Niat nak kurus dengan diet karnivor hampir bertukar menjadi tragedi apabila hasrat seorang wanita muda untuk tampil lebih sihat membawa padah besar. Trend diet yang semakin popular di media sosial itu akhirnya menyebabkan dia terpaksa dikejarkan ke hospital akibat komplikasi serius melibatkan buah pinggang.
Pempengaruh media sosial, Eve Catherine, 23, berkongsi pengalaman ngeri tersebut selepas mengamalkan diet karnivor, iaitu diet ekstrem yang hanya menekankan pengambilan makanan berasaskan haiwan tanpa sebarang buah-buahan atau sayur-sayuran. Diet ini sering dipromosikan sebagai kaedah pantas untuk menurunkan berat badan dan membina bentuk badan ideal.
Pempengaruh, Eve Catherine berkongsi pengalaman ngeri itu selepas mengamalkan diet karnivor.
Namun, apa yang jarang diperkatakan ialah kesan sampingan diet karnivor terhadap kesihatan dalaman tubuh, terutamanya organ penting seperti buah pinggang.
Rutin Diet Tinggi Protein
Menurut Eve, rutin pemakanannya kelihatan ringkas dan konsisten. Setiap pagi dia mengambil telur sebagai sarapan, diikuti yogurt berprotein tinggi untuk makan tengah hari, manakala stik daging lembu menjadi menu utama makan malam.
Pada peringkat awal, dia merasakan tubuhnya memberi tindak balas positif termasuk penurunan berat badan dan tahap tenaga yang meningkat. Perubahan fizikal tersebut membuatkan Eve semakin yakin bahawa diet karnivor adalah pilihan terbaik untuk mencapai matlamat kesihatannya.
Namun, perubahan ketara itu tidak bertahan lama. Pemeriksaan kesihatan rutin mendapati paras protein dalam air kencingnya berada pada tahap yang membimbangkan, sekali gus menjadi petanda awal masalah kesihatan yang serius.
Ads
Air Kencing Berdarah Cetus Panik
Keadaan Eve menjadi semakin kritikal apabila dia mengalami simptom yang mengejutkan dan tidak pernah dialaminya sebelum ini.
“Suatu pagi saya terjaga dan mendapati air kencing saya bercampur darah,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.
Eve kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Dia terpaksa menerima suntikan morfin bagi menahan kesakitan teruk sebelum berjaya mengeluarkan batu karang buah pinggang.
Menurut doktor yang merawatnya, keadaan tersebut dipercayai berpunca daripada pengambilan protein berlebihan dalam jangka masa panjang. Tekanan melampau terhadap buah pinggang akibat diet karnivor menyebabkan organ tersebut gagal berfungsi secara normal.
sakit pinggang
Menyesal Ikut Diet Ekstrem
Pengalaman pahit itu menjadi titik perubahan besar buat Eve. Secara terbuka, dia mengkritik diet karnivor dan mengaku menyesal kerana terlalu taksub mengejar pengambilan protein sehingga mengabaikan keseimbangan nutrisi.
Ads
“Ia adalah tindakan yang sangat bodoh. Saya seperti ketagih protein tanpa memikirkan kesannya terhadap tubuh,” katanya dengan jujur.
Eve turut mengingatkan pengikutnya agar tidak terpedaya dengan janji perubahan fizikal pantas yang sering dipamerkan di media sosial, terutamanya melalui promosi diet karnivor oleh pempengaruh.
Pakar Kesihatan Beri Amaran
Walaupun diet karnivor semakin popular dalam kalangan pempengaruh yang mempamerkan perubahan fizikal secara drastik, pakar kesihatan menegaskan bahawa diet ekstrem seperti ini tidak sesuai untuk semua individu, khususnya golongan muda.
Ads
Antara risiko utama diet karnivor ialah kekurangan serat akibat ketiadaan buah-buahan dan sayur-sayuran, yang boleh menyebabkan masalah pencernaan. Selain itu, pengambilan daging merah tinggi lemak tepu secara berlebihan berpotensi meningkatkan paras kolesterol jahat serta risiko penyakit jantung.
Beberapa kajian juga mencadangkan bahawa amalan diet karnivor dalam jangka panjang boleh mencetuskan keradangan kronik dan mempercepatkan proses penuaan sel.
Kurus Bukan Segalanya
Kes yang dialami Eve menjadi peringatan penting kepada remaja dan golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan trend diet di media sosial. Keinginan untuk mendapatkan tubuh kurus dalam masa singkat tidak seharusnya mengorbankan kesihatan jangka panjang.
Pendekatan terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang, gaya hidup aktif serta mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor. Kurus mungkin menjadi impian, namun kesihatan adalah aset paling bernilai untuk masa depan.
Kasih sayang seorang bapa tiada batasnya, dan ini jelas terbukti melalui dedikasi seorang bapa yang telah bekerja sebagai penjaja selama lebih 26 tahun untuk memastikan anaknya dapat mengejar impian melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Uncle An, yang mengendali sebuah kopitiam sederhana di PJ Old Town, menjalani rutinnya dengan bekerja tanpa henti setiap hari dalam usaha mengumpul wang untuk yuran pengajian anaknya.
Menerusi perkongsian di platform Facebook Uncle Kentang, anak Uncle An kini sedang dalam pengajian sarjana dan bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke PhD dalam bidang matematik dan bahasa Inggeris.
“Anaknya mempunyai hasrat yang mendalam untuk terus belajar dan mencapai kejayaan dalam bidang akademik,” kata Uncle Kentang.
Walaupun menjalani kehidupan yang sukar sebagai peniaga, Uncle An terus berusaha keras dan tidak pernah berfikir untuk berhenti, kerana dia amat berbangga dengan matlamat dan kejayaan anaknya.
Sebagai tanda penghargaan atas kerja keras Uncle An, Uncle Kentang menyarungkan jubah dan papan mortar PhD kepada bapa tersebut.
“Berapa ramai penjaja yang berusaha tanpa mengenal penat lelah demi masa depan anak-anak mereka? Pengorbanan mereka pasti akan membuahkan hasil apabila melihat anak-anak mereka berjaya,” coretnya lagi.
Uncle An menerima anugerah tersebut dengan senyuman lebar, malah menunjukkan betapa bersyukurnya dia atas penghargaan tersebut.
Dalam pada itu, Uncle Kentang turut menyeru orang ramai untuk menghargai dan menyokong penjaja mahupun peniaga tempatan.
“Kita tidak tahu betapa banyak usaha yang telah mereka curahkan untuk membesarkan anak-anak mereka. Melalui usaha mereka, ramai profesional telah berjaya dalam bidang masing-masing,” tambahnya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Barah atau kanser adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan.
Di negara kita, Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016 melaporkan kanser tertinggi di Malaysia dan dalam kalangan wanita ialah kanser payudara, manakala kanser tertinggi di kalangan lelaki ialah kanser kolorektal.
Laporan itu disediakan Institut Kanser Negara dan diterbitkan setiap lima tahun bagi melihat trend penyakit kanser di negara ini dan tindakan KKM seterusnya terutama langkah pencegahan.
Berikut kami senaraikan antara 10 jenis kanser tertinggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Sehingga kini, pakar-pakar masih tidak menemui penyebab sebenar kanser payudara yang menjadi sebab utama kematian wanita di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Namun, pakar kesihatan bersetuju bahawa faktor usia yang semakin meningkat dan sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser ini menambah lagi risiko terhadap kanser ini.
Kebanyakan kanser termasuk Kanser Payudara di Malaysia hanya dikesan pada Tahap 3 dan 4 yang mana pada tahap ini rawatan pemulihan tidak lagi berkesan. Malaysian Study on Cancer Survival’ yang diterbitkan pada Oktober 2018 menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit.
Menurut kajian itu, nisbah risiko kematian akibat kanser yang dikesan pada tahap 4 berbanding tahap 1 adalah 7.52 kali ganda lebih tinggi.
Kanser Payudara boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal dengan melakukan ujian saringan, salah satunya Mamogram.
Faktor boleh ubah seperti mengekalkan berat badan ideal, makan secara sihat, kerap bersenam, tidak merokok dan tidak minum alkohol boleh mengurangkan risiko terhadap kanser ini.
Para wanita juga dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri di rumah atau pemeriksaan di klinik mahu pun hospital setidak-tidaknya setahun sekali.
Jom sama-sama tingkatkan kesedaran tentang kanser di kalangan kaum keluarga dan juga rakan-rakan terdekat.
Sembilan tahun lalu dia ditembak di kepala oleh Taliban, kini Malala merupakan graduan dalam bidang filosofi, politik dan ekonomi dari universiti terbaik dunia, Oxford University. Pemenang termuda Nobel Peace Prize ini memuat naik gambar majlis graduasi di laman Instagramnya pada Jumaat.
Menjadikan majlisnya lebih bermakna semestinya dengan kehadiran keluarga tercinta. Bapanya, Ziauddin Yousafzai dan ibunya, Toor Pekai Yousafzai kelihatan bangga melihat pencapai anak mereka. Dalam satu gambar yang dimuat naik, kelihatan kedua-duanya tersenyum gembira sambil mencium pipi Malala.
Seorang lagi figura yang penting dalam hidup wanita ini semestinya suaminya tercinta yang baru dinikahinya awal bulan ini, Asser Malik. Dalam hantaran Twitter, Asser menyatakan yang tempat mereka bertemu menjadi lebih istimewa pada hari graduasi isterinya. Ini memberikan indikasi yang universiti tersebut merupakan tempat pertama mereka bersua mata.
Untuk pengetahuan pembaca, wanita berusia 24 tahun ini memulakan pengajian di universiti tersebut pada tahun 2017 dan dia sebenarnya sudah menamatkan pengajiannya pada Mei 2020. Namun majlis graduasi terpaksa ditangguhkan disebabkan penularan virus Covid-19 yang melanda dunia. Hanya setahun setengah kemudian barulah majlis boleh diadakan semula.
Menurut laman web universiti terkenal itu, Oxford menyambung semula majlis graduasi pada bulan September tahun ini dengan mengadakan majlis pada beberapa tarikh sepanjang tempoh dua bulan ini. Malala hadir ke majlis graduasi sesi terakhir.
Mengimbau kembali kisah wanita hebat ini, Malala ditembak di kepala oleh Taliban pada usia 15 tahun selepas dia aktif berkempen agar kanak-kanak perempuan diberikan pendidikan di kampung halamannya, Lembah Swat, Pakistan. Kisahnya mendapat liputan media seluruh dunia. Ekoran kecederaan yang dihadapinya dia kemudiannya diterbangkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan.
Sejak itu wanita ini tidak lagi menoleh ke belakang. Dia dan keluarganya kini menetap di Britain dan dia meneruskan perjuangannya dalam memperjuangkan hak wanita terutamanya dalam soal pendidikan menerusi yayasannya sendiri, Malala Fund.
++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Aktor berpengalaman, Kamal Adli berkongsi bahawa Ramadan tahun ini terasa sangat berbeza, lebih-lebih lagi selepas hidup bersendirian.“Ramadan tahun ini sangat berbeza sebab bila balik...