Susulan kejadian kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights pada hari Selasa, bukan hanya penduduk yang diselamatkan oleh anggota bomba tetapi juga haiwan peliharaan yang terperangkap di dalam rumah di taman kejiranan berkenaan.
Pegawai Bomba Sukarela Shah Alam, Datuk Dr Ken Foo Kwok berkata kepada pihak media semalam, sejumlah enam ekor haiwan peliharaan termasuk dua ekor anjing, tiga ekor arnab dan seekor hamster berjaya diselamatkan setelah ditemui di tiga buah rumah terjejas.
Kongsinya, anjing-anjing berkenaan ditemui di luar rumah manakala arnab serta hamster pula di dalam rumah.
Sejurus penemuan selepas insiden terbabit, kesemua haiwan peliharaan itu dikejarkan terus ke pusat veterinar Taman Megah di sana untuk pemeriksaan lanjut.
Ads
Dalam pada itu, pemilik tiga ekor arnab berkenaan yang dikenali sebagai Yap, 60-an berkata, beliau hanya sempat membawa seekot tupai peliharaan bersamanya selepas terdengar bunyi letupan.
Yap bersama arnab peliharaannya yang berjaya diselamatkan. FOTO: Sinar Harian
Yap cuba membawa kesemua enam ekor haiwan peliharaannya termasuk seekor lagi arnab dan seekor tikus belanda ke dalam kenderaannya.
Namun usahanya itu gagal disebabkan suhu sangkar besi yang terlalu panas.
Ads
Tinjauan REMAJA di ruangan komen di media sosial mendapati orang ramai turut gembira apabila pihak Bomba tidak melupakan nasib haiwan peliharaan di kediaman terjejas.
Antara komen yang paling banyak diberikan termasuklah ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa serta perasaan lega apabila nyawa haiwan di sana turut terbela.
Ads
Terima kasih Abang Bomba!
SUMBER: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tragedi kemalangan bas pelajar di Gerik, Perak yang berlaku pada awal Jun lalu ternyata meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia, khususnya apabila kisah dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat, Muhammad Adham Tuan Adnan dan Nur Ain Najwa Mohd Ilias, tular di media sosial.
Terkini, nasib kedua-dua pelajar ini mendapat perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri Terengganu apabila mereka diangkat sebagai anak angkat negeri di bawah Portfolio Kebajikan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, selepas mencapai persetujuan bersama beberapa pihak kerajaan negeri dan agensi kebajikan.
Menurut beliau, sebagai usaha jangka panjang, kedua-dua pelajar ini akan menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 seorang bermula Julai ini sehingga mereka tamat pengajian di UPSI.
“Kerajaan Negeri menerusi portfolio kebajikan tidak membiarkan anak-anak ini menghadapi kesusahan bersendirian. Kita akan bersama mereka hingga mereka berjaya menamatkan pengajian,” jelas Maliaman kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Tambahnya, pemilihan Adham dan Ain Najwa dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk latar belakang keluarga masing-masing yang cukup mencabar.
“Semua sedia maklum ibu bapa Adham adalah Orang Kurang Upaya Penglihatan dan fizikal, manakala Ain Najwa pula anak yatim, lahir dalam keluarga susah dan sedang melalui proses pemulihan yang mencabar,” ujarnya lagi.
Kisah Menyentuh Hati Seluruh Rakyat
Sebelum ini, kisah Adham dan Ain Najwa menyentuh hati ramai setelah tular di media sosial. Bukan sahaja kerana kecederaan yang dialami mereka, tetapi juga kisah ketabahan keluarga masing-masing.
Pengorbanan ibu bapa Adham yang merupakan OKU fizikal dan penglihatan telah mengundang simpati masyarakat yang turut menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggungnya.
Manakala kisah pengorbanan dua adik kembar Ain Najwa pula menjadi tular selepas mereka nekad menangguhkan pengajian semata-mata untuk memberi laluan kepada kakak mereka menyambung pelajaran.
“Adik-adik saya terpaksa tolak tawaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana nak kerja dahulu. Katanya, ‘Kakak belajar, kami tanggung kakak. Nanti kita bergilir-gilir’,” luah Ain Najwa.
Difahamkan, keluarga Ain Najwa kehilangan bapa tercinta beberapa tahun lalu yang bekerja sebagai mekanik, manakala ibunya kini uzur dan hanya mampu mengambil upah mencuci rumah jiran untuk menyara keluarga.
Akibat kemalangan tersebut, Ain Najwa mengalami patah bahu kiri dan kecederaan di pergelangan tangan. Kini, dia sedang menjalani proses pemulihan dan dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan kad OKU.
Adham juga turut mengalami kecederaan serius dan datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Pelajar UPSI ini telah menjalani pembedahan dan memerlukan rawatan susulan secara berpanjangan.
Untuk rekod, kos rawatan Adham sebanyak RM2,900 turut ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Malaysia Gazatte
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemergian tragik seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, terus menjadi tanda tanya besar dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Apa sebenarnya yang berlaku pada malam 17 Julai itu?
Menurut perkongsian yang menyentuh hati oleh seorang ahli keluarga mangsa dikenali sebagai Syira Leizel di Facebook, Zara disifatkan sebagai seorang anak yang lembut hati, taat solat, dan tidak pernah mengeluh meskipun dikatakan sering dibuli di sekolah.
“Kami menulis kronologi ini bukan dengan tangan yang kuat, tetapi dengan tangan yang menggigil sambil air mata menitis tanpa henti.
“Ini bukan sekadar catatan, tetapi helaian terakhir kasih sayang kami buat seorang anak yang tidak sempat kami selamatkan,” tulisnya penuh emosi.
Keluarga percaya bahawa pemergian remaja ini bukan disebabkan oleh kemalangan atau terjatuh sendiri, tetapi wujud unsur mencurigakan di sebalik insiden malang itu.
Mereka turut menegaskan bahawa perkongsian mereka bukan untuk menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan buat arwah Zara.
“Kami merayu sepenuh jiwa kepada sesiapa yang membaca, tolong jangan tinggalkan komen yang menyakitkan. Tolong jangan persoalkan hal peribadi keluarga yang tiada kaitan. Kami terlalu sedih untuk menjawab anda. Kami hanya mahu anak kami dikenang dengan maruahnya.
“Kami reda. Tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata. Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran,” tambahnya.
“Zara Selalu Mengadu…”
Zara dikatakan seorang pelajar yang berdisiplin, sopan dan sangat tabah biarpun terpaksa berdepan tekanan di asrama. Antara pengalaman pahit yang didakwa dihadapi Zara termasuk kehilangan barang peribadi, dipaksa belanja, malah gangguan fizikal dan seksual daripada pelajar lain.
Difahamkan juga, Zara pernah memberitahu ibunya bahawa dia tertekan kerana terpaksa mencatat nama pelajar yang tidak solat, selain pernah dipanggil oleh pelajar senior tertentu.
“Zara sering memberitahu keluarganya bahawa pada pukul 2 hingga 3 pagi, ramai budak masih berjaga. Ada yang makan, berbual, berkumpul dalam bilik air atau ruang bawah untuk mendobi,” tulis Syira.
Pendedahan ini jelas bercanggah dengan dakwaan awal bahawa semua pelajar sedang tidur ketika kejadian berlaku. Maka, persoalan pun timbul: jika ramai yang masih bangun ketika itu, kenapa tiada siapa nampak atau dengar apa-apa?
“Zara Jatuh Dari Tingkat Tiga…”
Lebih menyayat hati, Syira menjelaskan bahawa sekitar pukul 3 pagi, ibu Zara telah menerima panggilan dari warden sekolah memaklumkan bahawa Zara terjatuh dan sedang koma.
“Ibu kandung diberitahu kaki dan tangan Zara patah. Tiada pengetua atau guru lain yang bercakap, warden yang menelefon. Zara jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan.
“Ketika dijumpai, kepala terkulai dalam longkang, kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kiri terlipat pelik dan tangan terlentang, muka menghadap ke depan dalam keadaan terlentang. Tiada darah kelihatan di kepala atau badan hanya darah di tapak kaki kiri yang luka terbelah,” jelasnya.
Buat keluarga, keadaan mayat Zara dan beberapa perkara lain menimbulkan keraguan yang sangat besar.
“Kami tidak percaya Zara jatuh sendiri. Zara mungkin didorong secara paksa, dipaksa keluar dalam ketakutan, dicampak dalam keadaan pengsan atau lebih memilukan, dia dicederakan terlebih dahulu dan kemudian dijatuhkan untuk menutup sesuatu.
“Apa pun kebenarannya, Zara mati dalam situasi yang tidak normal. Dan sekarang… semua orang bertindak seolah ini kematian biasa. Kami tidak akan benarkan itu berlaku,” tegas Syira.
Pihak Berkuasa Sedang Jalankan Siasatan
Kes yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Sabah ini telah mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial. Zara yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Susulan kejadian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengeluarkan kenyataan menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Beliau turut meminta agar masyarakat menghormati privasi keluarga mangsa dan memberi ruang penuh kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Syira Leizel
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah menyayat hati melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina terus mendapat perhatian ramai. Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wujudnya elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Menurut beliau, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ketiga-tiga elemen berkenaan telah dikenal pasti dan kini disiasat secara menyeluruh. Tegasnya lagi, isu sebegini tidak boleh sesekali ditutup atau dipandang ringan kerana sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak menimba ilmu.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Kes ini kini diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan hala tuju seterusnya, termasuk kemungkinan pendakwaan ke atas pihak-pihak terlibat.
Punca Kematian Menyayat Hati
Sekadar makluman, punca kematian Allahyarhamah Zara Qairina adalah akibat kecederaan otak yang berlaku kerana kekurangan oksigen serta aliran darah ke otak. Arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Renungan Buat Ibu Bapa
Tragedi ini wajar menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibu bapa. Anak-anak yang bersekolah, khususnya di asrama, berhadapan pelbagai cabaran emosi dan sosial. Isu buli, pengabaian dan gangguan seksual bukanlah perkara kecil – ia boleh memberi kesan trauma seumur hidup, malah mengundang tragedi seperti yang menimpa arwah Zara Qairina.
Kita perlu:
Peka dengan perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jika anak kelihatan murung, takut ke sekolah atau menyendiri, ia mungkin tanda ada masalah yang disembunyikan.
Ajarkan anak berani bersuara. Anak-anak perlu tahu mereka boleh berkongsi rasa dengan ibu bapa atau guru tanpa takut dimarahi.
Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah. Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan guru penting untuk memantau keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.
Semoga kisah sedih ini membuka mata kita semua untuk lebih cakna dan proaktif dalam melindungi anak-anak. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zara Qairina. 🌸
Insiden remaja maut ditembak di Keningau mengejutkan negara. Ketahui kronologi kejadian, hasil siasatan polis dan pengajaran penting buat remaja serta ibu bapa mengenai bahaya senjata buatan sendiri.