
Bukan mudah untuk bergelar pakar dalam bidang perubatan jantung. Selain memerlukan latihan bertahun-tahun, bidang ini turut menuntut ketahanan mental, emosi serta komitmen yang tinggi demi memastikan pesakit menerima rawatan terbaik.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, seorang pakar perubatan tempatan berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang elektrofisiologi jantung.
Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Suraya Hani Kamsani, 43, menerima pengiktirafan berkenaan daripada University of Adelaide, Australia, sekali gus membuktikan bahawa usaha dan dedikasi mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburi.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat dirinya, malah diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk menceburi bidang kepakaran kardiologi yang masih didominasi bilangan pakar terhad di Malaysia.

Bermula Dengan Sarjana, Akhirnya Berjaya Tamatkan PhD
Mengimbas kembali perjalanan akademiknya, Dr. Suraya mengakui beliau sendiri tidak pernah menyangka mampu melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.
Menurutnya, pada awalnya beliau hanya merancang untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana di universiti berkenaan.
Namun, berdasarkan pengalaman klinikal serta penglibatannya dalam penyelidikan, beliau menerima peluang daripada penyelia untuk menaik taraf pengajian ke peringkat PhD.
“Ketika penyelia mencadangkan saya untuk menaik taraf pengajian ke PhD, saya agak bimbang tidak mampu memenuhi tuntutan pengajian yang lebih tinggi.
“Tetapi Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya menamatkannya dengan sokongan keluarga, mentor dan rakan-rakan walaupun terpaksa membahagikan masa antara tuntutan kerja dan penyelidikan.
“Tempoh pengajian saya dilanjutkan selama dua tahun, menjadikan keseluruhan tempoh pengajian selama empat tahun untuk menamatkan PhD ini,” katanya.
Sepanjang perjalanan akademiknya, Dr. Suraya turut menghasilkan pelbagai penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi selain kerap membentangkan hasil penyelidikan di persidangan antarabangsa.
Elektrofisiologi Jantung, Bidang Kepakaran Yang Masih Terhad
Menurut Dr. Suraya, perjalanan untuk bergelar pakar kardiologi bukanlah sesuatu yang mudah kerana bidang berkenaan memerlukan latihan yang intensif serta komitmen yang besar.
Lebih mencabar, bilangan pakar kardiologi wanita, khususnya dalam subkepakaran elektrofisiologi jantung, masih kecil di Malaysia.
“Bidang ini menuntut tempoh latihan yang panjang dan komitmen yang besar. Bilangan pakar kardiologi wanita, khususnya dalam subkepakaran elektrofisiologi juga masih kecil.
“Oleh itu, saya berharap penglibatan lebih ramai wanita dalam bidang ini dapat membawa kepelbagaian perspektif dan menjadi inspirasi kepada generasi doktor wanita yang akan datang,” ujarnya.
Untuk rekod, Dr. Suraya telah berkhidmat dalam bidang kardiologi di IJN selama 10 tahun.

Rawat Gangguan Irama Jantung Dengan Teknologi Moden
Berkongsi mengenai bidang kepakarannya, Dr. Suraya menjelaskan bahawa perubatan dan rawatan penyakit jantung terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu kardiologi yang memberi tumpuan kepada rawatan bukan pembedahan serta pembedahan kardiotorasik.
Kedua-dua cabang berkenaan turut merangkumi pelbagai subkepakaran yang lebih khusus.
“Antaranya, elektrofisiologi jantung, kardiologi intervensi, kegagalan jantung dan transplantasi serta pengimejan kardiovaskular.
“Bidang kepakaran saya ialah elektrofisiologi jantung yang memberi tumpuan kepada diagnosis dan rawatan gangguan sistem elektrik jantung yang menyebabkan irama jantung menjadi terlalu laju, terlalu perlahan atau tidak teratur.
“Pakar elektrofisiologi akan melakukan rawatan seperti ablasi kateter serta implantasi peranti jantung termasuk alat perentak jantung (pacemaker) dan defibrilator kardioverter implan (ICD),” kongsinya.
Dalam rutin hariannya, beliau bertanggungjawab melakukan pemeriksaan pesakit di wad, konsultasi pesakit luar serta penilaian dan diagnosis gangguan irama jantung.
Selain itu, beliau turut menjalankan prosedur elektrofisiologi seperti ablasi kateter dan implantasi peranti jantung bagi membantu merawat pesakit.
Teknologi PFA Bantu Rawatan Lebih Berkesan
Seiring perkembangan teknologi perubatan, rawatan penyakit jantung juga semakin maju dengan penggunaan kaedah yang lebih berkesan dan kurang invasif.
Dr. Suraya berkata, antara teknologi terkini yang digunakan dalam bidang elektrofisiologi jantung ialah ablasi medan elektrik berdenyut (pulsed field ablation, PFA).
Teknologi tersebut menggunakan medan elektrik berdenyut untuk merawat gangguan irama jantung, khususnya fibrilasi atrium.
“Teknologi dalam rawatan jantung juga semakin berkembang pesat, sekali gus membolehkan kami menawarkan rawatan yang lebih berkesan dan kurang invasif kepada pesakit.
“Antaranya, teknologi PFA yang menggunakan medan elektrik berdenyut untuk merawat gangguan irama jantung, khususnya fibrilasi atrium. Selain itu, teknologi perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) membolehkan peranti bersaiz kecil diimplan terus ke dalam jantung melalui saluran darah, tanpa memerlukan wayar perentak konvensional.
“Penggunaan teknologi terkini ini berpotensi memendekkan tempoh prosedur, meningkatkan kecekapan rawatan dan mengurangkan risiko komplikasi tertentu. Kemajuan ini turut menunjukkan bahawa rawatan elektrofisiologi di Malaysia mampu berkembang seiring pusat-pusat terkemuka di peringkat antarabangsa,” tuturnya.
Didikan Ibu Bapa Bentuk Semangat Cintakan Ilmu
Di sebalik pencapaian membanggakan tersebut, Dr. Suraya turut mengakui bahawa minatnya untuk terus menuntut ilmu banyak dipengaruhi oleh didikan keluarga sejak kecil.
Menurutnya, beliau dibesarkan dalam keluarga yang amat mementingkan pendidikan memandangkan kedua-dua ibu bapanya merupakan pesara guru.
“Sejak kecil saya sudah dididik untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu sentiasa memastikan saya membuat latihan tambahan dan menyiapkan kerja sekolah dengan tekun.
“Kalau pergi bercuti atau balik kampung, saya dan adik-beradik tetap kena bawa buku. Tiada istilah bercuti tanpa buku bagi kami.
“Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa kerana hasil didikan mereka, saya menjadi seorang yang cintakan ilmu dan sentiasa bersemangat untuk terus belajar, khususnya dalam bidang perubatan jantung,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo! Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








