
Aktres jelita, Tracie Sinidol berkongsi pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya sehingga hampir kehilangan penglihatan pada mata kiri.
Tidak disangka, pengalaman tersebut akhirnya menjadi inspirasi buat dirinya untuk menjayakan watak dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Malaikat Malam.
Menurut Tracie, kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu ketika dia sedang bermain badminton apabila mata kirinya terkena pukulan bulu tangkis sehingga menyebabkan penglihatannya hilang buat sementara waktu.

Pernah Hilang Penglihatan Sementara
Berkongsi mengenai detik mencemaskan itu, Tracie mengakui dia sempat berasa gementar apabila tidak dapat melihat menggunakan mata kirinya selepas insiden tersebut.
“Saya pernah berdepan satu situasi di mana penglihatan mata belah kiri akibat terkena bulu tangkis ketika bermain badminton.
“Waktu terkena bulu tangkis, ‘benda’ terakhir yang saya nampak adalah seperti satu pancaran cahaya berwarna putih yang sangat terang.
“Saya sangat gementar sebab penglihatan mata belah kiri saya memang hilang sampaikan saya terfikir adakah saya akan benar-benar buta sebelah mata.
“Bila ke hospital, doktor memang cakap ada kecederaan dan saya akan berdepan buta sebelah mata buat sementara waktu.
“Selepas seminggu, saya dapat melihat semula tetapi sepanjang proses untuk sembuh, saya merasai pengalaman bagaimana mereka yang kurang upaya rasai dan dari pengalaman itulah saya guna pakai untuk bawa karakter dalam filem ini,” katanya kepada Remaja.

Cabaran Bawa Watak Ratna
Dalam masa sama, juara Dewi Remaja 2022 itu turut mengakui watak Ratna yang dipegangnya memberikan pengalaman lakonan yang berbeza buat dirinya.
“Ini satu pengalaman baharu dan bermakna buat saya tapi waktu dapat tawaran saya berasa teruja dan gementar juga.
“Saya terfikir kalau-kalau tak dapat sampaikan kepada penonton sebab bukan senang nak bawa karakter ini.
“Sebab selama ini, bila berlakon kita akan ada ‘eye contact’ dengan pelakon lain tapi kali ini hanya menggunakan pendengaran saja,” kongsinya.

Pengalaman Yang Mengajar Erti Bersyukur
Dalam pada itu, Tracie turut mengakui pengalaman kehilangan penglihatan buat sementara waktu itu memberi pengajaran besar dalam hidupnya untuk lebih menghargai nikmat yang dimiliki.
“Pengalaman itu juga sangat menyentuh hati saya sebab selama ini kebanyakkan dari kita seakan ambil remeh dengan apa yang kita ada.
“Bila sesuatu nikmat itu sudah ditarik barulah kita nak belajar menghargai. Pengalaman itu juga sedikit sebanyak mengajar saya erti bersyukur,” ujarnya.

Bakal Temui Penonton 26 Mac Ini
Untuk info, Tracie memegang watak Ratna yang merupakan seorang gadis kurang upaya penglihatan dalam filem Malaikat Malam.
Selain Tracie, filem arahan Nazifdin Nasrudin itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Que Haidar, Amir Nafis dan Kodi Rasheed.
Filem terbitan Viper Studios dengan kerjasama Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














