Isu buli dalam kalangan remaja bukan perkara baharu. Namun, setiap kali ada kisah yang tular, hati kita tetap tersentak. Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar berusia 10 tahun yang sebelum ini berjuang melawan kanser hidung, tetapi kini terpaksa menanggung trauma selepas dibuli hingga disahkan mengalami gegaran otak.
Kes ini membuktikan bahawa buli bukan sekadar ejek-mengejek atau usikan kecil. Ia mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada fizikal dan mental seorang pelajar.
Dari Lawan Kanser, Jadi Mangsa Buli
Kisah bermula pada 21 Februari lalu apabila mangsa dipukul, ditendang, dihentak kepala dan lebih memalukan, dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Darjah Enam. Semua itu hanya berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku selepas lamaran cintanya ditolak oleh kakak mangsa.

Akibat serangan, pelajar tersebut terpaksa dirawat di hospital swasta hampir dua minggu. Doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak dan memerlukan rawatan berterusan. Kesannya, dia kini sukar fokus dalam pelajaran, tidak lagi aktif bersukan, malah berisiko mengalami sawan jika jatuh atau pengsan.
Lebih memilukan, pada Ogos lalu, dia sekali lagi menjadi sasaran buli di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai. Seolah-olah tiada siapa yang benar-benar melindunginya.
Kenapa Buli Masih Berlaku?
Dalam dunia remaja, isu buli sering dianggap ‘main-main’. Hakikatnya, buli adalah satu bentuk keganasan. Ia boleh berlaku secara fizikal, verbal, mahupun melalui media sosial. Statistik juga menunjukkan kes buli di sekolah semakin meningkat, terutama selepas sesi persekolahan bersemuka kembali.
Lebih membimbangkan, mangsa buli biasanya tidak berani bersuara kerana takut diejek atau tidak dipercayai. Akhirnya, mereka menyimpan sendiri trauma yang boleh menjejaskan prestasi akademik, hubungan sosial malah kesihatan mental.
Apa Yang Remaja Perlu Tahu?
Kes ini seharusnya menjadi wake-up call buat kita semua, khususnya remaja. Buli bukan tanda hebat, sebaliknya tanda lemahnya empati dalam diri. Jika anda pernah melalui situasi dibuli:
-
Jangan diam diri. Cari guru, kaunselor atau keluarga yang boleh dipercayai.
-
Jangan salahkan diri. Anda tidak bersalah hanya kerana menjadi sasaran.
-
Bersuara di media sosial atau saluran rasmi. Zaman sekarang ada banyak platform untuk melawan buli dengan cara yang selamat.
Dan jika anda pernah membuli orang lain, hentikan sekarang. Ingat, kesannya boleh menghancurkan masa depan orang lain, dan mungkin juga menjejaskan hidup anda.
Anda mungkin berminat dengan
Suara Untuk Generasi Kita
Kisah pelajar yang sudah pun diuji dengan kanser, kemudian dibuli hingga trauma ini adalah cerminan bahawa masyarakat kita masih belum cukup serius menangani isu buli. Sebagai remaja, kita perlu jadi sebahagian daripada perubahan bukan sebahagian daripada masalah.
Buli bukan trend, bukan hiburan. Ia adalah luka yang boleh menghancurkan hidup seseorang.
∞
Kemalangan tragis melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) terus mengundang rasa pilu apabila 15 nyawa terkorban dan ramai lagi cedera dalam kejadian yang berlaku kelmarin.
Namun, di sebalik kesedihan itu, timbul pula persoalan, adakah punca utama kemalangan benar-benar berpunca daripada kecuaian pemandu, atau ada sesuatu yang lebih besar sedang diabaikan?
BACA: UPSI Berduka: “Saya Nampak Mereka Meronta-Ronta & Ada Yang Tiba-Tiba Senyap, Waktu Itu Saya Tahu Mereka Dah Tiada” -Pelajar Terselamat

Menurut aktivis keselamatan jalan raya JRTB, Mohd Fadzil Abdul Aziz, masyarakat tidak boleh terus meletakkan kesalahan hanya di bahu pemandu ataupun masalah teknikal kenderaan.
“Banyak bahagian di JRTB mengalami penyelenggaraan yang lemah, dengan selekoh yang memerlukan pemanduan lancar tanpa kecacatan struktur.
“Malangnya, pihak berkuasa sering menampal jalan yang rosak, menjadikannya tidak stabil dan berbahaya, terutamanya apabila digabungkan dengan tanda jalan yang pudar atau hilang,” jelasnya.
Beliau berkata, jalan curam di laluan Jeli ke Gerik mampu menyebabkan kenderaan meluncur sehingga 80 kilometer sejam tanpa menekan pedal minyak.
BACA: UPSI Berduka: “Ada Yang Tersepit, Ada Yang Menangis, Ada Yang Ajar Rakan Mengucap Walaupun Dah Meninggal Dunia”

Jelasnya lagi, keadaan jalan yang berliku, tidak rata dan kurang pencahayaan di waktu malam sering kali menjadi penyumbang utama kepada kemalangan, lebih-lebih lagi ketika hujan.
“Adalah tidak adil untuk menyalahkan hanya pemandu tanpa mempertimbangkan faktor lain, termasuk keadaan jalan,” tegas beliau.
Satu lagi isu yang dibangkitkan beliau adalah kekurangan papan tanda had laju di beberapa lokasi penting, yang boleh menyebabkan pemandu tidak menyedari risiko-risiko tersembunyi di laluan berkenaan.
Tambah membimbangkan, kawasan ini juga terletak dalam laluan hidupan liar seperti gajah dan harimau.

“Kejadian kemalangan membabitkan seekor anak gajah pada 11 Mei lalu menjadi bukti wujudnya rantaian tragedi yang bukan hanya berpunca daripada kecuaian manusia,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar pihak berkuasa tampil segera melakukan penyelenggaraan menyeluruhdemi keselamatan pengguna jalan, sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban di JRTB.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online
∞
Disiplin tinggi bukan sahaja membolehkan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri bergelar pemain bola sepak juga graduan sempena Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung baru-baru ini.
Penjaga gol kelab Liga Super, Pahang FC yang kini berusia 25 tahun itu berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.
Azfar menyifatkan karier sebagai pemain skuad Tok Gajah yang disertai pada 2024 bukanlah penghalang untuk menuntut ilmu sama seperti penuntut lain sebaliknya ia mendidik diri dalam aspek pengurusan masa.

“Status sebagai pemain dan penuntut sebenar secara tidak langsung memerlukan menghadiri kelas secara atas talian akibat kekangan masa dan sebagainya. Namun itu bukan alasan untuk saya mengambil sikap sambil lewa”
“Saya tetap berusaha mengikuti perkembangan pembelajaran dengan sentiasa menghubungi pensyarah dan kerap bertanya soalan kepada rakan-rakan supaya tidak ketinggalan,” katanya.
Menurut Azfar, beliau menyertai Penang FC dan tinggal di Pulau Pinang pada tahun 2023 menyebabkan tidak dapat hadir ke kelas yang terletak di UiTM Shah Alam. Namun, itu bukan alasan dan Azfar cuba mencari inisiatif lain dengan berhubung dengan pensyarah dan belajar sendiri selain menyertai kelas menerusi Zoom dan Google Meet.

Ditanya mengenai cabaran sebagai pemain dan penuntut, pemain kelahiran Terengganu itu berkata, elemen putus asa tidak ada dalam dirinya walaupun sibuk mengikuti latihan dan juga kuliah.
“Semuanya tidak mustahil kerana paling penting adalah bagaimana seseorang itu mengimbangkan diri apabila berstatus atlet dan juga pelajar. Saya pernah rasa nak give up sebab apabila masuk kelas sebab rasa macam zero knowledge. Tapi Alhamdulillah ada kawan-kawan dan supervisor yang selalu bantu saya untuk catch up,” ujarnya.
Azfar juga turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakannya yang sering membantu dan menasihati anak muda di luar sana agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa mencari bantuan bila diperlukan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar di Malaysia, bermula pada 21 April 2025 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan semua pelajar di bawah institusi berkenaan untuk memakai lencana Jalur Gemilang.
Menurut satu pekeliling KPM yang dikeluarkan pada Khamis, garis panduan pemakaian lencana tersebut telah diluluskan oleh kabinet pada 14 Februari lalu.
Dalam pada itu, antara objektif penguatkuasaan pemakaian lencana berkenaan adalah meningkatkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan dan menonjolkan identiti kebangsaan.

“Kementerian Pendidikan berperanan penting dalam menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik”
“Justeru, suatu usaha di peringkat akar umbi hendaklah dilaksanakan secara holistik bagi memastikan semangat ini terus kekal dan subur”
“Oleh itu, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid,” menurut kenyataan rasmi pekeliling itu.
Selain itu, pemakaian jalur gemilang itu juga berperanan untuk mewujudkan sikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar serta warga pendidik.
“Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” jelas KPM.

Sementara itu, KPM turut akan membekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua pelajar sesi persekolahan 2025/2026.
Lencana tersebut perlu dipakai pada pakaian seragam murid seperti baju prasekolah, baju kemeja, baju kurung dan pinafore. Bagi murid beragama Islam, lencana perlu dipakai pada tudung dan baju Melayu.
Pada masa yang sama, pakaian sukan, pakaian batik dan baju korporat kolej vokasional juga tersenarai dalam pakaian seragam yang perlu mengenakan lencana ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞