Di sebalik runtuhan bangunan, dentuman bom dan derita peperangan yang tidak berkesudahan, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza membuktikan satu perkara penting iaitu impian dan ilmu tidak pernah mati.
Ia dibuktikan menerusi majlis graduasi penuh simbolik melibatkan 230 graduan Fakulti Perubatan dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Gaza, yang diraikan di tengah-tengah kemusnahan akibat konflik berpanjangan.
Graduan-graduan ini dikenali sebagai ‘Kelas Phoenix 2025’, satu gelaran yang sarat dengan makna kebangkitan, ketahanan dan keazaman luar biasa untuk terus berkhidmat kepada kemanusiaan walaupun diuji dengan penderitaan yang sukar dibayangkan.
Lebih menyentuh hati, majlis graduasi bersejarah ini diadakan di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa, hospital terbesar di Gaza yang musnah teruk dan pernah diserbu sebanyak dua kali sepanjang pencerobohan Israel.
Pemilihan lokasi itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa ilmu, harapan dan nilai kemanusiaan tetap subur walaupun di tengah kehancuran.
Sepanjang tempoh pengajian, para graduan berdepan cabaran luar biasa, daripada pengeboman berterusan, kehilangan ahli keluarga tersayang, hinggalah kepada sistem kesihatan dan pendidikan yang sering terganggu. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
Majlis graduasi yang ditaja oleh Samir Foundation ini turut mencuri perhatian ramai di media sosial, apabila netizen meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan luar biasa para graduan dalam mengejar ilmu sehingga ke menara gading, meskipun berada di zon peperangan.
Ads
Lebih meruntun perasaan, majlis tersebut turut dihiasi dengan gambar pelajar perubatan yang gugur syahid, di bawah slogan penuh makna.
“Mereka bersama kami di jalan perjuangan, tetapi bukan di podium graduasi.”
Salah seorang graduan, Ezz El-Din Lulu, berkongsi kisah pilu perjalanannya apabila mendedahkan dirinya kehilangan 20 ahli keluarga termasuk bapanya, yang sehingga kini masih tertimbus di bawah runtuhan.
Ads
“Kehilangan itu amat menyakitkan, tetapi ia tidak menghalang saya untuk menamatkan pendidikan,” katanya.
Bagi Raghad Hassouna, nama Phoenix bukan sekadar simbol, sebaliknya satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
“Kami bangkit daripada penderitaan dan kemusnahan, daripada cabaran perang yang besar dengan azam yang lebih kuat untuk terus hidup berjaya,” ujarnya.
Seorang lagi graduan, Dr. Alaa Zaqout dari Universiti Islam Gaza berkata, tempoh pengajiannya bertepatan dengan perang tragis yang menghancurkan keluarga serta institusi pendidikannya.
“Kesan psikologi itu sangat berat, namun ia hanya menguatkan semangat saya untuk menamatkan pengajian perubatan,” katanya sambil mendedahkan pengajiannya tertangguh hampir enam bulan akibat konflik peperangan.
Ads
Sementara itu, Dr. Reham Al-Souri dari Universiti Al-Azhar menjelaskan beliau terpaksa menjalani latihan dalam keadaan amat berbahaya dengan sumber yang sangat terhad akibat pengepungan dan kemusnahan infrastruktur kesihatan.
Gangguan elektrik dan internet, kesukaran pengangkutan serta jadual latihan yang tidak menentu menjadi rutin hariannya ketika bertugas di Hospital Syuhada Al-Aqsa.
Di Gaza, majlis graduasi ini bukan sekadar penutup perjalanan akademik. Ia menjadi simbol perjuangan hak kemanusiaan, ketahanan jiwa dan harapan masa depan.
Biarpun berada di zon peperangan dan kemusnahan, graduan-graduan doktor yang dilahirkan ini tetap bersedia menyembuhkan luka, berkhidmat kepada masyarakat dan menghidupkan kembali harapan rakyat Gaza.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nama Amanda Gorman, 22 tahun nampak terus menjadi sebutan apabila kali ini, dia disambar untuk menjadi seorang model di bawah agensi model antarabangsa, IMG Models.
IMG dalam kenyataan media semalam menyatakan bahawa mereka akan memperkembangkan peluang Amanda untuk kempen endorsement dan penggambaran fesyen.
Ramai pemerhati merasakan bahawa berita ini sedikit mengejutkan dan tidak menyangkan seorang pemuisi muda seperti Amanda akan menerima tawaran tersebut. Namun, dia sebenarnya telah terlibat secara langsung dalam dunia fesyen tidak lama dulu.
Sebelum ini, Amanda pernah berkerja sebagai seorang wartawan bagi jenama fesyen Itali, Prada, untuk misi kempen kemampanan (sustainability) alam sekitar.
Amanda bersama Joel Edgarton semasa menghadiri pertunjukan fesyen Prada pada tahun 2019. Sumber Foto: Teen Vogue.
“Perubahan sedang galak berlaku dalam industri fesyen dan ia adalah perubahan yang kita wajar sokong tanpa mengira jenama. Pada waktu ini, dunia ‘cemas’ memikirkan impak industri kepada alam sekitar.
“Tetapi bagi setiap permasalahan itu wujud penyelesaian. Setiap kali kita membeli pakaian baru sama ada di Prada atau stor lain yang menggunakan bahan serta fabrik mesra-alam, kita secara tak langsung menyokong masa depan yang lebih cerah untuk alam sekitar dan masyarakat.”
Jika sebelum ini, IMG Models pernah merekrut gadis di luar industri fesyen seperti Halima Aden (Miss Mennesota USA), Maddie Zigler (penari), Sky Ferreira (penyanyi) dan sebagainya.
Puasa hari putih dikenali sebagai puasa ayyamul bidh iaitu puasa pada hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan setiap bulan Islam (Hijriyyah). Pahala sunnah ini seumpama berpuasa sepanjang tahun.
Bagi bulan November ini, puasa ini boleh dilakukan bermula esok iaitu 15 hingga 17 November ini pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Puasa
“Ayyamul Bidh” bermaksud “hari-hari putih,”
Istilah “Ayyamul Bidh” bermaksud “hari-hari putih,” merujuk kepada waktu ketika bulan purnama bersinar terang. Antara kelebihan Puasa Ayyamul Bidh adalah mendapat ganjaran pahala sepanjang tahun.
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh (putih) iaitu pada 13, 14 dan 15. Baginda berkata: hari-hari tersebut umpama setahun.” (HR Abu Daud, hadis sahih)
NIAT PUASA HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
Kelebihan berpuasa menurut sains
Kajian yang dilakukan oleh Profesor Valter Lango, Universiti Southern California mendapati sistem ketahanan badan yang berpuasa berada dalam keadaan bagus daripada sebelumnya.
Difahamkan juga risiko untuk mengalami penyakit berbahaya seperti kanser adalah lebih rendah kerana sistem imunisasi badan anda berada di tahap yang bagus berbanding biasa.
Jadi, jangan lupa untuk rebut peluang ini dan berpuasa pada 15,16 serta 17 November.
Baru-baru ini, jaguh tenpin boling negara, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam berjaya melakar sejarah apabila muncul wakil negara pertama dengan membawa pulang gelaran juara dalam Jelajah Persatuan Boling Profesional (PBA) di Amerika Syarikat (AS), pada Rabu.
Menurut laporan Sinar Harian, atlet yang kini berusia 25 tahun itu dinobatkan sebagai juara PBA Chameleon selepas menewaskan wakil tuan rumah, Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Bowling Stadium Reno, Nevada.
Dalam pada itu, menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Professional Bowlers Association (PBA), Tun Ameerul menyifatkan kemenangan bersejarahnya itu sebagai satu pencapaian yang menakjubkan.
“Ia amat menakjubkan muncul juara Jelajah PBA, yang juga gelaran pertama saya. Ini adalah untuk semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Tun Ameerul sebelum itu mendominasi pusingan kelayakan dan mengesahkan slot untuknya ke peringkat akhir stepladder.
Beliau bermula dengan baik apabila mengatasi pemain AS, Boog Krol dengan 237-226, 216-247, 268-267, 279-187.
Tun Ameerul kemudian meneruskan momentum cemerlang apabila menewaskan juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, 245-214, 245-228, 254-215.
Sementara itu, kemenangan tersebut menyaksikan beliau membawa pulang sejumlah wang USD20,000 (RM88,510) dan trofi piala.
Pada masa yang sama, juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas peluang muncul wakil negara pertama memenangi Jelajah PBA apabila tewas kepada wakil Sweden, Rasmus Edvall, 172-224 dalam saingan final stepladder PBA Scropion Championship.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!