
Penyanyi, pelakon dan penyampai radio popular, Faradina Mohd. Nadzir atau lebih mesra disapa Dina Nadzir, baru-baru ini mencuri perhatian apabila menerima penganugerahan graduan kelas pertama bagi pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dengan Kepujian. Pencapaian beliau ini turut mendapat ucapan tahniah daripada pelbagai pihak, termasuk platform media yang meraikan kejayaan figura seni tersebut.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Radio Sinar, penghargaan khusus diberikan buat Dina yang dianggap sebagai simbol ketekunan dan dedikasi dalam menggapai impian walaupun ditengah kesibukan sebagai seorang anak seni.
“Tahniah Dina Nadzir atas anugerah graduan kelas pertama!” tulis Sinar.
“Anugerah graduan kelas pertama ini bukan sekadar gelaran, tapi simbol ketabahan, usaha, dan semangat Dina yang luar biasa. Semoga setiap langkah selepas ini terus dipenuhi kejayaan dan kebahagiaan, amin” jelas Sinar dalam perkongsian yang sama menggambarkan penghargaan terhadap kesungguhan Dina dalam mengejar ilmu.
Di sebalik kejayaan itu, Dina sendiri berkongsi momen penuh emosi menerusi Instagram Story, apabila mengenang pesanan arwah bapanya mengenai sambung belajar.
“Sejak habis diploma Abah asyik tanya Ana ‘bila nak sambung belajar’. Saya dah selesaikan degree saya Abah. Saya harap kamu bangga dengan saya. Saya rindu kamu setiap hari,” tulisnya dalam coretan yang menyentuh perasaan ramai.
BACA: Inspirasi Luar Biasa! Datuk Dr. Victor Isaacs Raih PhD Undang-Undang Pada Usia 85 Tahun
BACA: Lawan Kanser, Genggam Ijazah! Fatini Alya Buktikan Tiada Yang Mustahil Dalam Hidup
Luahan tersebut bukan sahaja menzahirkan rasa rindu, tetapi turut menjelaskan perjalanan akademik yang dilaluinya mempunyai nilai sentimental yang cukup besar. Ia juga sekaligus menjadi pemangkin buat Dina untuk mencapai impian yang pernah disuarakan bapanya dahulu.
Sementara itu, sebagai seorang anak seni berusia 40 tahun yang sudah lama mewarnai industri hiburan negara, kejayaan akademik ini membuktikan bahawa komitmennya tidak hanya terhad pada dunia seni. Sebaliknya, Dina terus memperkukuh pengetahuan serta kemahiran demi memberi nilai tambah kepada kerjayanya.
Di samping itu, pencapaian beliau turut menjadi inspirasi buat peminat khususnya golongan muda, bahawa kecemerlangan tidak mengenal usia. Penglibatan aktif Dina dalam industri kreatif, digabungkan dengan pendidikan formal, menjadikannya contoh terbaik bahawa pembelajaran adalah perjalanan sepanjang hayat.
Dengan meraih anugerah graduan kelas pertama yang kini menjadi sebahagian daripada portfolionya, Dina Nadzir pastinya melangkah ke fasa baharu yang lebih matang dan penuh potensi. Para peminat dan rakan industri juga berharap agar kejayaan ini membuka lebih banyak ruang serta peluang untuk beliau terus bersinar dalam bidang seni mahu pun akademik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.