
Baru-baru ini, seorang guru pendidikan khas dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah yang bernama Roderic John Raymond berjaya mencuri perhatian selepas meraih anugerah ‘World Changer Award’ daripada Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) iaitu sebuah organisasi pendidikan antarabangsa yang memberi fokus terhadap pendidikan inklusif dan pelajar berkeperluan khas.
Memetik laporan TV Sabah News, Roderic merupakan antara pendidik yang aktif memperjuangkan peluang sama rata buat pelajar berkeperluan khas, khususnya dalam bidang sukan dan pembangunan diri. Pengiktirafan antarabangsa itu diberikan susulan komitmen beliau dalam memperkasa komuniti pelajar istimewa sehingga berjaya menyerlahkan potensi mereka di pelbagai peringkat.
Menurut Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, pihak kolej sentiasa menyokong usaha yang memberi ruang inklusif kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang mahupun cabaran yang dihadapi. Katanya, pendekatan seperti itu penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk berkembang dan membina masa depan lebih baik.

Selain bergelar guru pendidikan khas, Roderic juga aktif sebagai jurulatih olahraga dan banyak melatih pelajar dalam acara pecut, trek serta larian merentas desa. Lebih menarik lagi, di bawah bimbingan beliau, ramai pelajar berkeperluan khas berjaya mencipta pencapaian membanggakan dalam kejohanan olahraga khas di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Pada masa yang sama, beliau turut menjalinkan kerjasama bersama Kaki Bangku Soccer Clinic (KBSC), sebuah inisiatif sosial yang menggunakan bola sepak sebagai medium pembangunan sosial dan diplomasi sukan. Usaha tersebut sekaligus membuka lebih banyak ruang buat pelajar istimewa untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti luar bilik darjah.
BACA: Anak Sabah ‘Mendonia’! Jenama F&B Tempatan, Chunk & Dunk Tembusi Pasaran Filipina April Ini

Katanya, hasil daripada kerjasama berkenaan, seramai 35 pelajar termasuk golongan neurodivergen, autistik dan bermasalah pendengaran menerima latihan percuma dari jurulatih berpengalaman dan personaliti media.
Di samping itu, sebanyak 16 biji bola sepak turut disumbangkan bagi menyokong penglibatan pelajar dalam sukan berpasukan. Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran sukan, malah ia juga memainkan peranan penting dalam membina keyakinan diri, komunikasi serta interaksi sosial dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.
Secara keseluruhan, usaha Roderic benar-benar mencerminkan semangat World Changer apabila beliau memanfaatkan kepakaran, menggalakkan kerjasama, dan memastikan semua pelajar mendapat akses kepada pengalaman pendidikan serta sukan yang mampu mengubah masa depan mereka.
Sumber: TV Sabah News & SENIA International
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










