Pelajar Doktor Falsafah (PhD) (Pengurusan Awam) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggegarkan pentas pencak silat dunia di Abu Dhabi, apabila meraih pingat emas baru-baru ini.
Siti Shazwana Ajak yang merupakan pesilat negara dinobatkan juara Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 bagi kategori Putri D (60-65 kilogram) selepas menumbangkan lawannya dari Thailand.
Kejayaan pelajar yang gemar dipanggil sebagai Wana itu, melayakkan dirinya membawa pulang pingat emas dan diangkat sebagai juara dunia sekaligus mendahului para peserta dari 55 negara seluruh dunia dalam perlawanan pada 18 hingga 22 Disember 2024.
Kredit: FB Azrul Affandi
“Kejohanan Dunia ini merupakan penampilan saya yang ketiga. Alhamdulillah, misi memburu pingat emas dapat direalisasikan yang mana sebelum ini saya hanya meraih pingat gangsa dan perak di edisi kejohanan dunia pada tahun 2018 dan 2022”
“Emas kali ini sangat bermakna untuk saya kerana perjuangan ini bukan saja untuk diri sendiri tapi buat Allahyarham mak, keluarga, jurulatih dan semua yang banyak membantu saya sepanjang persiapan ke kejohanan,” katanya dalam nada sebak.
Kredit: Sinar Bestari
Menyingkap perjuangannya, pelajar PhD dari UUM itu mengakui berdepan cabaran getir kerana undian yang diperolehi lebih kepada negara yang kuat dalam seni silat.
Ads
Selain itu, beliau juga perlu konsisten menampilkan aksi luar biasa dalam setiap pusingan dengan menewaskan pesilat Vietnam di suku akhir sebelum membenamkan pesilat Indonesia di separuh akhir. Dalam tiga perlawanan, paling sengit adalah Indonesia.
Seterusnya bertemu dengan Thailand, lawan yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan strategi, namun dengan kepantasan, ketepatan dan kekuatan mental yang luar biasa, Wana berjaya mengatasi cabaran tersebut.
“Kejayaan ini menjadi bukti betapa pentingnya latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar impian,” katanya.
Kredit: Sinar Bestari
Jelasnya, silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang perlu ada dalam diri seseorang memandangkan tekniknya mudah dipelajari dan sangat efektif untuk digunakan dalam saat yang tidak dijangka untuk mempertahankan diri.
Ads
Katanya, perkembangan positif dapat disaksikan dalam arena silat yang semakin berkembang pesat di samping menjadi platform kepada anak muda memasang impian untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini juga mampu memberi inspirasi kepada semua atlet muda di Malaysia untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan.
“Saya mengucapkan tahniah atas kejayaan yang amat membanggakan kemenangan ini bukan sahaja kemenangan peribadi, tetapi juga simbol semangat juang bangsa Malaysia. Dengan kemenangan ini, Wana telah membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan membawa pulang pingat emas yang membanggakan” katanya.
Kredit: Harian Metro
Beliau juga berharap semangat juang yang ditunjukkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam bidang pencak silat serta membuka peluang untuk generasi baru mengukir nama di persada dunia.
“Keberanian Wana untuk terus mencabar dirinya di pentas dunia menginspirasi seluruh rakyat Malaysia. beliau membuktikan bahawa dengan kerja keras, komitmen dan keyakinan diri, tiada yang mustahil untuk dicapai,” ujarnya lagi.
Wana telah membuka mata dunia bahawa Malaysia hebat dalam pencak silat, kejayaan ini pasti akan memacu lebih banyak kejohanan dan pencapaian gemilang pada masa hadapan.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Polisemi ialah perkataan yang mempunyai banyak makna tetapi berbeza apabila digunakan dalam konteks/ayat yang berlainan. Lebih mudah lagi polisemi ialah kata yang mempunyai banyak makna (yang berbeza-beza) tetapi berkaitan, menurut konteks penggunaannya.
Contoh: kata mentah mempunyai set makna yang berikut :
(a) Masih muda (untuk buah-buahan) (b) Tidak masak (masakan) (c) Belum masak (makanan) (d) Belum diproses (bahan galian dan lain-lain) (e) Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)
Ada beberapa sebab perkara ini boleh berlaku. Antaranya:
(1) Peluasan makna Perkataan yang asalnya mendukung makna yang khusus diberikan maknanya yang lebih bersifat umum. Contoh: alamat, makna asalnya ialah butir-butir keterangan sesuatu tempat seperti alamat rumah tetapi kemudiannya diperluas makna kepada petanda.
(2) Penyempitan makna
Perkataan yang asalnya memiliki makna yang umum namun makna itu kemudiannya menjadi lebih khusus. Contohnya: Ustazah, makna asalnya ialah guru wanita tetapi disempitkan menjadi guru wanita yang mengajarkan mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.
Bagaimanakah untuk membezakan polisemi dari segi konteks/ayat dan berdasarkan fungsi? Polisemi merupakan satu set makna yang berbeza apabila digunakan dalam konteks yang berlainan. Contohnya: homonim – ketam. Makna ketam merujuk sejenis hidupan yang boleh dimakan manakala makna lain bagi ketam merujuk sejenis alat yang digunakan untuk menghaluskan permukaan kayu. Ejaannya sama tetapi berbeza dari segi konteks/ayat.
Sekiranya makna ditentukan berdasarkan fungsi pula, contohnya polisemi jatuh bersamaan maknanya dengan gugur, merosot, terbenam, tumbang, bankrap, tidak dapat bertahan dan menjadi (jatuh cinta). Makna jatuh tetap jatuh tetapi berubah apabila digunakan dalam situasi berlainan. Sinonim bagi jatuh ialah turun, sinonim bagi turun ialah jatuh berdasarkan makna.
Dalam tatabahasa bahasa Inggeris, satu perkataan mampu mempunyai beberapa makna serentak dan maknanya pula bergantung pada situasi perkataan itu digunakan, dikategori sebagai “homograf” iaitu mempunyai variasi makna yang berbeza-beza. Contohnya School merujuk sekolah. Sebenarnya school boleh sahaja merujuk unifikasi persamaan yang berlaku dalam kalangan individu.
School boleh merujuk sekumpulan ikan yang berenang bersama-sama (school of fish) atau digunakan bagi menggambarkan perbuatan, contohnya “menyekolahkan” dalam bentuk kata kerja. Justeru, tidak hairanlah jika kita sudah terbiasa menggunakan kata sekolah sebagai slanga dengan ayat, ‘kena sekolah’ maksudnya dileteri, dimarahi atau sebagainya.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH MOHAMAD SAAD.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
ISTILAH “Mat rempit” mula diperkenalkan oleh wartawan Wan Kamarulzaman (Wan K) melalui Edisi Siasat yang merupakan gelaran kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motosikal kapcai atau skuter.
Istilah ini asalnya diperkenalkan oleh Kartunis Halim Hassan melalui majalah motosikal Malaysia, iaitu Roda Roda yang diterbitkan pada tahun 1998. Mat rempit juga diberi gelaran rasmi sebagai samseng jalanan oleh kerajaan Malaysia (en.m.wikipedia.org)
Istilah “Mat rempit” berbunyi seperti sampah masyarakat dan menggambarkan golongan itu sebagai samseng jalanan. Itulah gelaran yang mereka sukai.
Seolah-olah ada prestij.
Kelompok ini tidak suka digelar dengan nama manja dan mempunyai elemen kebaikan kerana bagi mereka gelaran yang baik akan menjejaskan status mereka. Mereka mahu dianggap bijak sedangkan perkara yang dilakukan langsung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.
Mereka mahu dianggap berani sedangkan bertempiaran menunggang motosikal apabila melihat kelibat pihak berkuasa. Mereka mahu dianggap berstatus tinggi sedangkan poket tidak berisi. Mereka mahu dilihat berhati kering sedangkan begitu berperibadi apabila berseorangan.
Imej penunggang motosikal harus diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah.
Justeru, istilah “Mat rempit” perlu ditukarkan kepada “Mat bunga raya” agar lebih berjiwa kebangsaan. Biar mereka lebih santun dan memahami budaya Melayu yang kaya dengan adab dan kesopanan.
Inilah yang menggambarkan semangat perpaduan bagi semua peminat motosikal ibarat sebuah keluarga yang harmoni. Biar mereka bersatu hati memajukan ekonomi keluarga dan diri sendiri. Berilah mereka peluang untuk menjana pendapatan dan berubah ke arah kebaikan.
Sebagai “Mat bunga raya”, mereka akan menghormati pengguna jalan raya yang lain dan tidak menggunakan jalan awam sebagai litar lumba. Ibu bapa perlu bersikap lebih tegas dan menjaga tingkah laku anak-anak bagi menangani kes kemalangan motosikal dalam kalangan remaja dan orang muda yang sering menunggang mengikut perasaan. Jangan benarkan mereka menunggang motosikal jika tiada lesen.
Jaga dan hormati “Mat bunga raya” kerana masa depan negara bergantung pada mereka.
Semoga istilah baharu ini akan menjadikan mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri dan berbudi pekerti luhur.
*
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ditulis oleh Munsyi Dewan (Md Rasul Bin Haron)
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kecemerlangan akademik pelajar dari Malaysia yang memperoleh CGPA 4.0 di hari graduasinya ternyata berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Kejayaan yang dicatat oleh Maryam Balqis Abdul Rashid di Arizona State University (ASU), Arizona Amerika Syarikat dalam bidang ‘Sustainability’ (Kelestarian) cukup membanggakan negara menurut laporan e-warta MARA semalam.
Lebih menarik lagi, kursus diambil oleh Maryam adalah kursus pertama diadakan di ASU di mana gadis ini juga merupakan salah seorang pelajar penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) sepanjang tempoh pengajiannya.
Menerusi sumber maklumat daripada pihak Pejabat MARA Washington, Maryam Balqis adalah bekas pelajar SMK (P) Sri Aman. Sebaik sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mula mengorak langkah kejayaan dengan melanjutkan pengajian asasi dalam American Degree Foundation Program selama setahun di INTEC.
Maryam Balqis memperoleh CGPA 4.0 malah amat cemerlang sepanjang pengajianya. Malah Maryam juga aktif dalam kajian dan kerja-kerja kebajikanMaryam sudah pun ditawarkan pengajian di peringkat Sarjana Ogos akan datang
Menurut MARA Washington, “Maryam begitu aktif di dalam kegiatan kokurikulum malah telah memenangi beberapa anugerah atas pencapaian yang beliau capai di ASU”
Tambah kenyataan itu lagi, “beliau memegang jawatan School ofSustainability Ambassador, Presiden Honor Society of Sustainability, Setiausaha untuk Malaysia Students Association dan Director of Service untuk Alpha Kappa Psi.
Melalui lantikan jawatan beliau di Alpha Kappa Psi, beliau telah berjaya mengumpul dana sebanyak USD 5600 untuk Arizona Association for Foster & Adoptive Parents.”
Hasil daripada usaha ini, Alpha Kappa Psi telah dianugerahkan Presidential Volunteer Service Award kerana telah menjalankan seribu jam aktiviti sukarelawan.
Selain itu, Mariam banyak menjalankan kajian melestarikan alam seperti kajian kelestarian global dalam aspek pelancongan dan perikanan di Lombok, Indonesia. Antara kajian beliau yang lain ialah mengkaji kaedah pihak Los Angeles dalam menangani isu perubahan iklim serta membuat garis panduan atau “toolkit” untuk kerajaan Mexico menangani isu transformasi, adaptasi, kemantapan dan kelestarian.
Antara anugerah yang diperolehi oleh Maryam adalah Community Assistant of the Year, Outstanding Graduate Award Spring 2019 oleh School of Sustainability dan ASU’s Alumni Association, Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Perdana Scholar Awards 2018, dan “Frasier Global Mentorship program” yang akan berlangsung di Washington, D.C. pada bulan Mei 2019.
Pihak MARA Washington turut menyatakan perkembangan terkini Maryam Balqis yang bakal melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus “Sustainability Solutions” pada bulan Ogos 2019.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!