
Daripada sejumlah 1,500 peserta yang mendaftar untuk kejohanan Ironman Langkawi 70.3 pada tahun ini, Ziq Junaidy berjaya membuktikan Malaysia tidak ketandusan atlet berkaliber setelah dirinya menamatkan saingan sebagai atlet Malaysia terpantas, semalam.
Ziq yang juga merupakan atlet duathlon negara mencatatkan masa 4 jam 52 minit 39 saat dalam sukan jarak jauh itu walaupun berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu di Langkawi.

Menurutnya ketika ditemui rakan pemberita, kejayaan ini mengukuhkan persediaannya dalam usaha menempah slot ke Sukan SEA Kemboja pada tahun 2023.
“Ia sudah memadai untuk menamatkan saingan sebagai rakyat Malaysia terpantas. Lebih manis lagi kejayaan ini juga adalah hadiah hari lahir,” katanya.

Dalam pada itu, selebriti tempatan Alif Satar yang juga merupakan wajah sinonim dalam saingan Ironman Langkawi turut berjaya menamatkan saingan sebagai pasukan ‘relay’ pertama yang tiba di garisan penamat. Alif dan pasukannya, Team Boom! mencatatkan masa 4 jam 41 minit 22 saat sekaligus mengenepikan saingan 25 pasukan lain.
Catatan peribadi Alif itu juga menempatkannya di kedudukan ke-11 daripada 419 atlet lelaki yang bersaing pada kali ini. Syabas Alif!
Dalam pada itu, kategori atlet wanita juga menyaksikan Tahira Najmunisaa muncul sebagai wanita Malaysia terpantas dengan catatan masa 5 jam 14 minit 55 saat.
Tahira yang juga merupakan pemenang pingat perak di Sukan SEA Hanoi berkata kejayaan ini merupakan pembakar semangat untuknya setelah beberapa bulan tidak menjalani latihan secara sistematik kecuali sekadar berbasikal dan joging untuk mengekalkan stamina.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Enggan Rai Populariti Sementara, Azfar Heri Kongsi ‘Struggle’ Di Sebalik Kejayaan

AZFARHERI
Raikan Kemenangan
Foto IDEAKTIV oleh Azfarina Sulaiman & Niza Suhaimi
Penyelaras & Teks Ain Norman Arahan FZ Aimman Penata Gaya Ruziana Zainal
Video Sherfiqa Solekan & Dandanan Ayang Kamell
Lokasi Four Points By Sheraton, Chinatown Kuala Lumpur
Persalinan COACH & LEVI’s Malaysia
“Eh, mana (orang) yang lain?”
Berdiri tunggal seorang diri, kehadiran Azfar Heri tanpa pembantu peribadi yang seakan sudah menjadi kawajiban dalam kalangan personaliti remaja tempatan disambut team Remaja di kaki bangunan hotel Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown awal Ramadan lalu.
Trafik sedikit sesak katanya, menjadikan diri yang sedang berpuasa ini sedikit letih. Begitupun, semangat untuk menjalankan sesi penggambaran cover pertamanya membuatkan Azfar kekal bertenaga. Tiada sekelumit resahan hadir dari bibir. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah faktor yang membolehkan Azfar kekal diminati warganet sehingga ke hari ini.
Pendakian drastik pemilik nama Azfar Heri ini sebagai seorang personaliti media sosial sepanjang tahun lalu tidak boleh disangkal. Dengan pengikut seramai 1 juta orang di Instagram dan lebih 700 ribu lagi di laman Twitter, pastinya kelibat remaja berusia 23 tahun ini tidak pernah terlepas daripada ‘melalui’ halaman timeline warganet di Malaysia.

Peningkatan jumlah pengikut itu juga sekali gus membolehkan Azfar tergolong dalam carta lima akaun Twitter yang mencatatkan peningkatan pengikut tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.
Not bad for a guy who started all of this by uploading a recipe video on Instagram Story, right?
“Saya memang minat memasak! Mulanya, hanya rakan terdekat yang memberikan komen positif terhadap video masakan saya itu dan mencadangkan agar saya menyenaraikannya dalam segmen butang ‘highlight’ di Instagram.
“Saya kemudiannya menukar strategi dengan memuat naik video masak berdurasi seminit pula. Seingat saya, daripada situlah video masakan saya jadi viral apabila ramai orang awam mula kongsikannya di Twitter.
“Kebetulan pula waktu itu sudah menghampiri bulan Ramadan, bertambah bersemangatlah saya berkongsi resipi-resipi lain di media sosial,” kata Azfar membuka bicara ketika bertemu empat mata dengan penulis. Dia kemudiannya mencipta akaun YouTube dan mula memikirkan selain resipi masakan demi mempelbagaikan lagi graf content.

Tegas Mendidik Adik
Mungkin ramai yang tidak tahu, Azfar kini merupakan seorang pelajar tahun akhir jurusan multimedia di Universiti Kuala Lumpur. Menjadi seorang pelajar bergelar personaliti media sosial nyata bukanlah satu perkara yang mudah; apatah lagi jika seseorang itu mengambil berat akan soal pelajarannya seperti Azfar.
“Sejak PKP tahun lalu, saya hanya menghadiri kelas secara atas talian. Adakalanya agak sukar untuk saya terkejar-kejar menyiapkan tugasan oleh pensyarah. Dan untuk itu, saya bersyukur kerana mempunyai rakan sekuliah yang sangat membantu dan para pensyarah yang memahami.
“Jika tidak bergelar Azfar Heri seperti yang kamu kenali sekarang, saya mungkin akan memilih kerjaya sebagai seorang video editor. (ketawa) Itupun kerana minat mendalam.”
Dari perawakan luaran, karakternya jelas merupakan seorang yang periang. Gelak tawa sering menjadi penyeri dan trademark dalam video yang dimuat naik. Begitupun, hanya segelintir tahu tanggungjawab besar Azfar Heri yang sebenar terhadap keluarganya telah menjadikan sebagai seorang yang tegas ketika mendidik adik-adik di bawah jagaannya.

“Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan mempunyai empat orang adik-beradik. Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung, sudah tentu ia merupakan satu tugas besar buat saya; tambahan pula apabila kami dikurniakan rezeki memiliki seorang adik istimewa.”
“Of course, tugas yang digalas oleh saya ini punya cabaran. Pada usia muda, saya perlu memikirkan cara terbaik menjaga keperluan keluarga. Ada masanya, saya juga terduduk termenung. Namun, kekuatan saya datang daripada ibu saya sendiri. Apabila melihat beliau mengigihkan usaha dan keringat menjaga kami empat beradik seorang diri, saya akan mendapat suntikan semangat untuk turut berdiri dengannya. Kami harus menjadi kuat demi keluarga,” luahnya ketika sedang menyarungkan persalinan jenama Coach, Levi’s Malaysia & kaca mata oleh Safilo Group dalam pekarangan kamar hotel.

Nyala by Azfar Heri
Biarpun namanya kian memuncak, Azfar enggan mendabik dada serta meraikan kemenangan trend seketika. Itulah yang mendorongnya bagi sentiasa memikirkan jalan menggembangkan lagi pengaruh ke bidang perniagaan pula.
Azfar mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan menerusi jenama Nyala by Azfar Heri. Mengakui ini adalah salah satu ‘backup’ plan untuk kerjayanya, perniagaan lilin terapi ini mula diusahakan pada akhir tahun lalu dan memperoleh respon yang cukup memberangsangkan!
“Alhamdulillah atas perjalanan baharu ini yang dipermudahkan Ilahi. Kita tidak tahu sampai bila nama kita berada di atas. InsyaAllah, Nyala by Azfar Heri ini merupakan cabang kerjaya jangka panjang yang sedang saya usahakan.
“Rakan sayalah yang mencadangkan agar memperkenalkan lilin terapi kerana mereka sudah ‘masak’ dengan citarasa saya terhadap variasi lilin. Buat masa ini, saya pernah melancarkan lima jenis aroma dan sambutan yang diterima agak mengejutkan. Setiap kali dilancarkan, akan sold out. Saya hanya mampu memanjatkan syukur kepadaNya dan juga berterima kasih kepada rakan saya yang banyak memberikan nasihat bagi menjalankan perniagaan ini.

“Besar harapan saya agar satu hari nanti dapat mewujudkan concept store bagi jenama lilin, Nyala by Azfar Heri. Mungkin sekali sebuah stor di setiap negeri.
“Bila saya menjual lilin aromaterapi seperti ini, customer’s experience itu jauh bezanya bila mereka dapat menghidu bauan lilin terlebih dahulu. Kalau jual secara online seperti sekarang, mereka mungkin tidak dapat feel bauan yang kami sediakan. Doakanlah agar impian saya ini tercapai, insyaAllah.”

Tradisi Aidilfitri Masih Terasa
Dua tahun berturut-turut, negara berdukacita apabila sambutan Aidilfitri terhalang oleh merebaknya wabak COVID-19. Buat Azfar, kemeriahan mungkin sedikit suram namun tradisi keraian ini masih akan terasa.
“Seperti tahun-tahun lalu, setiap kali Ramadan memang saya akan masak sendiri di rumah. Setibanya minggu terakhir persediaan Aidilfitri pula, saya bertukar sibuk mengemas rumah. Raya tahun ini, saya tak tahulah dapat balik ke kampung atau tidak (sebelum pengumuman PKP diumumkan), tapi saya tetap bersemangat menyambut Aidilfitri kerana masih ada saudara-mara yang menetap di sekitar Kuala Lumpur.
“Saya ini adalah di antara insan yang sudah terbiasa berhari raya dengan keluarga yang besar. Ibu saya saja mempunyai 11 orang adik-beradik! (Ketawa) Jadi, bayangkan sajalah kemeriahannya. Cabaran PKP ini memaksa kami redha sekadar membuat panggilan video sajalah bagi melepaskan rindu pada pagi Raya kelak.

“Di Melaka selalunya saya tidak akan ‘menang tangan’ melayan. Bergelut jadinya. (ketawa) Bila di KL ini, kesibukan itu hanya bertahan hingga ke petang Syawal pertama saja. Apapun, hari ini masih wajar diraikan sebagai simbolik umat Islam setelah sebulan berpuasa.
“Saya tetap menyediakan baju raya sedondon untuk kami sekeluarga. Selain itu, juadah wajib seperti sambal ayam sos dan ketupat pasti akan saya sediakan,” ujar Azfar menutup perbualan sambil mengucapkan Salam Lebaran buat semua yang mengenalinya dan sentiasa memberikan sokongan tidak terbelah bahagi.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pecah Rekod Selepas 10 Tahun, Tiga Anak Orang Asli Kelantan Cipta Sejarah Ke SBP -“Saya Nak Jadi Cikgu!”

Siapa sangka, selepas hampir sedekad tiada kemasukan pelajar daripada komuniti Orang Asli ke sekolah berasrama penuh (SBP), tahun ini mencipta detik baharu yang cukup membanggakan.
Tiga anak Orang Asli dari Kelantan berjaya melakar sejarah tersendiri apabila ditawar melanjutkan pelajaran ke SBP, sekali gus memecah rekod selepas 10 tahun tiada kemasukan pelajar daripada komuniti itu.
Tiga pelajar berusia 13 tahun tersebut ialah Muhamad Putra Faizul Ab Ghani, Nur Muhammad Al-Khawarizmi Rosmi dan Nor Cristina A/P Ranya yang dijadualkan memulakan sesi persekolahan pada 23 Februari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad, kali terakhir pelajar Orang Asli memasuki SBP adalah kira-kira sedekad lalu.
“Kita di JPN Kelantan sangat bangga dengan kejayaan mereka,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan tiga pelajar ini membuktikan bahawa dengan peluang yang adil serta sokongan berterusan, tiada yang mustahil untuk dicapai.
Difahamkan, dua pelajar ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, manakala seorang lagi ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
Dalam memastikan perjalanan mereka bermula dengan lancar, Kementerian Pendidikan turut menanggung kos pendaftaran ketiga-tiga pelajar berkenaan.
Lebih menyentuh hati, Muhamad Putra Faizul yang merupakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Rualberharap kejayaannya menjadi pembakar semangat buat anak-anak Orang Asli lain.
Sebagai anak sulung daripada dua beradik, dia menyimpan cita-cita besar untuk berjaya dalam pelajaran dan membuktikan bahawa pelajar daripada komuniti Orang Asli juga mampu bersaing dalam bidang akademik, sekiranya mempunyai tekad dan kesungguhan untuk berjaya.

“Saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini untuk mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu agar dapat menabur bakti dan membantu anak bangsa untuk berjaya kelak,” katanya.
Semoga kejayaan ini menjadi titik tolak kepada lebih ramai anak Orang Asli untuk berani bermimpi dan melangkah lebih jauh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mengapa ‘Lockdown’?

Pada minggu ini, perkataan “lockdown” tiba-tiba menjadi popular. Hal ini berlaku apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan “lockdown” fasa 2 di seluruh negara bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021 selama 14 hari.
Persoalannya ialah mengapakah masyarakat tidak mahu menggunakan istilah dalam bahasa Melayu? Tidak adakah istillah “lockdown” dalam bahasa Melayu? Ada sesetengah pengguna pula yang menggunakan akronim “kuncitara” yang dicipta daripada frasa “kunci sementara”. Akronim yang tidak baku ini banyak digunakan oleh masyarakat di Indonesia.
Perkataan yang baku untuk “lockdown” di negara kita ialah “sekatan pergerakan” atau “kawalan pergerakan”. Oleh sebab itulah, kerajaan menggunakan istilah “Perintah Kawalan Pergerakan” (PKP) untuk maksud tindakan mengadakan “lockdown”.
Namun demikian, kerajaan telah melaksanakan beberapa jenis “lockdown” atau “sekatan pergerakan” seperti yang berikut:
1. Perintah Kawalan Pergerakan Penuh
Istilah ini dikenali sebagai “Total Lockdown”. Istilah ini bermaksud satu keadaan apabila orang ramai atau masyarakat awam tidak dibenarkan langsung memasuki atau meninggalkan satu kawasan atau bangunan secara bebas kerana sesuatu wabak atau hal kecemasan. Dengan berdasarkan istilah ini, PKP yang dilaksanakan pada 1 hingga 14 Jun 2021 dapatlah dikatakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Penuh walaupun pelaksanaannya tidaklah 100 peratus kerana kerajaan mengambil kira pelbagai perkara yang berkaitan dengan ekonomi atau kesihatan.
2. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)
Istilah ini dibuat berdasarkan istilah “Total lockdowan”. Namun demikian, pelaksanaannya hanya di kawasan tertentu yang mencapai tahap merah. Semua pergerakan keluar masuk disekat.
3, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
PKPB ini lebih longgar. Pergerakan rentas daerah dibenarkan tetapi perintah rentas negeri dilarang. Dalam PKP jenis ini, 70 peratus pekerja dikehendaki bekerja dari rumah.
4. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
Perintah jenis ini pula sangat longgar kerana rakyat dibolehkan merentas negeri dan banyak aktiviti boleh dilaksanakan.
Apabila kerajaan membuat pengumuman untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh atau “Total Lockdown”, rakyat menjadi kelam-kabut. Hal ini terbukti apabila pasar raya menjadi tumpuan mereka untuk membeli pelbagai keperluan. Sepatutnya, rakyat tidak perlu resah kerana kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat dan bekalan keperluan harian mencukupi.
Untuk menghadapi bencana COVID-19 ini, setiap rakyat janganlah lupa akan penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Marilah kita mengangkat dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul walaupun kita terpaksa menghadapi serangan COVID-19 yang semakin menggila ini.. Gunakanlah istilah “Sekatan Pergerakan” atau SP untuk maksud “lockdown” dan “Sekatan Pergerakan Penuh” atau SPP untuk maksud “Total lockdown”. Ingatlah bahawa Bahasa Jiwa Bangsa. Apabila hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

