“Satu negara haram yang betul-betul jahat dan brutal.”
Begitulah luahan hati aktivis kemanusiaan dan selebriti, Heliza Helmi sewaktu ditemu bual bersama-sama adiknya, Hazwani Helmi dengan rakan media Astro Awani yang berada di Istanbul, Turkiye.
Pengalaman ditahan dan dipenjarakan oleh tentera zionis Israel kerana terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini dikongsikan semula oleh Heliza.
Menurutnya, keadaan menjadi buruk selepas mereka dibawa ke darat oleh pihak tentera terutamanya apabila perlu berada dalam posisi commando rest dengan tangan diikat ke belakang, terpaksa berpanas dan langsung tidak diberi makanan mahupun minuman.
“Dengan izin Allah, ada benda yang (kami berdua) kena syukuri di mana untuk wanita, mereka tak bagi pakai hijab. Ada yang kena tarik rambut, macam-macam cerita yang kita dengar daripada sahabat kita.
“Bila sampai giliran kami, Allah pelihara dan beritahu mereka, ‘Hijab bagi Muslim adalah kewajiban dan kami tidak sesekali boleh tanggalkannya.’ Mereka akan gasak juga untuk buka dan tidak peduli,” katanya.
Ads
Heliza Helmi.
Tambah mendukacitakan apabila mereka merasakan kelompok tentera wanita bertindak dengan lebih tidak bermanusiaan biarpun sesama tahanan perempuan.
“Sebenarnya, tentera perempuan lagi kejam! Lagi dasyat! Nasib baiklah ada tentera lelaki yang bertanyakan apa sedang berlaku (sewaktu diminta menanggalkan hijab oleh tentera perempuan). Saya katakan yang kami adalah Muslim yang perlu tunaikan sembahyang.
“Mereka pun faham dan Alhamdulillah juga, saya bersama kakak saya dapat memakai hijab kami. Kalau tentera perempuan itu memang… astaghfirullah hal ‘azim, tak tahu nak cakaplah,” ulasnya.
Dalam pada itu, adiknya, Hazwani berkongsi bahawa pihak tentera zionis Israel tidak mempedulikan keadaan tahanan sama ada mereka sakit mahupun tidak.
Ads
“Dalam delegasi Malaysia, saya terkejut bila dapat tahu ramai yang berdepan masalah kesihatan kronik seperti sakit jantung biarpun usia mereka masih muda. Cukup mendukacitakan apabila pihak tentera turut membuang segala ubat-ubatan yang dibawa delegasi tanpa izin mereka.
“Bila suatu hari nanti, mereka meminta ubatan daripada pihak tentera. Lepas itu dia kata, ‘Kau mati tak lagi? Kalau kau belum mati, tak ada masalah.’,”luahnya.
Heliza, Hazwani dan 21 orang delegasi Malaysia lain yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) telahpun selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bakal memberikan peluang kepada murid aliran perdana untuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai subjek tambahan. Langkah ini dijangka menyokong pendidikan inklusif dan meningkatkan kefahaman terhadap golongan kurang upaya di peringkat sekolah.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan bahawa inisiatif ini melengkapkan usaha KPM sejak 2011 melalui subjek Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) dan Pendidikan Asas Individu Kurang Upaya Penglihatan (PAIKUP) dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK). Pelaksanaan BIM menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga membolehkan murid berkeperluan pendidikan khas dan murid aliran perdana belajar bersama.
“Penyertaan daripada murid aliran perdana dapat meningkatkan kefahaman serta toleransi terhadap golongan orang kurang upaya,” katanya.
Menurut beliau, ini bukan sahaja membantu murid berinteraksi dengan rakan sekelas yang berkeperluan khas, malah memupuk persekitaran pembelajaran yang inklusif. Pada masa yang sama, ia turut menekankan bahawa KP2027 memberi peluang kepada murid aliran perdana di sekolah yang mempunyai kelas PPKI untuk mempelajari BIM sejak dari peringkat awal sekaligus membentuk masyarakat yang lebih peka dan memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas usaha membantu kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk sokongan kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia dewasa.
Difahamkan, usaha ini merangkumi lima keutamaan utama kerajaan seperti bantuan kewangan, pendidikan inklusif, pemulihan awal, latihan kemahiran, serta perlindungan dasar dan undang-undang.
Kredit foto: IG Hua Xia International School
“Kami mahu memastikan setiap kanak-kanak kurang upaya daripada keluarga miskin tidak ketinggalan dari segi pembangunan dan peluang pendidikan bermula dari alam kanak-kanak sehingga dewasa,” ujar Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri.
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pendidikan inklusif diperkasakan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan geran intervensi awal untuk TASKA OKU bagi memupuk kemahiran sosial murid. Dari segi pemulihan, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menyediakan latihan kemahiran asas dan aktiviti sosialisasi, lengkap dengan elaun bulanan RM300. Selain itu, pemegang kad OKU juga menikmati pengecualian yuran perubatan dan manfaat pengangkutan.
Sehubungan itu, semua inisiatif ini disusun berdasarkan Dasar OKU Negara dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 untuk memastikan golongan OKU mendapat akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan kebajikan, dan penyertaan dalam masyarakat. Intervensi awal serta jaringan sosial yang inklusif diharap menjadi jambatan kepada kanak-kanak kurang upaya untuk menghadapi alam dewasa dengan lebih yakin.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kerajaan akan menambah baik bantuan kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi negara terus berjalan lancar susulan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan harga diesel bertapis yang melonjak sehingga AS$250 atau kira-kira RM989 satu tong iaitu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat memberi kesan besar kepada kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, langkah penambahbaikan itu dilaksanakan secara bersasar melibatkan pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel individu yang layak.
“Keutamaan kerajaan adalah jelas iaitu memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia,” katanya dalam kenyataan media oleh Kementerian Kewangan.
Fokus Bantuan Bersasar Kepada Golongan Terjejas
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah atau IPKP bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.
Langkah itu dijangka memanfaatkan kira-kira 200,000 pesawah dengan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta.
Selain itu, bantuan tunai di bawah program BUDI Agri Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026.
Ia melibatkan lebih 350,000 penerima dengan tambahan peruntukan sekitar RM35 juta sebulan.
Kerajaan Tanggung Subsidi Sekitar RM7 Bilion
Dalam pada itu, Anwar berkata Kementerian Kewangan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi bulan ini termasuk tambahan peruntukan bagi semua inisiatif bantuan diesel.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat terus dilindungi daripada kesan langsung ketidaktentuan harga minyak global.
Pelonggaran Syarat Pembelian Diesel Untuk Sektor Pertanian
Dalam masa sama, kerajaan turut melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan termasuk membenarkan pembelian melebihi 20 liter bagi pemilik jentera pertanian.
Ia boleh dibuat dengan hanya mengemukakan pendaftaran jentera, sekali gus memudahkan urusan golongan petani dan pekebun kecil.
Pemantauan Berterusan Situasi Global
Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam masa terdekat, manakala Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan terus memantau perkembangan di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia.
Pemantauan ini bagi memastikan setiap bantuan dapat disalurkan kepada rakyat yang benar-benar terkesan dengan situasi semasa pasaran tenaga dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Golongan bujang yang layak di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini boleh menarik nafas lega apabila bantuan bulanan sehingga RM100 mula disalurkan bermula hari ini mengikut kelayakan masing-masing.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan melibatkan kira-kira 3.1 juta penerima di seluruh negara.
“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara,” katanya.
Untuk makluman, seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima SARA Bulanan di bawah dua kategori utama. Bagi mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah, bantuan sebanyak RM50 akan diterima setiap bulan. Manakala individu dalam julat pendapatan sama yang turut tersenarai sebagai penerima eKasih pula layak menerima RM100, yang akan dikreditkan terus ke dalam MyKad.
Dalam pada itu, penerima SARA disarankan agar membuat semakan baki bantuan secara berkala bagi memastikan kredit yang diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembelian barangan keperluan asas.
Semakan baki SARA boleh dilakukan dengan mudah di pasar raya atau kedai rakan niaga terpilih hanya dengan menggunakan MyKad. Penerima perlu memaklumkan kepada juruwang untuk membuat semakan baki sebelum transaksi dijalankan, dan maklumat baki akan dipaparkan sama ada di skrin atau pada resit pembelian.
Selain itu, penerima juga boleh menyemak status kelayakan serta maklumat bayaran SARA menerusi portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau melalui https://www.mykasih.com.my/.
Bagi mereka yang memerlukan penjelasan lanjut, semakan turut boleh dibuat dengan menghubungi talian bantuan STR atau hadir sendiri ke mana-mana cawangan LHDN berhampiran.
Sebagai peringatan, SARA tidak disalurkan melalui akaun bank, sebaliknya dikreditkan terus ke MyKad penerima dan hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Kementerian Kewangan Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!