“Maaf anakku, kita akan terus mencari keadilan untuk kamu.”

Demikian luahan penuh emosi Wong Lee Ping, ibu kepada Yap Shing Xuen, remaja perempuan yang maut dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025.

Menerusi hantaran di media sosial, Lee Ping meluahkan kesedihannya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati remaja lelaki yang didakwa membunuh anaknya tidak waras ketika kejadian berlaku.

Biarpun hampir setahun berlalu sejak kehilangan Shing Xuen, luka yang ditanggungnya sebagai seorang ibu masih belum terubat. Malah, Lee Ping berikrar akan terus mencari keadilan buat anak perempuan yang disifatkannya sebagai harta paling berharga dalam hidup.

Yap Shing Xuen Masih Ada Banyak Impian

“Maaf Anakku…” Ibu Yap Shing Xuen Tekad Terus Tuntut Keadilan Selepas Keputusan Mahkamah

Dalam satu lagi perkongsian panjang di media sosial, Lee Ping mengenang kembali perjalanan hidupnya bersama Shing Xuen yang dibesarkan seorang diri selepas perkahwinannya berakhir tidak lama selepas anaknya dilahirkan.

Menurutnya, Shing Xuen merupakan seorang anak yang penyayang, prihatin, berdisiplin dan rajin serta masih mempunyai begitu banyak impian yang belum sempat direalisasikan.

Memetik Harian Metro, Lee Ping berkata anaknya masih mempunyai banyak perkara yang mahu dilakukan, tempat yang ingin dilawati dan masa depan yang belum sempat dilalui.

“14 Oktober 2025 merupakan detik paling gelap dan paling sukar untuk diterima dalam hidup saya. Pada hari itu saya menerima berita kematian anak saya.

Ads

“Seorang anak yang penyayang, prihatin dan rajin, kenapa terlalu kejam dia?” luahnya.

Selepas pemergian Yap Shing Xuen, Lee Ping mengakui dia cuba meneruskan kehidupannya seperti biasa dengan bekerja dan menjalani rutin harian. Namun jauh di sudut hati, dia merasakan sebahagian penting daripada kehidupannya telah hilang selama-lamanya.

Jika diberi peluang sekali lagi, Lee Ping berkata dia hanya mahu memeluk anak perempuannya dengan erat dan memberikan segala-galanya tanpa sedikit pun rasa kesal.

“Menjadi ibu kepadanya adalah detik paling indah dan membanggakan dalam hidup. Walaupun kini sudah tiada, dia adalah harta paling berharga yang pernah dimiliki,” katanya.

Ads

Keluarga Yap Shing Xuen Teliti Tindakan Susulan

“Maaf Anakku…” Ibu Yap Shing Xuen Tekad Terus Tuntut Keadilan Selepas Keputusan Mahkamah

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Nur Izni Syazwani Ahmad berkata, pihaknya akan berhubung dengan Timbalan Pendakwa Raya bagi mengenal pasti tindakan susulan yang boleh diambil selepas keputusan mahkamah berkenaan.

Menurutnya, sebagai peguam pemerhati, pihaknya tidak boleh membuat permohonan secara langsung kepada mahkamah, namun boleh memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mengemukakan representasi bagi menyampaikan hasrat keluarga.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati remaja lelaki terbabit tidak waras ketika kejadian berlaku dan tidak mensabitkannya atas pertuduhan membunuh Yap Shing Xuen.

Ads

Remaja berkenaan ditahan dan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki yang ketika kejadian berusia 14 tahun itu didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Di sebalik proses perundangan yang masih menjadi perhatian, bagi Lee Ping, satu perkara tidak pernah berubah Yap Shing Xuen kekal sebagai anak yang paling dibanggakan dan kehilangan yang akan dibawanya sepanjang hayat.

Sumber : Malaysia Gazette

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads