
Bintang K-Pop popular, TOMORROW X TOGETHER (TXT) baru-baru ini mengejutkan para peminat (MOA) selepas mengumumkan bakal menggegarkan Kuala Lumpur buat julung kalinya menerusi konsert jelajah dunia (Asia) ‘TOMORROW X TOGETHER WORLD TOUR <ACT : TOMORROW> IN ASIA’ yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Menerusi perkongsian di aplikasi X rasmi TXT, siri jelajah Asia ini akan bermula lebih awal pada Januari 2026 dengan hentian pertama di Hong Kong yang akan membuka tirai konsert di AsiaWorld-Arena pada 10 dan 11 Januari, sebelum bergerak ke Singapura pada 17 dan 18 Januari di Singapore Indoor Stadium.
Antara yang paling mencuri tumpuan ialah destinasi Kuala Lumpur yang bakal menjadi salah satu lokasi utama jelajah ini. TXT dijadualkan beraksi di Axiata Arena pada 14 Februari 2026, bertepatan dengan sambutan Hari Kekasih menjadikan konsert tersebut lebih istimewa untuk para MOA di negara ini.
BACA: TXT Lancar Kempen Global Bersama UNICEF, Satukan Suara Gen Z Sokong Kesihatan Mental Remaja
Seterusnya, kumpulan yang popular dengan lagu ‘Crown’ dan ‘Sugar Rush Ride’ ini akan menawan hati peminat di Taipei pada 31 Januari di lokasi megah, Taipei Dome. Kehadiran mereka di area berskala besar ini membuktikan status TXT sebagai salah satu ‘Boy Group’ generasi keempat yang paling berpengaruh.
Sehubungan itu, buat MOA Malaysia, kemunculan mereka di Kuala Lumpur pastinya menjadi detik paling dinantikan oleh semua. Axiata Arena yang pernah menjadi saksi persembahan artis antarabangsa terkemuka, pastinya akan bergema dengan sorakan indah MOA.
Sementara itu, konsert ‘TOMORROW X TOGETHER WORLD TOUR <ACT : TOMORROW> IN ASIA’ dijangka menghidangkan persembahan bertenaga dan visual memukau yang sinonim dengan TXT. Ia juga bakal menyatukan ribuan peminat dari seluruh negara bagi meraikan muzik dan semangat kumpulan tersebut.
Buat masa ini, maklumat lanjut mengenai tiket dan tarikh jualan rasmi masih belum diumumkan. Para peminat dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini agar tidak terlepas peluang berharga ini.
Sekadar info, TXT yang dianggotai oleh lima ahli iaitu Soobin, Yeonjun, Beomgyu, Taehyun dan Hueningkai telah debut pada 4 Mac 2019 di bawah naungan agensi BigHit Music, anak syarikat HYBE Corporation. Sejak menjejakkan kaki dalam dunia hiburan, mereka dikenali sebagai salah satu kumpulan generasi keempat yang paling menonjol dengan pencapaian global yang mengagumkan dan antara lagu popular TXT termasuklah
Blue Hour, 0X1=LOVESONG (I Know I Love You), dan LOSER=LOVER. BigHit Music juga menaungi kumpulan legenda BTS, menjadikan TXT sebagai junior kepada salah satu nama paling besar dalam sejarah K-Pop.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.