
Berita baik buat Anak Pahang yang bekerja atau menetap di luar negeri! Kerajaan Negeri Pahang meneruskan lagi inisiatif khas sempena Aidilfitri menerusi pemberian Baucar Raya bernilai RM100 untuk membantu rakyatnya pulang beraya di kampung halaman.
Tawaran ini dibuka kepada 10,000 pemohon terawal yang memenuhi syarat ditetapkan. Usaha ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Raya, malah menjadi platform untuk mengeratkan semula hubungan kekeluargaan yang mungkin terpisah dek tuntutan kerja dan kehidupan di perantauan.
Menurut syarat permohonan, baucar tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas, bergelar “Anak Pahang” yang kini bekerja atau menetap di luar negeri Pahang dan merancang untuk pulang beraya ke negeri itu pada musim perayaan ini.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan Google Forms yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang disenaraikan dalam kempen berkenaan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 5 Mac 2026, dan hanya 10,000 individu pertama yang berjaya mendaftar akan layak menerima baucar tersebut.
Inisiatif ini turut dikongsikan di platform media sosial rasmi kerajaan negeri dengan kapsyen yang cukup sinonim, “Anak Pahang di perantauan, moh balik raya!” sambil menggalakkan mereka yang layak untuk segera membuat permohonan sebelum kuota penuh.
Kempen tahunan “Baucar Raya RM100” ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong mobiliti sosial serta kebajikan rakyat Pahang, khususnya golongan muda yang merantau mencari rezeki di luar negeri.
Jadi, buat Anak Pahang di luar sana, jangan tunggu lama-lama. Kalau dah rindu suasana kampung dan nak raya lebih bermakna tahun ini, inilah masanya untuk mohon sebelum terlambat!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Awani
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












