Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang mengkaji pelaksanaan semula UPSR dan PT3 susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa di seluruh negara. Isu ini kembali menjadi perhatian ramai selepas sistem peperiksaan berpusat dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut selepas kajian menyeluruh dijalankan oleh pihak berkaitan.
Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Permintaan Ibu Bapa Terus Dibangkitkan
Menurut Fadhlina, isu peperiksaan masih menjadi antara topik utama yang sering dibangkitkan masyarakat, terutamanya oleh ibu bapa yang mahu penilaian akademik anak-anak dibuat secara lebih jelas dan seragam.
“Tadi saya juga sebut tentang bagaimana kita akan mengkaji semula soal peperiksaan itu kerana itu yang masih lagi menjadi permintaan ibu bapa,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026.
Kenyataan tersebut sekali gus menunjukkan kerajaan mengambil maklum kebimbangan orang ramai terhadap sistem pentaksiran sedia ada yang dilaksanakan ketika ini, termasuk keberkesanan penilaian tanpa peperiksaan berpusat.
Foto: Kosmo
MPPK Diaktifkan Semula Untuk Kajian Menyeluruh
Kajian berhubung pelaksanaan semula UPSR dan PT3 akan dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diaktifkan semula pada tahun ini.
Menurut Fadhlina, majlis berkenaan akan meneliti semua isu berkaitan peperiksaan yang menjadi polemik dalam masyarakat, termasuk pandangan pakar, pendidik dan ibu bapa.
Ads
“Apa sahaja peperiksaan yang disebut, sama ada UPSR dan PT3 atau isu lain berkaitan penilaian pelajar, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad akan memberikan perincian dan pandangan sebelum dibincangkan oleh ahli majlis penasihat,” jelasnya.
UPSR & PT3 Dimansuhkan Ketika Pandemik Covid-19
Untuk rekod, peperiksaan UPSR dimansuhkan pada tahun 2021 ketika negara berdepan pandemik Covid-19. PT3 pula dibatalkan pada tahun sama sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022.
Kedua-dua peperiksaan ini kemudiannya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang memberi fokus kepada penilaian berterusan.
Namun selepas hampir tiga tahun pelaksanaannya, pelbagai pihak mula menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan sistem baharu tersebut.
Ads
Pakar Pendidikan Pertikai Keberkesanan PBD
Antara individu yang konsisten menyokong pengembalian UPSR dan PT3 ialah Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad.
Beliau berpandangan bahawa pelaksanaan PBD sejak tujuh tahun lalu tidak mencapai tahap keberkesanan yang diharapkan dan kurang ketelusan dalam pelaporan pencapaian pelajar.
Malah, menurut beliau, tiada laporan rasmi peringkat kebangsaan pernah dikeluarkan bagi menilai secara menyeluruh keberkesanan sistem PBD sejak ia diperkenalkan.
Ads
Kesan Kepada Pelajar Luar Bandar & B40
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa pemansuhan UPSR telah menyebabkan penurunan ketara pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan ke MRSM.
Penurunan ini dilihat lebih ketara dalam kalangan pelajar luar bandar dan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap jurang pencapaian pendidikan.
Keputusan Akan Dibawa Ke Jemaah Menteri
KPM menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan UPSR dan PT3 tidak akan dibuat secara tergesa-gesa.
Hasil kajian menyeluruh oleh MPPK akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum sebarang ketetapan dimuktamadkan, bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal seimbang antara akademik dan pembangunan holistik pelajar.
Gen Z bangkit di Maghribi apabila ribuan remaja turun ke jalan raya untuk malam keenam berturut-turut bagi menuntut perubahan besar dalam pentadbiran negara itu. Suara mereka jelas – rakyat mahu sekolah dan hospital yang lebih baik, bukannya stadium mewah untuk acara sukan semata-mata.
Menurut laporan, gelombang protes yang merebak di sekurang-kurangnya 12 bandar utama termasuk Casablanca ini menjadi bukti bahawa anak muda kini semakin berani menuntut hak. Walaupun suasana tegang menyelubungi negara selepas tiga orang maut ditembak polis sehari sebelumnya, semangat perjuangan anak muda tetap membara.
PM Jadi Sasaran Kemarahan
Sebahagian besar penunjuk perasaan lantang mendesak Perdana Menteri Aziz Akhannouch meletakkan jawatan. Mereka melaungkan slogan “Rakyat mahu jatuhkan Akhannouch” dan “Kerajaan berundur!”, sekali gus menjadikan kerajaan sebagai sasaran utama kemarahan rakyat.
Walaupun Raja Mohammed VI merupakan kuasa tertinggi negara, ramai beranggapan kerajaan gagal mengutamakan keperluan asas rakyat – khususnya pendidikan dan kesihatan. Situasi bertambah tegang apabila protes aman pada Rabu bertukar menjadi rusuhan, dengan bank dipecah masuk, kereta dibakar dan tiga orang terbunuh.
Gen Z 212: Kuasa Baharu Jalanan
Lebih 70 peratus peserta protes dikenal pasti sebagai remaja bawah umur. Gerakan ini didominasi oleh kelompok tanpa kepimpinan formal dikenali sebagai Gen Z 212, yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan mesej dan menggerakkan ribuan orang.
Slogan lantang seperti “Kesihatan dahulu, kami tidak mahu Piala Dunia!” serta “Stadium ada, hospital di mana?” menjadi simbol bantahan rakyat terhadap keputusan kerajaan membelanjakan berbilion dolar untuk projek Piala Dunia 2030, sedangkan hospital awam masih serba kekurangan.
Insiden kematian lapan wanita di sebuah hospital di Agadir baru-baru ini menambah luka rakyat, menjadikan isu kesihatan sebagai pemangkin utama kebangkitan Gen Z.
Ketegangan Terus Memuncak
Menurut laporan rasmi, lebih 350 orang cedera dan lebih 1,000 individu telah ditahan sejak protes bermula. Namun angka itu tidak menghentikan momentum gerakan belia yang kini muncul sebagai salah satu kebangkitan terbesar dalam sejarah moden Maghribi.
Protes “Gen Z” di Maghribi turut mencerminkan gelombang serupa di beberapa negara lain termasuk Kenya, Nepal dan Madagascar, di mana generasi muda lantang menuntut keadilan sosial, peluang pendidikan yang sama rata serta perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti.
✨ Majalah Remaja melihat fenomena ini sebagai satu tanda jelas bahawa generasi muda bukan lagi sekadar pemerhati. Mereka adalah suara perubahan. Dari Maghribi hingga ke seluruh dunia, Gen Z membuktikan bahawa masa depan hanya akan berubah apabila anak muda berani untuk bangkit dan bersuara.
Pihak Polis Selangor mengesahkan mayat seorang lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang ialah penyanyi meningkat naik, Nidza Afham.
Menerusi laporan media tempatan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat tersebut dijumpai sekitar 7 malam tadi, kira-kira 1 kilometer dari lokasi Nidza dilaporkan hilang.
Terdahulu, adik Allahyarham iaitu penyanyi Aufahanie memaklumkan abangnya dilaporkan hilang sejak malam Selasa selepas keluar melakukan aktiviti jogging di Stadium Klang.
Menerusi hantaran di Instastory, Aufahanie ada berkongsi tangkap layar kronologi kehilangan abangnya yang hanya membalas mesej keluarga pada kali terakhir pukul 9.04 malam sebelum hilang sehingga kini.
hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Kami Anti-Buli” — KPM mewajibkan semua pelajar di seluruh negara melaungkan slogan ini setiap pagi dan petang sebagai usaha membendung gejala buli di sekolah.
Langkah ini diumumkan susulan kes tragis melibatkan pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Allahyarham Zara Qairina, yang menggemparkan seluruh negara. Peristiwa menyayat hati itu bukan sahaja mencetuskan rasa sedih, malah menimbulkan kesedaran bahawa isu buli perlu ditangani segera dan secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, memaklumkan bahawa pelaksanaan laungan “Kami Anti-Buli” akan dilakukan dua kali sehari—sebelum sesi pembelajaran bermula dan selepas tamat waktu sekolah. Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar ritual harian, tetapi simbol komitmen seluruh warga sekolah untuk saling melindungi dan memastikan persekitaran pembelajaran selamat.
KPM yakin bahawa pengulangan slogan ini setiap hari dapat membentuk kesedaran kolektif pelajar tentang kesan buruk buli. Ia juga menjadi peringatan bahawa sebarang bentuk buli—fizikal, emosi, verbal atau siber—tidak akan diterima dalam budaya sekolah di Malaysia.
Dr. Mohd. Azam Ahmad bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Penting untuk difahami, buli bukan hanya berlaku melalui keganasan fizikal. Tindakan mengejek, mengusik secara melampau, atau memalukan rakan di media sosial juga adalah bentuk buli yang boleh meninggalkan kesan psikologi mendalam. Mangsa mungkin membawa trauma tersebut bertahun-tahun lamanya.
Bagi memastikan mesej ini lebih berkesan, KPM turut menggalakkan pihak sekolah menganjurkan program sokongan seperti ceramah motivasi, bengkel empati, kempen kesedaran dan aktiviti berpasukan. Semua ini bertujuan membina sikap saling menghormati, mengawal emosi dan menyelesaikan konflik dengan cara yang sihat.
Sebagai pelajar, peranan kita bukan hanya mengelak daripada membuli, tetapi juga menjadi penyokong kepada rakan yang menjadi mangsa. Jangan sekadar memerhati apabila melihat kejadian buli berlaku. Berdirilah sebagai pembela, kerana perubahan besar bermula dengan keberanian individu untuk mengatakan “Tidak” kepada buli.
Dengan inisiatif “Kami Anti-Buli” ini, KPM berharap mesej penolakan buli akan sebati dalam hati pelajar dan menjadi budaya yang terus hidup di sekolah seluruh negara.