Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, berkongsi berita gembira apabila anak kembarnya, Sheikh Adam, menerima anugerah Ikon Murid Cemerlang 2024 di sekolahnya.
Dr. Sheikh Muszaphar meluahkan rasa syukurnya itu melalui hantaran di akaun Instagram, baru-baru ini.
Selain anugerah Ikon Murid Cemerlang, Adam juga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tulisan Tercantik 2024 di sekolah.
Dalam hantaran tersebut, Dr. Sheikh Muszaphar menceritakan pencapaian anak sulungnya yang kini berada di darjah satu.
“Ini anak lelaki sulung saya. Sheikh Adam, masih darjah satu, kembar kepada Sheikh Noah. Untuk tahun ini Adam telah menang Ikon Murid Cemerlang 2024 SK, No 1 di SRA dan Tulisan Tercantik 2024 SK.
Ads
“Gelak sekejap, pertama kali dengar anugerah tulisan paling cantik di sekolah. Tidak mengejutkan kerana Adam telah belajar menulis tulisan berangkai sejak berusia enam tahun,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Dr. Sheikh Muszaphar turut berkongsi rahsia kecemerlangan Adam.
“Tidak pasti di mana dia belajar, selalu kena marah dengan cikgu.
“Adam telah memenangi banyak anugerah dengan mudah, dia tidak pernah mengulangkaji dan sering bergurau.
Ads
“Namun apa rahsianya? Dia seronok belajar, mempunyai rasa ingin tahu setiap masa, selalu bertanya kenapa,” coretnya lagi.
Mengakhiri hantaran tersebut, Dr. Sheikh Muszaphar mengucapkan tahniah kepada Adam dan mendoakan kejayaan anaknya di dunia dan akhirat.
Selain Adam, anak perempuan sulung Dr. Sheikh Muszaphar, Sophia Isabella, juga tidak ketinggalan dalam pencapaian cemerlang.
Bella Sophia baru-baru ini diterima masuk oleh tiga institusi pendidikan terkemuka secara serentak iaitu Kolej Yayasan Saad, Kolej Tunku Kurshiah, dan Kolej Genius Permata Pintar Negara (KPPN). Setelah perbincangan sekeluarga dan solat istikharah, Dr. Sheikh Muszaphar memilih KPPN untuk Bella Sophia.
Pernah tak anda sangka sisa jagung yang selalu kita makan itu boleh dijadikan produk kecantikan? Itulah idea kreatif yang dicetuskan oleh sekumpulan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah baru-baru ini apabila mereka menghasilkan produk yang diberi nama Co-Scrubber yang berfungsi sebagai penyental kaki unik yang diperbuat daripada tongkol jagung.
Tiga pelajar jurusan Kosmetologi KV Keningau iaitu Rosbianahlin Rosli, Zetty Sherlin, dan Farisyah Sahipin berkata mereka menyedari bahawa tongkol jagung yang biasanya dibuang selepas bijinya diambil, masih boleh digunakan.
Mereka menjalankan eksperimen sehingga akhirnya berjaya menghasilkan penyental kaki mesra alam yang lembut tetapi berkesan untuk membuang sel kulit mati dan melembutkan kapalan. Selain kepedulian terhadap alam sekitar dan semangat inovasi, tiga gadis hebat ini juga berjaya membuktikan bahawa kreativiti boleh mengubah bahan terbuang menjadi sesuatu yang bernilai.
Tidak seperti batu apung yang boleh menyebabkan kulit mengelupas secara berlebihan atau berisiko menyebabkan jangkitan, produk Co-Scrubber menawarkan alternatif yang lebih selamat dan semula jadi.
Dalam pada itu, idea hebat ini bukan sahaja menarik perhatian rakan-rakan di sekolah, malah ia turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti Anugerah Perak dalam International Creative & Innovative Idea Competition (ICIIC) pada Februari 2025 dan mereka juga mendapat tempat kedua dalam pertandingan kitar semula di Taman Bandukan Music Festival pada November 2024.
Kredit: Facebook Kolej Vokasional Keningau
Pencapaian ini juga membuktikan bahawa inovasi hijau dan perusahaan sosial semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat global dan kalau anda nak tahu, walaupun Co-Scrubber ini kecil sahaja tapi ia mampu memberi impak yang besar kepada beberapa hal seperti berikut:
Mengurangkan Sisa Organik: Daripada menjadi sampah, tongkol jagung kini diberi ‘nafas baru’ sebagai produk yang lebih berfaedah.
Membantu Ekonomi: Para petani tempatan boleh menjual tongkol jagung yang biasanya tidak bernilai, sekaligus menambah pendapatan.
Menyokong Social Entrepreneurship: Menurut Rosbianahlin, Zetty, dan Farisyah, mereka berhasrat untuk menjadikan Co-Scrubber sebagai perusahaan sosial dengan bimbingan para guru di KV Keningau.
Kredit: Facebook Kolej Vokasional Keningau
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, turut meluahkan rasa berbangga dengan pencapaian ini dan menekankan bahawa projek ini adalah bukti bahawa pelajar kolej vokasional juga mampu mencipta dan memberi perubahan besar kepada masyarakat.
Wah! Nampaknya dunia pada masa kini semua orang mampu mencipta pelbagai inovasi dan ia tidak terhad untuk saintis dan jurutera kan! Melalui idea kreatif dan semangat yang tinggi, anda juga boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan siapa tahu mungkin selepas ini, giliran korang pula!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sambutan menggalakkan yang diterima daripada siri original Netflix, The Queen’s Gambit sehingga ke hari ini sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat di Malaysia mengenai keunikan sukan catur di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Kini barulah ramai sedar mengenai strategi yang perlu diatur oleh pemain dan betapa menariknya mereka menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur langkar.
Terbaru, kehadiran gadis pemain catur berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Nur Batrisya Wafa Bintin Mohsen di sebuah pertandingan catur antarabangsa telah mencuri tumpuan ramai.
Ibarat menyaksikan babak Elizabeth Harmon dalam siri The Queen’s Gambit itu sendiri, Batrisya mewakil Malaysia dengan mengambil bahagian dalam kejohanan Czech Open International Chess & Games Gestival yang telah mula dilangsungkan sejak 7 Januari lalu dan akan tamat pada 14 Januari 2022.
Kata ayahnya, Mohsen Amdan; 44 mengenai pembabitan anaknya yang juga merupakan pelajar SMK Convent Kajang itu, kehadiran mereka di sana sebagai salah seorang atlet catur adalah hasil pembiayaan sendiri sepenuhnya. Sebagai ibu bapa, mereka ingin Batrisya menggali sebanyak mungkin pengalaman daripada atlet antarabangsa dengan cara bertanding dengan mereka.
Tambahnya lagi, Batrisya mewakili kumpulan The Hacker Checker dalam kategori terbuka dan akan bermain dalam beberapa pusingan. Malah, selepas kejohanan ini, gadis itu akan terus bertanding dalam beberapa lagi kejohanan catur lain di Czech Republic.
Difahamkan, Batrisya bukanlah wajah baru yang menyertai pertandingan catur di peringkat antarabangsa. Sejak menunjukkan minat dari usia 10 tahun, dia telahpun aktif melibatkan diri dalam beberapa kejohanan sebelum ini. Cuma, musim pandemik telah sedikit merencatkan perancangannya untuk terus bertanding secara langsung dan hanya menyertai pertandingan di atas talias sahaja.
Antara kejayaan yang pernah dicipta oleh Batrisya adalah bergelar naib juara dalam kategori bawah 18 tahun di Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor 2021. Selain bertanding, dia juga mengasah lagi bakatnya dengan menurunkan ilmu sebagai tutor bagi remaja dan kanak-kanak yang berminat dengan sukan catur.
Tidak mustahil satu hari nanti, kita akan melahirkan juara dunia dalam sukan ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Adriana Syahmina Karim Mohamad Fuad baru-baru ini menjadi tular di laman Twitter apabila perkongsiannya yang telah mendapat tawaran dari dua universiti berprestij mendapat perhatian ramai.
Cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperoleh keputusan 9A+, anak jati Sarawak ini mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Kolej Seni & Sains, Cornell University yang terletak di New York dan dalam bidang Sains Bumi di Oxford University, United Kingdom.
Menariknya, kedua-dua tawaran tersebut diterimanya berselang kurang sebulan di antara satu sama lain.
Adriana yang merupakan bekas penerima Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak menulis dalam satu hantaran di Twitter, “Adakah saya benar-benar masuk ke oxford selepas mendapat ivy? Tidak percaya, memang tak percaya walau bagaimanapun saya sangat bersyukur. Alhamdulillah.”
Mengikut maklumat di laman linkedin miliknya, Adriana kini sedang mengikuti pengajian peringkat A levels di Kolej Yayasan UEM dan merupakan seorang pemegang biasiswa Shell.
Ketika dibangku persekolahan, selain cemerlang akademik dia sangat aktif dalam bidang kokurikulum. Atas kecemerlangannya itu, gadis berusia 20 tahun ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Tan Sri Datuk Rafiah Salim dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2020. Kedua-duanya dianugerahkan kepadanya oleh pengurusan Kolej Tunku Kushiah.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Cornell University merupakan sebuah university di Amerika Syarikat yang tersenarai dalam kelompok university bertaraf Ivy League menandakan institusi pendidikan itu merupakan salah sebuah institusi terbaik. Manakala Oxford University pula tersenarai sebagai sebuah universiti terbaik dunia.
Kolej Tunku Kurshiah merupakan antara sebuah sekolah berasrama penuh khusus untuk pelajar-pelajar wanita bumiputera di Malaysia. Saban tahun pelajar-pelajarnya cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum, dan institusi gah ini menjadi saksi lahirnya ramai tokoh terbilang yang mencorak negara.
Antara alumni terkenal sekolah ini seperti Datin Seri Dr Wan Azizah, Prof Datuk Dr Mazlan Othman, Datin Marina Mahathir dan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!