
Tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan ngeri di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding pada awal pagi Isnin lepas, masih meninggalkan kesan mendalam buat seluruh rakyat Malaysia.
Kini, pemandu bas persiaran yang terlibat akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua keluarga mangsa dan pelajar yang terlibat.
BACA: UPSI Berduka: Pemandu Bas Bakal Direman Selepas Keluar Hospital
Menurut laporan media tempatan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, memaklumkan bahawa kejadian tragis itu berlaku selepas brek bas yang dipandunya tiba-tiba gagal berfungsi ketika melalui jambatan lintasan gajah di Gerik.
Jelas Amirul lagi, ketika kejadian, dia sudah mencuba pelbagai usaha untuk mengawal kenderaan tersebut. Malangnya, sistem angin pada bas dipercayai kosong, sekaligus menyebabkan semua sistem keselamatan seperti brek tangan dan pertukaran gear tidak dapat digunakan.
Dalam usaha terdesak untuk mengelak tragedi yang lebih buruk, Amirul berkata dia sedaya upaya mengelak dari merempuh kenderaan lain di hadapannya.
“Apa yang saya buat ketika itu adalah cuba mengelak dari kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian berlaku.
“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk,” katanya lagi.
Namun, situasi menjadi bertambah sukar apabila bas melalui kawasan selekoh, sekali gus membatasi usahanya mengawal kenderaan tersebut.
Kemalangan membabitkan bas persiaran yang membawa 44 individu, termasuk 42 pelajar UPSI itu, mengorbankan 15 nyawa, yang mana 13 maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online