Di sebalik kejayaan memperoleh keputusan cemerlang PNGK 3.92 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), siapa sangka perjalanan hidup bakal mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Intan Nazura Yusra Purwadi dipenuhi pelbagai ujian sejak kecil.
Intan Nazura, 20, bakal memulakan lembaran baharu dalam hidupnya apabila dijadualkan mendaftar sebagai pelajar baharu UUM pada 15 September ini bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi.
Namun, kegembiraan melangkah ke menara gading hadir bersama kerisauan mengenai perbelanjaan yuran, makan minum serta keperluan sepanjang berada di kampus.
Lebih-lebih lagi apabila Intan kini meneruskan kehidupan tanpa ibu dan bapanya di sisi.
Kehilangan Bapa Tempat Bergantung
Sejak kecil, Intan dibesarkan oleh bapanya selepas ibunya meninggalkan mereka.
Bapanya menjadi satu-satunya tempat Intan bergantung dan insan yang bekerja keras bagi memastikan anak tunggalnya itu dapat meneruskan kehidupan serta pendidikan.
Namun, kehidupan mereka berubah apabila bapanya meninggal dunia akibat masalah jantung pada tahun lalu.
Kehilangan tersebut bukan sahaja meragut insan paling penting dalam hidup Intan, malah meninggalkannya tanpa ibu atau bapa sebagai tempat bergantung.
Bagaimanapun, di sebalik ujian berat itu, Intan menerima kasih sayang daripada insan yang langsung tidak mempunyai pertalian darah dengannya.
Ads
Intan Nazura Anggap Pang Sin Lian Seperti Ibu Sendiri
Keluarga Tionghua yang merupakan majikan kepada arwah bapanya tampil menjaga kebajikan Intan selepas pemergian lelaki berkenaan.
Sebelum ini, Intan dan bapanya hanya menyewa sebuah bilik di kediaman keluarga tersebut.
Namun selepas bapanya meninggal dunia, keluarga berkenaan tidak membiarkan Intan berdepan kehidupan seorang diri.
Pang Sin Lian, 65, khususnya menjadi figura penting dalam kehidupan Intan dan kini dianggap seperti ibunya sendiri.
Tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahupun ketiadaan pertalian darah, keluarga tersebut terus memberikan tempat berlindung serta menjaga Intan seperti sebahagian daripada keluarga mereka.
Ads
Kisah mereka menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang mampu melangkaui segala perbezaan.
Kerja Sambilan, Namun Pelajaran Tetap Jadi Keutamaan
Tidak mahu terlalu membebankan keluarga yang menjaganya, Intan turut mengambil inisiatif bekerja secara sambilan bagi menampung keperluan hidup.
Dalam kesibukan bekerja dan berdepan kehilangan besar dalam hidup, anak muda itu tetap tidak mengetepikan pendidikan.
Hasil usaha dan kegigihannya, Intan Nazura berjaya memperoleh PNGK 3.92 dalam STPM sekali gus membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian ke UUM.
Pencapaian tersebut pastinya cukup bermakna buat Intan selepas segala cabaran yang dilaluinya, selain menjadi hadiah istimewa buat arwah bapanya yang pernah berusaha keras membesarkannya.
Ads
Kini, Intan hanya selangkah lagi untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa dalam bidang Sains Ekonomi.
Kerisauan Intan mengenai persiapan memasuki universiti turut mendapat perhatian UUM menerusi Program Ziarah Kasih Madani UUM.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri hadir menyantuni Intan bersama keluarga yang menjaganya.
Kunjungan itu turut melibatkan Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PWZ) serta Bahagian Perkhidmatan dan Kebajikan Pelajar (SSSD).
Menerusi kunjungan tersebut, bantuan disalurkan bagi meringankan beban Intan dalam membuat persiapan sebelum memulakan pengajiannya tidak lama lagi.
Daripada seorang anak yang kehilangan tempat bergantung kepada bakal mahasiswa dengan keputusan STPM membanggakan, perjalanan Intan Nazura membuktikan bahawa ujian hidup tidak semestinya menjadi noktah kepada sebuah impian.
Lebih menyentuh hati, di saat Intan kehilangan keluarga tempatnya berpaut, hadir insan tanpa pertalian darah yang memilih untuk terus berada di sisinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Zaman media sosial hari ini memang penuh dengan pelbagai tip dan “online hack” yang tular di platform seperti TikTok, Xiaohongshu dan Instagram. Ada yang benar-benar membantu, tetapi ada juga yang boleh mendatangkan bahaya jika dicuba tanpa pengetahuan yang betul. Inilah yang berlaku kepada seorang wanita dari China yang akhirnya melecur di muka selepas campuran gula dan cuka yang digunakan meletup secara tiba-tiba.
Wanita tersebut, dikenali sebagai Wu, berkongsi pengalaman ngeri itu yang berlaku pada 9 Oktober lalu ketika dia cuba menghapuskan kerak kapur pada peralatan dapurnya menggunakan petua yang ditemui di media sosial. Petua itu mendakwa campuran gula putih, cuka putih dan air panas boleh membantu melonggarkan kerak dan menjadikan kerja pembersihan lebih mudah.
Letupan Gula Dan Cuka Sebabkan Kecederaan Serius
Namun tanpa disangka, eksperimen dapur itu bertukar tragedi. Selepas mencampurkan bahan-bahan tersebut dan memasukkannya ke dalam termos, beberapa minit kemudian campuran itu meletup, memercikkan cecair panas terus ke wajahnya. Akibat kejadian itu, Wu mengalami lecur tahap kedua di muka dan leher serta kini masih menerima rawatan di hospital dengan wajah yang perlu dibalut sepenuhnya.
Punca Saintifik Di Sebalik Letupan Gula Dan Cuka
Pakar menjelaskan bahawa tindak balas asid asetik dalam cuka dengan bahan beralkali seperti kalsium karbonat dan magnesium hidroksida dalam kerak kapur menghasilkan gas karbon dioksida. Apabila campuran panas itu ditutup rapat dalam termos, tekanan dalaman meningkat dan menyebabkan letupan kecil berlaku.
Kesilapan Wu adalah tidak menunggu campuran itu sejuk sekurang-kurangnya lima minit sebelum ditutup. Walaupun nampak seperti langkah kecil, ia menjadi faktor utama kejadian tersebut.
Pengajaran Daripada Insiden Letupan Gula Dan Cuka
Kisah ini menjadi peringatan besar buat semua, terutama golongan muda yang sering teruja mencuba “hack” atau petua viral tanpa menyemak fakta sebenar. Bukan semua bahan dapur selamat digabungkan, dan bukan semua video di internet datang daripada sumber yang sahih.
💬 Pesanan Majalah Remaja: Sebelum mencuba apa-apa petua dari media sosial, pastikan anda faham fungsi setiap bahan dan risiko tindak balas kimia yang mungkin berlaku. Ingat, keselamatan lebih penting daripada eksperimen yang belum tentu berkesan.
Ketegangan di Selat Hormuz Iran kini semakin memuncak apabila Iran dilaporkan memperketat kawalan perkapalan dengan memperkenalkan satu sistem baharu yang disifatkan sebagai “pondok tol secara de facto”.
Langkah ini menyaksikan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengambil peranan lebih besar dalam mengawal setiap pergerakan kapal yang ingin melalui laluan strategik tersebut, yang menjadi nadi utama perdagangan minyak dunia.
Di bawah sistem ini, kapal tidak lagi boleh bergerak bebas seperti sebelum ini. Sebaliknya, setiap kapal perlu melalui proses pemeriksaan ketat termasuk mengemukakan maklumat lengkap seperti identiti, pemilikan, jenis kargo, destinasi serta senarai kru sebelum dibenarkan berlayar.
Hanya selepas semua maklumat disahkan, kapal akan diberikan kod pelepasan khas sebelum dibenarkan memasuki laluan yang telah ditetapkan oleh pihak Iran.
Laluan Transit Dikawal Ketat
Menariknya, laluan transit juga telah berubah. Kapal kini diarahkan melalui koridor tertentu dalam perairan Iran berhampiran Pulau Larak, di mana pemeriksaan visual dilakukan oleh pihak tentera laut IRGC.
Malah, dalam beberapa kes, pengendali kapal perlu berhubung dengan perantara yang mempunyai kaitan dengan Iran sebelum pelayaran dimulakan. Proses ini dilihat seperti sistem “permit” tidak rasmi yang perlu dipatuhi bagi memastikan kelulusan transit.
Lebih mengejutkan, terdapat laporan bahawa sesetengah kapal turut membuat bayaran bagi mendapatkan laluan selamat, dengan satu kes melibatkan bayaran mencecah sekitar AS$2 juta.
Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk kawalan ala “pondok tol” di laluan laut tersebut, walaupun ia tidak diumumkan secara rasmi sebagai sistem tol.
Syarat Ketat Untuk Kelulusan
Dalam masa sama, Iran turut menetapkan bahawa hanya kapal yang tidak mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat atau Israel serta tidak dianggap sebagai ancaman akan diberikan kebenaran untuk melalui selat tersebut.
Langkah ini menjadikan Selat Hormuz Iran sebagai salah satu laluan paling sensitif dari sudut geopolitik pada masa ini.
Situasi ini berlaku ketika konflik serantau semakin memuncak, menyebabkan trafik kapal di Selat Hormuz merosot dengan ketara. Banyak syarikat perkapalan antarabangsa kini memilih untuk mengelak laluan tersebut berikutan risiko keselamatan yang tinggi, termasuk ancaman serangan dron dan periuk api laut.
Akibatnya, rantaian bekalan global khususnya sektor tenaga berdepan tekanan besar apabila salah satu laluan minyak paling penting dunia kini berada di bawah kawalan ketat Iran.
Perkembangan di Selat Hormuz Iran ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara-negara di rantau Timur Tengah, malah turut memberi impak kepada ekonomi global secara keseluruhan, termasuk harga minyak dan kestabilan pasaran tenaga.
Sumber : Harian Metro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemain gitar utama kumpulan Spider, Napie menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.54 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Berita duka pemergian Napie atau nama sebenarnya Hanafi Hamdan disahkan oleh isteri beliau, Norasidah Said kepada Astro Awani.
Allahyarham Napie yang juga jurutera bunyi di Studio Luncai Emas milik seniman Datuk M.Nasir meninggal dunia pada usia 51 tahun akibat strok.
“Sekitar jam 12 tengah malam tadi, suami saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan pada jam 3.54 pagi beliau menghembuskan nafas terakhir,” kata Norasidah.
Selain Norasidah, Allahyarham Napie juga meninggalkan tiga cahaya mata.
Menurut Norasidah, jenazah suaminya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes, Rawang selepas solat Jumaat.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Napie juga akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang bagi pengurusan kafan dan solat sekitar jam 9 pagi.
Kepada mana-mana kenalan Napie yang ingin memberi penghormatan akhir buat Allahyarham, boleh terus ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang.
Takziah kami ucapkan kepada seluruh keluarga. Al-Fatihah
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!