
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, mendedahkan satu fakta mengejutkan – blok asrama tempat arwah ditemui tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) mahupun jeriji besi di koridor bangunan.
Menurut laporan mStar Online, perkara itu disahkan oleh saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 65 tahun, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kolej berkenaan. Menurut Linah, beliau berada dalam syif malam bermula jam 8 malam hingga 8 pagi pada tarikh 15 Julai 2025, iaitu hari kejadian.

Ketika memberi keterangan, Linah memberitahu sekitar jam 2 pagi beliau sempat membuat rondaan di blok asrama perempuan dan tidak menemui sebarang perkara mencurigakan. Namun, sejam kemudian, ketika melakukan pemeriksaan di blok berhampiran, seorang pelajar datang memaklumkan bahawa ada rakan mereka ditemui pengsan di longkang.
“Saya bergegas ke lokasi dan mendapati Zara terbaring tidak sedarkan diri dalam longkang,” katanya. Linah turut menambah bahawa beliau segera menghubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari, untuk tindakan lanjut.
Sebelum ambulans tiba sekitar jam 4 pagi, Linah sempat merakam gambar keadaan arwah sebagai bukti. Zara kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan.
Linah yang sudah berkhidmat sejak 2012 turut berkongsi bahawa sepanjang lebih sedekad bertugas di sekolah itu, tiada sebarang kejadian luar biasa pernah berlaku sebelum tragedi berkenaan.

Pendedahan tentang ketiadaan CCTV serta jeriji keselamatan ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan ibu bapa. Ramai menyuarakan kebimbangan tentang tahap keselamatan asrama, kerana kemudahan asas seperti pengawasan CCTV seharusnya menjadi keutamaan untuk melindungi pelajar.
Kes Zara Qairina bukan sekadar membuka mata tentang isu keselamatan pelajar, tetapi juga mengingatkan bahawa langkah pencegahan perlu diberi perhatian serius agar kejadian sebegini tidak berulang pada masa depan.
BACA LAGI : Tiada Lebam, Tiada Luka… Zara Qairina Cedera Parah & Pendarahan Dalaman
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









