
Terbaru, pelumba basikal trek yang semakin meningkat naik Sawda Hasbullah terus melakar sejarah tersendiri apabila meraih emas peribadi keduanya dengan mengungguli acara pecut remaja wanita pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional, Nilai pada Selasa.
Dalam pada itu, Sawda memastikan emas miliknya selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Park Hye Rin dengan keputusan 2-0 di pentas final.
Pada Ahad lalu, Sawda mencipta sensasi apabila memecahkan rekod remaja wanita Asia yang juga rekod dunia dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa, sekaligus menghadiahkan emas pertama buat skuad berbasikal trek remaja negara di ATC 2025.

“Saya terlepas peluang meraih emas dalam acara pecut berpasukan dan keirin, jadi saya berusaha sebaik mungkin dalam acara pecut hari ini”
“Apa pun, saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya di ATC,” katanya, yang turut meraih pingat perak menerusi acara pecut berpasukan wanita.
Pencapaian di ATC kali ini menjadikan Sawda sebagai atlet wanita pertama dalam kategori remaja yang berjaya menghadiahkan pingat buat Malaysia sepanjang penyertaan dalam kejohanan kompetitif itu.

Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Adik Kan, Mestilah Sokong” Haqiem Rusli Gembira Adik Mula Berlakon Drama

“Emak saya dulu pun nak jadi penyanyi..”
Mana tumpah kuah jika tidak pada nasi.
Pada usia 23 tahun, Haqiem Rusli merupakan salah seorang penyanyi dan selebriti yang wajar diberikan pujian atas pelbagai kejayaan yang diperolehinya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2020 saja, Haqiem mencapai sasaran ‘jackpot’ apabila mengungguli dua buah acara anugerah sebagai pemenang utama di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah MeleTOP ERA hasil undian peminat.
ARTIKEL BERKAITAN : “Dulu Saya Tengok AME Depan TV Je..” 2020 Memang Tahun Haqiem Rusli – REMAJA
Kata Haqiem semasa bertemu REMAJA hari ini di sesi penggambaran program Melodi Xtra, 2021 adalah tahun untuknya terus meluaskan lagi cita-cita dan impian dalam industri seni.
Namun Haqiem tidak keseorangan pada tahun ini apabila adiknya, Zali Rusli telahpun mula mengorak langkah dalam bidang lakonan menerusi drama Bidadari Salju yang kini ditayangkan di slot Akasia TV3.

Pada usia semuda 16 tahun, Zali juga pernah mempromosikan lagu berjudul Pewangi pada tahun lalu; menerusi label yang sama dengan Haqiem iaitu FMC Music.
Sebagai abang yang terlebih dahulu telah makan garam, tentunya Haqiem tak terkecuali daripada memberikan nasihat kepada Zali.
“Saya nasihatkannya dia selalu untuk jangan takut dengan orang. Saya faham dia pemalu, saya pun pemalu juga. Tapi apa yang lebih penting untuk berada dalam industri ini adalah niat. Kedua, kalau sesuatu yang kita buat itu adalah perkara yang betul, pertahankan.
“Saya harapkan perasaan malu dia hanya pada peringka permulaan saja, terutamanya bila berada di hadapan kamera. Bila melihat dia sekarang, saya teringat pula dengan diri sendiri dahulu. (Saya) malu juga dulu,” imbas Haqiem.
Selain memberikan sokongan, Haqiem sedikit sebanyak turut memberikan panduan kepada Zali untuk bertapak sebagai pendatang baharu. Perkara sekecil menjaga posting dan feed di media sosial juga dititik beratkan.
“Saya meminta dia melihat perjalanan karier saya dan belajar daripada mana-mana kesilapan (yang pernah dilakukan). Adik kan, mestilah saya perlu sokong dia dari belakang.”
“Sekarang Tiba Giliran Zali”
Menurut Haqiem, cita-cita Zali untuk bergelar anak seni tidaklah terlalu ketara pada permulaan. Minat itu diasah oleh ibu mereka sendiri yang suatu ketika dahulu ingin menjadi seorang penyanyi.
“Pada zaman dulu tak ada banyak peluang seperti sekarang. Jadi bila jatuh kepada anaknya, emak suka. Saya ingat lagi dulu, emak akan bawa saya sertai pertandingan nyanyian sejak darjah dua. Pertandingan nyanyian pertama saya, saya jadi juara.
“Walaupun saya tak nak pada waktu itu, tapi emak yang buatkan saya berminat untuk mencuba. Beliaulah yang membuka mata dan jiwa saya tentang apa itu muzik. Dan sekarang tiba giliran Zali,” kongsinya.

Dorongan dan restu seorang ibu itu ternyata penting dan akan terserlah dalam kejayaan anak-anak. Mana tahu dengan usaha dan bakat yang ada, Zali akan mengikut jejak langkah Haqiem memenangi hati juri dan peminat.
BACA LAGI: “Reward Yourself…”, Haqiem Rusli Beli Kereta Mewah Di Usia 22 Tahun. Wow! – REMAJA
*
Dalam pada itu, Haqiem meluahkan rasa teruja dengan pelancaran muzik video rasmi untuk lagu terbaru, ‘Mimpi’. Ia juga merupakan runut bunyi utama untuk drama Bidadari Salju yang kian popular di saluran TV3.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Salun Kecantikan Ini Tawar Perkhidmatan ‘Kuku Pintar’ Pertama Di Dunia

Kuku anda adalah salah satu aksesori kecantikan yang mesti dipelihara terutamanya bagi perempuan, jadi tak hairanlah banyak salun-salun yang menyediakan perkhidmatan kecantikan kuku.

Namun, disebabkan teknologi kecantikan yang semakin canggih sebuah salun kecantikan di Dubai dikatakan menawarkan perkhidmatan kuku mikrocip yang membolehkan kad perniagaan diletak pada kuku pelanggan.
Menarik bukan?
Menurut laporan Oddity Central, salun itu mampu memasukkan data di dalam cip berkenaan termasuk maklumat akaun media sosial, laman web dan nombor telefon.
Salon kecantikkan kuku ,Lanour Beauty Lounge menggunakan cip pada atas kuku jari tangan, yang akan disapu lapisan khas untuk perlindungan. Mikrocip berkenaan menggunakan fungsi NFC, teknologi liputan tanpa wayar terhad untuk menjadikan telefon pintar, tablet, kad bayar dan peranti lain lebih bijak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nour Makarem mengakui penemuan cip kecil untuk diletakkan pada kuku adalah sesuatu yang mencabar. Mereka kini dalam usaha untuk meningkatkan tahap keupayaan simpanan data dalam cip berkenaan.
“Kami akan memasukkan maklumat yang anda mahu seperti nama, nombor telefon, akaun media sosial dan laman web.

“Anda mungkin sering lupa membawa kad perniagaan bersama namun sudah pasti tidak akan ‘lupa’ membawa kuku,” katanya dalam Instagram (IG).
Beliau berharap teknologi terbaharu ini akan menjadi pelopor kepada ‘kuku pintar’ yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran bil.
Ouh lupa pula, untukpengetahun korang perkhidmatan itu ditawarkan dengan harga AS$70 kira-kira RM293 buat kita di Malaysia ni. Bagus juga teknologi ni, tak perlu lagi bawa bag besar-besar.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
6 Info Penting Perlu Tahu Jika Ditahan Polis Di Khalayak Ramai, Ini Hak Anda Sebelum Ikut Ke Balai

Kadang, tanpa terduga kita ditahan polis saat berada di khalayak ramai. Ia mungkin atas satu laporan dan anda sendiri tidak mengetahuinya.
Apa hak diri kita bila ditahan di khalayak ramai? Jom Tanya Peguam membantu anda atau ahli keluarga anda yang mungkin ada masalah ini. Ketahui, inilah hak anda bila ditahan polis kerana anda masih mempunyai hak.
Kehadiran pihak Polis di kawasan awam, di sekatan jalan raya contohnya bukanlah suatu yang asing bagi majoriti masyarakat kita. Namun tidak semua mempunyai pengalaman di dalam menghadapi situasi apabila berdepan dengan pihak Polis secara peribadi dan terus (face to face).
Di dalam penulisan kali ini pihak Jom Tanya Peguam akan fokuskan pada salah satu situasi penting dan vital apabila berhadapan dengan pihak Polis iaitu apabila pihak Polis berdepan dengan anda dan bertindak ingin menahan anda atas siasatan untuk suatu kesalahan.
*Penulisan ini hanyalah sekadar penulisan yang berbentuk perkongsian yang asas untuk pemahaman secara umum kepada masyarakat awam diluar sana. Penulisan ini tidak membentuk suatu nasihat guaman dan/atau mengikat pihak-pihak selaku Peguam-anakguam melainkan sekadar perkongsian semata-mata.
LANGKAH 1 (PENGESAHAN PIHAK YANG CUBA MENANGKAP)
Langkah awal yang pihak anda (orang awam) boleh lakukan adalah dengan mengesahkan orang yang cuba menahan/menangkap anda tersebut adalah Polis yang sebenar. Ini kerana terdapat beberapa rekod kes-kes penyamaran sebagai anggota penguatkuasa, sebagai anggota Polis, Askar dsb untuk tujuan jenayah.
Pengesahan awal boleh dibuat berdasarkan 2 cara yang pertama, sekiranya pihak Polis tersebut memakai pakaian seragam, anda perlu memberi perhatian kepada wajah anggota Polis tersebut, tanda nama dan lencana nombor, pada bahagian atas poket Polis tersebut.
Rekodkan nama dan nombor lencana anggota Polis tersebut di telefon bimbit anda atau tulis di mana-mana tempat yang anda mempunyai akses kepadanya kelak.
Kaedah kedua pula terpakai juga untuk pihak Polis yang memakai pakaian seragam atau bukan, anda berhak untuk meminta pihak Polis tersebut untuk menunjukkan Kad Kuasa Polis. Fokus pada warna kad kuasa tersebut dan ingat “B.K.M”, Biru untuk jawatan inspektor dan keatas, Kuning untuk jawatan bawah dari Inspektor, manakala Merah untuk anggota yang sedang digantung tugas/kuasa.
LANGKAH 2 (KENYATAAN YANG ANDA PERLU BERI SEMASA DITAHAN/DITANGKAP)
Apabila anda berhadapan dengan pihak Polis, sebenarnya anda hanya perlu untuk memberi 3 maklumat asas sahaja iaitu nama anda, alamat anda, dan nombor kad pengenalan anda. Sekiranya anda ditanya apa-apa soalan berkaitan perkara yang berkaitan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh anda atau individu lain, elakkan diri dari menjawab bagi mengelakkan kenyataan anda tersebut menjadi suatu kenyataan yang “incriminating” kepada diri anda.
LANGKAH 3 (PENGESAHAN SAMA ADA ANDA SEBENARNYA DITANGKAP ATAU TIDAK)
Anda hendaklah beranikan diri untuk bertanyakan kepada Polis untuk tujuan pengesahan sama anda telah ditahan dengan bertanya “Tuan, adakah saya sedang ditahan? Adakah saya sedang ditangkap?”. Ini adalah antara contoh mudah untuk megesahkan sama ada anda benar benar sedang ditahan/ditangkap atau tidak.
Untuk fahaman asas orang awam, tahan dan/atau ditangkap oleh Polis ini boleh berlaku dalam mana-mana 3 situasi yang dinyatakan di dalam Seksyen 15(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Pertama dengan cara menyentuh tubuh anda (contoh: dipegang, digari dan disentuh), keduanya dengan cara mengurung anda (contoh: melarang anda untuk keluar dari suatu Kawasan tersebut), dan ketiga dengan cara pengakuan terhadap penangkapan tersebut (contohL ya, kami tahan anda).
LANGKAH 4 (HAK UNTUK MENGETAHU ATAS SEBAB APA ANDA DITANGKAP/DITAHAN)
Sekiranya anda disahkan secara mulut oleh Polis tersebut bahawa anda sedang ditahan/ditangkap dan/atau disahkan ditangkap berdasarkan mana-mana kaedah di langkah 4 dan tanpa waran tangkap. Tindakan anda selanjutnya adalah dengan bertanya kepada pihak polis tersebut atas kesalahan apakah anda ditahan.
Anda hendaklah mengetahui sebab apa anda ditahan dengan kadar segera antaranya pada bila anda ditangkap atau semasa di bawa ke balai polis sepertimana hak yang dijanjikan di dalam Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana mmperuntukkan: –
“5(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.”
LANGKAH 5 (HAK UNTUK MEMBUAT MENGHUBUNGI AHLI KELUARGA DAN PEGUAM)
Anda hendaklah bertanya kepada pihak polis yang menahan anda ke balai poliskah anda akan dibawa, ini adalah maklumat yang sangat penting untuk anda ada sebelum anda menggunapakai hak anda yang selanjutnya iaitu hak anda untuk menghubungi 2 pihak, iaitu pihak ahli keluarga anda dan yang keduanya adalah pihak Peguam anda.
Dengan adanya maklumat dimana balai polis mana anda ditahan, ini akan memudahkan pihak ahli keluarga anda untuk mengenalpasti kedudukan anda dan untuk memudahkan pihak Peguam untuk hadir dengan kadar segera untuk memberi nasihat guaman dsb. (Rujuk Seksyen 28(A) Kanun Prosedur Jenayah)
Hak ini hendaklah diberikan kepada anda sebelum apa-apa soalan dan soal jawab direkodkan oleh Pegawai Penyiasat terhadap anda.
*Rujuk juga Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan bahawa hak untuk mendapatkan Peguam diawal penangkapan dan siasatan boleh dinafikan diatas alasan kukuh antaranya ianya boleh mengganggu proses siasatan dengan cara memusnahkan bahan bukti, isu keselamatan
LANGKAH 6 (ANDA HANYA BERHAK DITAHAN SELAMA 24 JAM MELAINKAN DENGAN KEBENARAN MAJISTRET)
Di bawah Artikel 5(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa apabila seseorang ditangkap selama tempoh 24 jam (tidak termasuk waktu perjalanan), oleh yang demikian, pihak Polis tidak boleh menahan anda lebih dari 24 jam MELAINKAN dengan kebenaran Majistret. Ini bermakna selepas 24 jam anda ditahan, anda seharusnya dibebaskan, namum jika suatu siasatan dan/atau reman diperlukan bagi siasatan suatu kes melibatkan anda tersebut, pihak Polis boleh mendapatkan suatu perintah reman di hadapan Majistret. (Rujuk Seksyen 28(1) Kanun Prosedur Jenayah)
Pada ketika inilah pihak Peguam anda hadir untuk membantah suatu reman yang dipohon oleh Polis tersebut dan/atau memohon agar hanya suatu tempoh reman yang minima sahaja diberikan kepada anda. Sekiranya pihak Peguam setelah mendapatkan semua maklumat berkaitan dan merasakan bahawa anda sebenarnya telah ditahan/ditangkap secara salah, pihak Peguam akan membuat suatu permohonan untuk melepaskan anda dari tahanan dan antaranya adalah permohonan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi dsb.
Apapun hak anda, pastikan hak-hak ini tidak menjadi suatu sebab untuk anda bertindak tidak sopan dan kurang ajar terhadap pihak Penguatkuasa sehingga menjadi suatu keadaan di mana anda sedang menggunggu tugas penjawat awam.
Semoga penulisan yang sangat ringkas dan sangat asas ini sedikit sebanyak memberi maklumat dan pemahaman kepada kita semua tentang hak anda, ahli keluarga anda, sahabat anda dan atau kenalan anda sekiranya ditangkap polis.
Semoga Allah permudahkan urusan baik kita semua dan melindungi diri kira dari perkara-perkara yang tidak baik. Sumber : Jom Tanya Peguam
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

