam di atasnya.

Pada satu ketika dahulu, perkataan “kartel” bermaksud persatuan atau kumpulan yang berpakat untuk menguasai pasaran bagi produk keluaran mereka sama ada dadah, daging dan sebagainya supaya mereka dapat menentukan harga mengikut kehendak mereka. Sebagai contohnya, lihat ayat yang berikut:

  1. Pihak berkuasa Malaysia sedang memburu seorang “Raja Dadah” yang mempuyai hubungan dengan kartel dadah di Colombia serta menggunakan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup kokain.
  1. Sebuah syarikat yang didapati terbabit dalam pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram dan akan didakwa di mahkamah esok.

Kini, penggunaan istilah ini telah diperluas dalam bidang politik pula. Dalam bidang politik, “kartel” ialah kelompok atau kumpulan ahli politik tertentu yang bergabung untuk membina kekuatan bagi menguasai politik di sesebuah negeri atau negara. Contoh ayat:

IKLAN
  1. Melalui setiausaha politiknya, kartel dikembangkan di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negeri tersebut sehingga hampir tidak ada seorang pun pemimpin muda di peringkat bahagian dan cawangan menolak beliau.

Dalam sesuatu organisasi pula, “kartel” ialah kumpulan pegawai atau kakitangan yang berkomplot untuk menjatuhkan seseorang pegawai tigggi bagi menggantikan pegawai yang berkenaan daripada kumpulam mereka. Ayat contoh:

IKLAN
  1. Ketua pengarah tersebut menyatakan bahawa kewujudan kartel dalam organisasinya untuk menjatuhkan beliau memang benar.

Sebagai kesimpulannya, perkataan yang terdapat dalam sesuatu bahasa itu sering berkembang dari segi makna. Proses ini dinamakan sebagai peluasan makna.

IKLAN

Mereka memberikan makna baharu kepada perkataan “kartel”kerana mereka melihat perkembangan yang berlaku pada hari ini hampir sama dengan konsep “kartel” dalam penguasaan perdagangan dan perniagaan yang berlaku sebelum ini untuk disamakan dengan perkembangan yang berlaku dalam bidang politik dan pentadbiran dalam sesebuah organisasi pada hari ini.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Encik Ghalib bin Yunus

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI