
Baru-baru ini, penyanyi rap terkenal, G-Dragon kembali menjadi perhatian apabila wajahnya menghiasi papan iklan gergasi dan ratusan rangkaian restoran jenama terkenal, McDonald’s di seluruh China menerusi kempen kolaborasi terbaru.
Kemunculan bintang BIGBANG itu turut mencetuskan perbincangan memandangkan penglibatan selebriti Korea Selatan dalam kempen ‘Hallyu ban’ berskala besar di negara berkenaan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Difahamkan, menerusi beberapa perkongsian gambar yang tular di media sosial, imej G-Dragon dilihat menghiasi papan iklan digital di Beijing serta dekorasi sebuah restoran McDonald’s di kawasan seni 798. Kempen tersebut turut diperluaskan ke bandar utama lain termasuk Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.


Menurut seorang pegawai Kedutaan Korea Selatan di China, kempen pengiklanan yang menampilkan selebriti Korea Selatan pada skala nasional seperti ini merupakan sesuatu yang jarang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
“Setakat pengetahuan saya, ini merupakan kali pertama iklan yang menampilkan selebriti Korea Selatan dilaksanakan pada skala seluruh negara seperti ini sejak iklan luar yang menampilkan pelakon Jun Ji Hyun,” katanya.
Untuk rekod, McDonald’s China melancarkan lapan produk baru hasil kolaborasi bersama G-Dragon pada 8 Oktober lalu, melibatkan kira-kira 8,000 cawangan di tanah besar China. Antara menu yang diperkenalkan ialah burger ayam dengan sos mentega gochujang yang dibangunkan di Korea Selatan.

Menariknya, lebih 700 cawangan McDonald’s turut dihiasi dengan tema G-Dragon, manakala 16 cawangan terpilih diubah menjadi cawangan utama dengan ruang pengalaman khas. Malah, beberapa restoran menyediakan pondok telefon yang membolehkan peminat mencuba pengalaman panggilan maya bersama penyanyi itu.
Perkembangan ini turut mencuri perhatian kerana industri hiburan Korea Selatan berdepan cabaran untuk menembusi pasaran China sejak pertikaian berhubung penempatan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD pada 2016. Walaupun sekatan terhadap kandungan Hallyu, atau gelombang budaya Korea, sering diperkatakan, kerajaan China tidak pernah mengesahkan secara rasmi kewujudan larangan tersebut.
Selain G-Dragon, beberapa selebriti Korea Selatan turut terlibat dalam kempen pemasaran di China, termasuk Jang Wonyoung daripada IVE, Jin BTS dan pelakon Lee Min Ho. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada perkembangan ini menandakan kelonggaran sekatan Hallyu secara menyeluruh, khususnya bagi industri drama, konsert dan hiburan Korea Selatan yang lain.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













