Inpirasi

Jurugambar Malaysia, Yuji Haikal Cipta Sejarah Di UAE! Karya ‘Lost In Translation’ Raih Naib Juara XIPA

Share

Baru-baru ini, nama Malaysia sekali lagi bergema di pentas antarabangsa apabila jurugambar tempatan, Yuji Haikal, berjaya meraih gelaran naib juara dalam kategori Portraiture di Anugerah Foto Antarabangsa Xposure (XIPA) yang berlangsung di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu. Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah menjadi simbol kemampuan anak tempatan menembusi persaingan global melalui seni visual.

Memetik laporan Astro Awani, Yuji atau nama sebenarnya Syed Muhammad Haikal Syed Mahbar (41), berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok terbaik daripada lebih 29,000 penyertaan seluruh dunia menerusi karya berjudul ‘Lost In Translation’. Lebih membanggakan, pendekatan fotografi jalanan yang sering dianggap ‘underground’ ini terbukti mampu berdiri sama tinggi dengan karya bertaraf antarabangsa.

“Perasaan seperti tidak percaya dan dalam masa yang sama rasa berbangga,” katanya.

Menurut Yuji, kejayaan tersebut membuktikan fotografi jalanan turut mempunyai nilai seni dan naratif untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Beliau juga sempat menjelaskan karya berkenaan yang merakam seorang gadis pelarian dari Rusia berdiri di sebalik cermin sebuah kedai serbaneka ketika konflik Rusia–Ukraine memuncak.

“Tanpa arah tuju yang pasti, kehidupannya seolah-olah terperangkap di dalam cermin,” jelasnya menggambarkan simbolik kehidupan individu yang tersepit dalam konflik geopolitik.

Pada masa yang sama, kemenangan ini turut melayakkan Yuji membawa pulang wang tunai AS$1,500 atau kira-kira RM6,000, selain karyanya dipamerkan di Hall of Fame Xposure Festival. Sepanjang sembilan hari festival berlangsung, semua kos penginapan dan penerbangan turut ditanggung pihak penganjur sebagai penghargaan kepada para pemenang.

Di samping itu, dalam kategori yang sama, tempat pertama dimenangi jurugambar dari Myanmar, Aung Kyaw Zaw, yang menewaskan lima peserta lain di peringkat akhir. Anugerah ini dinilai oleh barisan juri antarabangsa berprofil tinggi termasuk Muhammad Muheisein, Essdras M. Suarez dan Giles Clarke, sekaligus mengukuhkan kredibiliti kemenangan tersebut.

Sekadar info, kejayaan Yuji hadir seiring dengan kerjayanya sebagai pelatih teknologi maklumat (IT), membuktikan minat dan kerjaya profesional boleh berjalan seiring. Terdahulu, beliau pernah mencipta sejarah di Athens, Greece pada 2024 apabila dinobatkan sebagai Book Photographer of the Year pada International Photography Awards (IPA) ke-21 menerusi buku Why Aren’t You Taking Photos Anymore?.

Susulan itu, kisah Yuji Haikal juga menjadi bukti bahawa keberanian untuk mencuba dan konsisten berkarya mampu membuka peluang tanpa sempadan. Dengan kepercayaan terhadap hasil sendiri serta kesungguhan untuk terus melangkah, anak Malaysia mampu mencorakkan nama di peta dunia melalui apa jua bidang yang diceburi.

Sumber: Astro Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE