Kenyataan lama Adam Adli Abd Halim yang pernah menyifatkan cadangan Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyekat peminjam culas ke luar negara sebagai tindakan “bangsat” kembali menjadi perhatian apabila beliau kini mempertahankan langkah tersebut.
Namun menurut Adam yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, pendekatan yang diambil oleh kerajaan Madani ketika ini berbeza berbanding pelaksanaan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Adam menegaskan bahawa penyenaraian hitam terhadap peminjam PTPTN tidak dilaksanakan secara menyeluruh seperti sebelum ini, sebaliknya hanya melibatkan kes-kes tertentu yang memerlukan tindakan tegas.
Ads
“Seperti mana kita jelaskan tadi, penyenaraian hitam (terhadap peminjam PTPTN) bukan menyeluruh polisi seperti mana kita (kerajaan) lakukan suatu masa dahulu.
“Sebaliknya hanya dalam kes tertentu yang melibatkan perlu tindakan tegas terhadap mereka yang memiliki keupayaan (membayar balik pinjaman) berbanding mereka yang lain.
“Hanya 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam yang culas, itu meliputi kurang 3,000 berbanding 417,000 (secara keseluruhan) peminjam yang disenaraikan culas (oleh PTPTN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu (GPS-Betong).
Ads
Dalam sesi tersebut, Richard membangkitkan persoalan mengenai garis masa untuk menilai semula penyenaraian hitam, khususnya melibatkan peminjam daripada kumpulan B40 agar ia selari dengan realiti pasaran kerja serta peningkatan kos sara hidup semasa.
Untuk rekod, Adam sebelum ini ketika bergelar aktivis pelajar pernah mengecam Pengerusi PTPTN ketika itu, Wan Saiful Wan Jan susulan cadangan untuk memperkenalkan semula sekatan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman.
Ketika itu, Adam mendakwa cadangan tersebut bercanggah dengan aspirasi Pakatan Harapan (PH), sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat mengenai keadilan dan keberkesanan dasar berkenaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: MalaysiaKini
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tahukah anda? Budaya buli di Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semakin lama semakin berleluasa. Isu buli di IPT awam juga telah menjadi topik perbincangan yang semakin serius terutamanya selepas kes tragis melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) beberapa tahun lalu yang membawa berlakunya kematian seorang pelajar akibat penderaan fizikal.
Kejadian tersebut bukan sahaja membuka mata masyarakat tentang realiti budaya buli di kalangan pelajar IPT tetapi juga menimbulkan persoalan tentang langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh institusi berkenaan untuk memastikan keselamatan mahasiswa mereka.
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, kes buli, baik secara fizikal mahupun melalui media sosial (cyberbullying) masih menunjukkan keperluan yang mendesak untuk tindakan yang lebih menyeluruh. Isu ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan dalam sistem pengawasan dan pendidikan, malah memberikan kesan besar kepada kesejahteraan fizikal, emosi dan akademik pelajar.
Foto Hiasan (Pexels – MART PRODUCTION)
Untuk pengetahuan semua, buli adalah perbuatan yang dilakukan seorang atau oleh beberapa orang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi lalu mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa.
Antara kes buli yang paling mendapat perhatian ramai ialah kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di mana seorang pelajar telah meninggal dunia akibat perbuatan kejam oleh rakan-rakannya sendiri.
Pada 1 Jun 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Pada awalnya, Zulfarhan dipukul untuk kali pertama kali pada 13 Mei 2017 di Bangunan Jebat, Asrama UPNM kerana disyaki mencuri laptop kawannya. Namun, mangsa tidak mengakui tuduhan yang dilontarkan kepadanya. Kemudian, pada 20 Mei 2017 pula, Zulfarhan telah dipanggil ke bilik 4-10 Bangunan Jebat, Asrama UPNM pada jam 3:00 pagi untuk disoal siasat berkenaan kehilangan laptop tersebut tetapi Zulfarhan tetap tidak mengakui tuduhan tersebut.
Akibat daripada hal tersebut, Zulfarhan telah dipukul beramai-ramai iaitu 20 hingga 30 orang pelajar sehingga 11:00 pagi pada 21 Mei. Antara objek yang digunakan mereka untuk mencederakan Zulfarhan adalah seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Pada 27 Mei 2017, Zulfarhan yang dalam keadaan lemah telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi menggunakan keadaan persendirian. Zulfarhan telah diberikan kebenaran pulang dan perlu menjalani rawatan lanjut pada 31 Mei 2017.
Pada 30 Mei 2017, Zulfarhan telah dibawa ke sebuah kondominum di Bangi untuk berehat bersama dua suspek yang membulinya. Pada 1 Jun 2017, Zulfarhan meninggal dunia di kondominum berkenaan pada jam 9:10 malam sebelum pengawal keselamatan memaklumkan kepada polis. Zulfarhan dihantar ke Hospital Serdang dengan ambulans sebelum disahkan kematiannya.
Polis telah membuat tahanan reman kepada 36 penuntut UPNM dan United untuk membantu siasatan. Pada akhirnya, bertarikh 2 Jun 2017, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru pada jam 9:30 malam.
Terbaharu, kes buli yang juga melibatkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berlaku sekali lagi apabila seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10:45 malam, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad di institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Seksyen itu mempertuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Sebelum ini, UPNM turut digemparkan dengan kejadian membabitkan seorang pelajar yang telah ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur. Menurut ketua polis negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejadian tersebut berlaku pada 22 Oktober lalu pada pukul 11:45 malam di bilik asrama UPNM.
Pada hari kejadian, terdapat beberapa orang senior berada di dalam bilik tersebut dan salah seorang daripada mereka, merupakan pegawai kadet tahun empat meminta mangsa untuk menggosok baju kerja miliknya. Secara tiba-tiba, seorang pelajar senior berusia 22 tahun mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap di bahagian dada sebelah kanan mangsa sebanyak satu kali. Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menyebabkan pengadu terkejut lalu menjerit.
Kes buli di UPNM yang telah berlaku pada Oktober 2024 ini telah menimbulkan campur tangan ramai pihak atasan termasuklah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah mengambil langkah tegas terhadap kes buli di UPNM termasuk pengusiran pelajar yang terbukti bersalah.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) berusaha sehabis mungkin bagi memastikan kes buli dan budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk dihentikan serta-merta. Yang di-Pertuan Agong pula bertitah supaya budaya penderaan di UPNM dihentikan sekali gus meminta semua pihak untuk berusaha dalam menamatkan budaya yang tidak sihat ini serta mengembalikan semula nama baik universiti tersebut.
Pihak (MINDEF) sudah membentangkan segala penambahbaikan di parlimen agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap Pegawai Kadet Akademi Latihan Kententeraan (ALK) UPNM yang terbabit dalam kes-kes buli yang terbaru atau kes yang sebelum ini. Menteri Pertahanan juga berkata, hukuman terhadap pegawai-pegawai tersebut yang telah dikenakan hukuman sebelum ini juga adalah satu bentuk pencegahan supaya kes buli dan penderaan ini tidak terulang lagi.
Tindakan hukuman tersebut merupakan satu mesej jelas sekiranya kejadian buli dan penderaan berulang. Perkara ini dilakukan supaya individu yang lain boleh menjadikannya sebagai satu pengajaran agar peristiwa ini tidak terulang lagi. Sultan Ibrahim dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, turut tidak mahu nama baginda dikaitkan dengan UPNM.
Baginda bertitah, “Jika ianya terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi serta Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah”.
Akibat kes-kes buli yang berlaku di UPNM ini, Majlis Angkatan Tentera (MAT) bersetuju untuk menamatkan pengajian kelima-lima pegawai kadet dari UPNM yang terbabit dalam tiga kes buli berkenaan. Pegawai kadet terbabit juga diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka. Berlakunya campur tangan daripada pihak atasan ini semestinya mampu mencegah gejala buli ini daripada terus berleluasa dalam kalangan pelajar.
Bagi hukuman kepada pembuli yang telah menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman, para pembuli telah dikenakan hukuman setimpal. Pada 23 Julai 2024, seramai enam orang bekas penuntut UPNM telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana telah membunuh Zulfarhan Osman. Keputusan tersebut telah dibuat sebulat suara oleh tiga panel hakim.
Sementara itu, hukuman penjara terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti yang didapati bersalah mencederakan Zulfarhan telah dinaikkan daripada tiga tahun kepada empat tahun.
Bagi kes buli yang terbaharu pula, ATM telah membuang lima kadet UPNM dan mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM 189,240 terhadap mereka sebagai pampasan atas kesalahan buli yang dilakukan dalam tiga kes berasingan. Mereka juga termasuk seorang kadet yang mencederakan seorang pelatih dengan seterika panas pada bulan Oktober lalu.
Dalam kes buli menggunakan seterika panas yang melibatkan mangsa bernama Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, pelakunya iaitu Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan diarahkan untuk membayar sebanyak RM 44,600 kepada kerajaan sebagai pampasan dan kini sedang dibicarakan di mahkamah berhubung kes tersebut yang telah
Kes buli yang berlaku ini boleh menimbulkan pelbagai kesan yang akan menyebabkan nama institusi UPNM terjejas. Isu ini juga akan menimbulkan kesan kepada kemasukan pelajar baru ke UPNM yang akan mempunyai rasa takut untuk menerima tawaran serta melanjutkan pengajian ke institusi ini.
Imej baik institusi UPNM turut boleh terjejas kerana perspektif masyarakat sesebuah institusi berprestij sepertinya sebagai tempat menuntut ilmu dan sebagai pusat pendidikan sudah tersimpang menjadi impresi negatif disebabkan kes buli yang sering berlaku.
Pada pihak pelajar yang menjadi mangsa pula, mereka tentunya akan mengalami isu kemurungan dan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pembelajaran disebabkan tekanan mental atau fizikal yang dilakukan oleh pembuli. Sekiranya kes menyebabkan kecederaan parah, keluarga mangsa akan mengambil tindakan dan memperbesarkan masalah ini kepada pihak berkuasa.
Foto Hiasan (Pexels – RDNE Stock Project)
Antara solusi yang boleh diterapkan terutamanya oleh pihak UPNM sendiri adalah dengan meningkatkan sokongan psikologi dan kaunseling kepada pelajar. Pakar kaunseling boleh ditempatkan di semua peringkat pendidikan untuk menyediakan bantuan psikologi yang menyeluruh bagi membantu pelajar menangani tekanan atau isu peribadi mereka.
Pihak UPNM perlu memastikan bahawa terdapat saluran yang selamat dan mudah diakses bagi pelajar untuk melaporkan sebarang kejadian buli tanpa rasa takut akan pembalasan atau stigma. Pihak universiti juga perlu menjamin bahawa setiap aduan akan disiasat dengan adil dan telus. Manakala, tindakan tegas terhadap pelaku buli termasuk penggantungan pengajian atau pemecatan pula wajar dilakukan sekiranya terbukti bersalah.
Pihak luar juga perlu mengambil berat tentang kejadian kes buli ini terutamanya dalam kalangan media elektronik mahupun media cetak yang perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menangani masalah buli.
Pihak media haruslah mempamerkan info-info atau maklumat bermanfaat di media massa supaya remaja dapat mempelajari perkara yang benar dan mengikut landasan agama yang telah dipelajari sejak kecil. Hal ini kerana kuasa media massa dalam mempengaruhi minda pembaca memang tidak dapat disangkal lagi.
Di samping itu, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan melakukan program-program yang boleh menyedarkan masyarakat terutamanya dalam kalangan pelajar akan isu buli ini.
Cadangan ini boleh dilakukan dengan memfokuskan kepada kelompok-kelompok tertentu seperti kepada ibu bapa dan guru bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu agar dapat mengenali sama ada anak mereka pernah menjadi mangsa buli atau tidak.
Cadanggan bentuk program kedua pula mensasarkan kepada remaja kerana golongan remaja merupakan kelompok yang banyak menjadi pembuli atau mengsa buli. Masalah buli ini perlu ditangani dengan serius dan mengambil segala cadangan yang berkesan untuk mencipta persekitaran yang lebih harmoni serta positif bagi semua pelajar.
Kesimpulannya, kes buli di UPNM menunjukkan betapa seriusnya masalah buli di institusi pendidikan. Oleh itu, pentadbiran universiti mestilah proaktif dalam menangani isu ini dengan polisi anti-buli yang efektif serta menyediakan laporan yang selamat.
Laporan kes-kes buli di peringkat global telah menunjukkan bahawa kes buli telah mula menjadi satu jenayah baru yang mendatangkan implikasi negatif sekiranya tidak ditangani secara serius oleh semua pihak. Bagi tujuan membentuk kanak-kanak dan remaja yang membangun secara sihat, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting bagi mewujudkan persekitaran yang mampu mencegahnya daripada berulang.
Tanpa usaha yang berterusan untuk mengurangkan dan mencegah berlakunya gejala buli ini, masyarakat mempertaruhkan soal kesihatan dan kebajikan kanak-kanak serta remaja pada hari esok dalam keadaan berisiko.
Rencana di atas merupakan hasil penulisan sepenuhnya pelajar Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor – kampus Puncak Perdana di bawah subjek FSC 411-Introduction To Writing, Theaory And Practice.
(CAFF233 / 1A)
Nur Athirah Binti Adnan (2024680896)
Nurul Najiha Binti Ismail (2024419414)
Siti Hajar Binti Daud (2024680432)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
124 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah dilaporkan mengalami trauma selepas pemergian tragis rakan mereka, Allahyarham Zara Qairina. Susulan insiden yang mengejutkan negara itu, pihak berkuasa kini menjalankan proses intervensi bagi membantu pelajar yang terkesan pulih daripada tekanan emosi.
Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, pihak polis mengambil pendekatan proaktif dengan menghantar pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ untuk mengendalikan intervensi tersebut. Langkah ini melibatkan elemen psikiatri, kaunseling dan sokongan psikososial bagi memulihkan keyakinan pelajar yang terjejas.
“Seramai 124 pelajar kita kesan mengalami trauma akibat insiden ini. Intervensi ini adalah proses untuk memulihkan keyakinan supaya tahap keyakinan mereka kembali pulih dan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” jelas beliau.
Untuk rekod, pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu sekolah tersebut, ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama sekitar jam 3 pagi. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia, meninggalkan kesedihan yang mendalam buat keluarga, rakan dan seluruh warga sekolah.
Bagi rakan-rakan sekolah yang rapat dengan arwah, kehilangan ini bukan sahaja memberi kesan emosi, malah mengubah suasana harian di asrama dan bilik darjah. Program intervensi yang dijalankan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi perasaan, mengurangkan rasa takut, dan mendapatkan bimbingan daripada pakar kesihatan mental.
Kes ini menjadi peringatan kepada semua remaja tentang pentingnya menjaga kesihatan mental, peka terhadap persekitaran, dan saling menyokong antara satu sama lain. Jika berdepan tekanan atau masalah, remaja disarankan untuk bercakap dengan guru, kaunselor atau ahli keluarga yang dipercayai, agar emosi tidak terpendam dan membebankan diri.
Walaupun tragedi ini sukar untuk dilupakan, dengan bimbingan dan kasih sayang daripada komuniti sekolah serta keluarga, diharapkan semua pelajar yang terjejas dapat kembali bangkit, meneruskan pelajaran, dan menjadikan pengalaman ini sebagai kekuatan untuk masa depan.
Sungguh menginspirasikan apabila seorang remaja berusia 14 tahun, Muhammad Asri Rosli baru-baru ini menerima pingat Hang Tuah sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 atas keberaniannya menyelamatkan rakan yang terkena renjatan elektrik pada 2 Oktober lalu.
Menurut Asri, dia mengakui teruja, gembira dan terharu yang bercampur-baur disaat menerima anugerah tersebut serta sempat berkongsi kisah ketika kejadian tersebut berlaku.
Katanya, pada ketika kejadian itu berlaku, dia sedang bermain sepak takraw bersama rakan di sekolah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.
“Masa saya dan rakan nak ambil bola, saya nampak dia memegang besi dalam keadaan bergetar. Saya tarik dia beberapa kali sebelum tangannya terlepas dari besi. Saya terus peluk dia dan rasa ada aliran elektrik pada badannya”
“Kemudian, saya terus bawa dia ke bilik guru pendidikan jasmani,” katanya.
Dalam pada itu, ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci, Zuraini Harun (49) turut meluahkan rasa bangga dengan tindakan anak keenam daripada lapan beradik itu. Jelasnya, Asri dilahirkan kembar tiga dan antara ketiga-tiga mereka, anaknya itu paling banyak mengalah dan bijak.
“Apa yang dia buat (menyelamatkan rakan) amat membanggakan kami sekeluarga,” ujar Zuraini.
Bercakap mengenai penerimaan pingat anugerah berkenaan, Muhammad Asri membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi.
Sementara itu, pada majlis yang sama, tujuh anugerah diumumkan merangkumi Anugerah Pingat Hang Tuah, Anugerah Khas Kanak-Kanak, Anugerah Gemilang Akademik, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Keseniaan, Anugerah Gemilang OKU, Anugerah Gemilang Sukan dan Anugerah Khas NGO Kanak-Kanak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!