Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.
Nur Baiti Mohamed diapit oleh model dalam pertunjukan fesyen koleksinya.
Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.
Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA(REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
Ads
REM:Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.
Baiti menerima Anugerah Gold di acara peragaan UiTM Degree Fashion Show 2024 sekaligus mengenepikan 51 orang pelajar lain.
REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ads
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Ads
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nama Pengiran Aidil Auf menjadi popular ketika dia menampilkan pencapaian cemerlang di Kejohanan Olahraga MSSM 2022 yang berlangsung September lalu. Anak jati Sabah yang berusia 16 tahun ini sekali lagi menonjolkan kecemerlangannya, kini di peringkat antarabangsa pula.
Baru-baru ini dia berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara 200m di Kejohanan Olahraga Asia yang berlangsung di Kuwait.
Bertempat di Stadium Ahmad Sulaiman Alrashdan di bandar Kaifan, Pengiran Aidil Auf bejaya mencatat rekod peribadi terbaik 21.45 saat pada peringkat saringan namun pada pertandingan akhir dia hanya mencatat masa 21.65 saat.
Pingat emas acara tersebut dimenangi oleh atlet pecut Thailand, Puripol Boonson manakala pingat perak pula jatuh kepada atlet Kuwait, Yaqoub Alazemi.
Dalam temubual bersama media, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan ini berkata, “Saya yakin untuk memenangi pingat selepas mencatat masa terbaik pada peringkat saringan dan saya juga tidak sabar untuk mencatat masa yang lebih baik dalam pertandingan tahun depan.”
Manakala jurulatihnya, Jumain Taepe berkongsi bahawa dia yakin yang anak didiknya itu akan berjaya menjadi salah seorang pelari pecut negara suatu hari nanti. Seterusnya dia berazam untuk Pengiran Aidil Auf layak ke Sukan Komanwel Remaja 2023 yang bakal di adakan di Trininad n Tobago.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Pengiran Aidil Auf berjaya memperoleh empat pingat emas ketika Kejohanan MSSM 2022. Dia unggul dalam acara 100m, 200m, 4 x 100m dan 4 x 400m.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Perasaan gemuruh yang dirasai ketika memasuki gelanggang pantas ditepis oleh gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam bagi meraih pingat gangsa di Kejohanan Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan sekaligus menjadi gimnas Malaysia pertama untuk melakar kejayaan itu dalam sejarah.
Sharul, 22 beraksi cemerlang dalam acara melombol dengan mengutip 14.466 mata di belakang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet Uzbekistan, Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata).
Malangnya, pencapaian ini belum cukup untuk mengesahkan kelayakan Sharul ke Sukan Olimpik 2024 di Paris memandangkan Sharul sekadar mengambil bahagian dalam satu acara sedangkan slot ke Olimpik hanya diberikan kepada juara acara all-around.
Ketika ditemui rakan pemberita BERNAMA di sana, Sharul kongsikan bagaimana dia cuba bangkit daripada perasaan putus asa yang dialaminya ketika tiba di sana apabila terjatuh tiga ke empat kali ketika sesi latihan.
Ditambah pula dengan kehadiran gimnas, Carlos Yulo yang juga merupakan juara bertahan Sukan SEA, Sharul bergelut dengan permainan psikologi dan tekanan fizikal akibat kecederaan di bahagian pergelangan kaki.
“Saya dapatkan rawatan dari fisioterapi dekat sini untuk kaki saya yang cedera bagi menaikkan semangat saya semula.
“10 minit sebelum bermula, saya cuba tenangkan diri. Saya gembira, akhirnya saya berjaya cipta sejarah lagi di peringkat Asia untuk MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia).
“Mungkin tahun depan, saya nak tukar pingat gangsa ini kepada perak atau emas dan kemudian, terus kekal (dengan pencapaian cemerlang) untuk tahun seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden MGF, Francis Loh Soong Park berkata persatuan akan fokus untuk membantu Sharul cemerlang dalam acara all-around bagi meningkatkan peluangnya bertanding di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi atlet remaja kebangsaan, S. Sivasangari turut cemerlang pada minggu ini setelah berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 pemain squasy wanita profesional terbaik dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Di saat pasukan Malaysia yang berbilang sukan mewakili negara kini berada di Birmingham, United Kingdom (UK) sempena temasya Sukan Komanwel 2022, lain pula ceritanya dengan pasukan gimnastik berirama atau gimrama Malaysia.
Amat malang bagi atlet gimrama yang bertanding pada edisi kali setelah dua orang jurulatih pasukan yang berasal dari Rusia sedang berdepan isu sekatan kemasukan yang dikenakan oleh kerajaan UK ke atas warga Rusia disebabkan konflik Rusia-Ukraine.
Kongsi Afrita Ariany Nasril yang merupakan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), para atlet yang sudahpun berada di Birmingham tidak mempunyai pilihan, selain melakukan latihan menerusi interaksi secara dalam talian (online) bersama jurulatih mereka yang tersekat di Malaysia sekarang.
Latihan dilakukan secara dalam talian menerusi aplikasi ‘Zoom’. Foto : Ihsan Afrita Ariany Nasril
Kata Afrita kepada BERNAMA, dua jurulatih yang tidak didedahkan namanya itu sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini disamping terus memberikan sokongan kepada para gimnas di sana menerusi perhubungan ‘Zoom’.
Manakala Afrita dan jurulatih tempatan, Chrystal Lim Win Chean telahpun berada di Birmingham bagi membantu melancarkan sesi latihan tersebut.
Afrita (kiri) dan Chrystal sebelum berlepas ke Birmingham, United Kingdom. Foto : Instagram
Latihan dalam talian ini dilakukan secara serentak selama lima jam pada setiap hari sebelum acara dilangsungkan bermula 4 Ogos ini di Arena Birmingham.
Terdahulu, media melaporkan bahawa dua jurulatih Rusia tersebut mungkin akan berdepan masalah visa seperti yang diberitahu oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Biarpun berdepan kekangan ini, para gimnas yang terdiri daripada Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan serta pasukan gimnastik berirama Malaysia ingin terus memberi tumpuan mencapai misi mereka untuk memperolehi satu pingat emas bagi edisi kali ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!