Nama Maha Klinik bukan sekadar sebuah pusat rawatan, sebaliknya menyimpan kisah cinta dan perjalanan hidup bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Allahyarham isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Beroperasi sejak 1957 di Alor Setar, Kedah, klinik berkenaan dikatakan menjadi antara tinggalan yang mengabadikan hubungan pasangan tersebut, selain mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia perubatan di negeri itu.
Gabungan Nama Dua Insan Istimewa
Menurut laporan media tempatan, Pembantu Tadbir Maha Klinik, Mercy Samuel, 69, yang telah berkhidmat di klinik berkenaan selama hampir 50 tahun, berkata nama Maha Klinik merupakan gabungan rasmi nama Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.
Katanya, klinik swasta pertama milik Bumiputera itu bukan sekadar sebuah jenama perubatan, malah mempunyai nilai sentimental buat pasangan tersebut.
“Mereka bertemu ketika menuntut bersama-sama di Singapura. Selepas menamatkan pengajian dan mendirikan rumah tangga, Dr Mahathir mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan awam untuk membuka kliniknya sendiri.
“Sebagai tanda kasih kepada isteri tercinta yang sentiasa berada di sisi dan menjadi pembakar semangat, beliau mengabadikan gabungan nama mereka berdua pada papan tanda Maha Klinik,” katanya kepada pemberita.
Ads
Bermula Di Pekan Melayu
Mercy berkata, Maha Klinik pada asalnya dibuka di Pekan Melayu, Alor Setar pada 1957 sebelum berpindah ke Jalan Sultan Badlishah pada 1979.
Menurutnya, klinik itu juga merupakan satu-satunya klinik yang dipatenkan atas nama Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.
“Tun Dr Mahathir telah menyerahkan klinik berkenaan kepada Datuk Dr Mohamed Yacob Dawood sekitar penghujung 1970-an. Walaupun sudah tidak berkhidmat di klinik berkenaan, setiap kali pasangan itu balik ke Alor Setar, mereka akan datang ke klinik dan bertanya khabar.
“Setiap kali Ramadan, mereka juga tidak pernah lupa untuk mengajak staf klinik berbuka puasa bersama-sama di rumah anak saudara mereka di Alor Setar. Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah memang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir walau ke mana sahaja,” katanya.
Ads
Sosok Yang Dekat Di Hati Petugas
Dalam pada itu, Mercy menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah sebagai satu kehilangan yang turut dirasai oleh petugas Maha Klinik.
Katanya, Allahyarham merupakan seorang insan yang cukup merendah diri selain memiliki sifat keibuan sehingga disenangi ramai tanpa mengira usia, latar belakang, agama mahupun bangsa.
Pernah Rawat Pesakit Secara Percuma
Sementara itu, Pegawai Perubatan Maha Klinik, Dr Reshampreet Kaur, 39, berkata Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah turut dikenang sebagai antara pelopor dalam beberapa aspek perubatan, termasuk berkaitan perancangan keluarga serta kesihatan ibu dan anak.
Menurutnya, Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah juga pernah turun ke kawasan kampung untuk memberikan rawatan secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan.
“Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mula pergi ke kawasan kampung untuk memberi rawatan secara percuma kepada pesakit kurang berkemampuan dan miskin.
“Dari dulu lagi, Tun Dr Mahathir kalau lihat orang susah datang klinik, beliau tidak akan mengenakan bayaran atau mengenakan bayaran yang rendah. Itu yang kami kekalkan sehingga kini, hanya mengenakan bayaran dengan kadar yang rendah.
“Walaupun Tun Dr Mahathir berhenti merawat pesakit selepas menyertai politik, klinik ini terus beroperasi dan diingati oleh rakyat Kedah. Sekarang pun, ada orang yang hanya datang ke klinik semata-mata untuk mengambil gambar papan tanda Maha Klinik,” katanya.
Sehingga kini, Maha Klinik terus beroperasi dan menjadi antara lokasi yang menyimpan memori perjalanan hidup dua tokoh berkenaan, selain meninggalkan legasi tersendiri dalam sejarah perubatan di Kedah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, seorang lelaki yang bernama Dr. Raja Akif Raja Zahirudin mencuri perhatian warga internet apabila kisah kejayaannya menamatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Aeroangkasa di Pennsylvania State University menjadi tular. Anak kelahiran Kerteh, Terengganu itu bukan sekadar menggenggam ijazah kedoktoran pada tahun 2025, malah kini berada dalam radar komuniti aeroangkasa antarabangsa.
Menerusi sebuah gambar yang dikongsikan oleh MARA USA di Facebook, Dr. Raja Akif telah diperkenalkan dalam siri MARA Trailblazer sempena ulang tahun ke-60 MARA. Perkongsian tersebut menyorot perjalanan graduan tajaan mereka yang kini mencipta impak di Amerika Syarikat dan Kanada dan nama beliau antara yang paling mencuri tumpuan.
Menurut Dr. Raja Akif, segalanya bermula sejak kecil apabila beliau sering mendengar bunyi helikopter berulang-alik ke pelantar minyak berhampiran rumahnya. Daripada sekadar tertanya-tanya bagaimana pesawat itu boleh terbang, lahir satu minat mendalam terhadap dunia penerbangan yang akhirnya menentukan hala tuju hidupnya.
Mendapat pendidikan awal di SK dan SMK Rantau Petronas, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di INTEC UiTM di bawah tajaan MARA. Di sinilah asas kukuh dalam bidang kejuruteraan dibina sebelum melangkah lebih jauh mengejar impian di luar negara.
Disebabkan kegigihannya, beliau menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Aerospace Engineering di Pennsylvania State University sebagai satu-satunya pelajar Malaysia dalam kohortnya pada tahun tersebut. Persekitaran akademik yang kompetitif membentuk ketahanan diri serta membuka peluang jaringan antarabangsa yang luas.
Ketika pengajian PhD, Dr. Raja Akif bekerjasama dengan NASA Langley Research Center dan membangunkan Coaxial Acoustic Test System (CATS) di kemudahan bilik anechoic. Kajian tersebut memfokuskan kepada bunyi rotor dan prestasi aerodinamik, sekaligus menyumbang kepada pembangunan pesawat generasi baharu termasuk teknologi electric Vertical Take-Off and Landing (eVTOL).
Kecemerlangan beliau seterusnya diiktiraf pada tahun 2021 apabila beliau tersenarai antara 27 pelajar kejuruteraan paling berbakat dunia dalam bidang teknologi penerbangan vertikal menerusi Barnes M. McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship. Pengiktirafan itu meletakkan namanya sebaris dengan penyelidik muda terbaik dalam bidang vertical flight.
Kini, beliau meneruskan penyelidikan sebagai GT-AE Postdoctoral Fellow di Georgia Institute of Technology. Antara projek utama termasuk pembangunan pesawat elektrik eVTOL NASA RAVEN GT serta kajian aerodinamik di John J. Harper Wind Tunnel.
Berpegang kepada prinsip “Ad Maiora Natus Sum”, Dr. Raja Akif menyifatkan setiap peluang sebagai amanah untuk memberi kembali. Beliau juga sempat mengingatkan pelajar MARA dan anak muda agar sentiasa ingat tujuan asal, menghargai biasiswa sebagai tanggungjawab besar dan berusaha menyumbang lebih daripada apa yang diterima.
Sementara itu, beliau mengingatkan golongan muda agar memilih jalan yang bermakna, membina hubungan kukuh dengan pensyarah serta industri dan menyasarkan impian setinggi mungkin. Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan mendokumentasikan perjalanan melalui portfolio dan perkongsian di aplikasi kerjaya kerana jejak digital yang baik mampu membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Sumber artikel & foto: Facebook MARA USA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selagi ada usaha, pasti ada kejayaan yang diraih. Benarlah kata pepatah berikut, tidak ada yang mustahil jika kita lakukan sesuatu dengan penuh minat dan kegigihan pasti membuahkan hasil.
Lim Chia Wei atau pun dikenali sebagai Cempaka oleh teman-teman rapatnya telah membuktikan bahawa segala impiannya tercapai walaupun pada mulanya ramai yang menganggap anak kelahiran Perlis ini hanya menyimpan angan-angan kosong.
Bertugas sebagai Technical Sales Engineer di salah sebuah syarikat Oil & Gas terbesar di dunia, Cempaka sudah pun berkhidmat dalam industri tersebut kira-kira 5 tahun. Biar pun mendapat tentangan daripada orang disekeliling, namun gadis ini tidak mudah patah semangat.
“Saya sering dipanggil sebagai anak kampung kerana dibesarkan di sebuah pekan kecil di Perlis. Daripada tidak pandai berbahasa Inggeris, sehinggalah dimana saya berada sekarang iaitu memegang jawatan sebagai Technical Sales Engineer di salah sebuah syarikat Oil & Gas (O&G) terbesar dunia,”
“Bila saya menyatakan hasrat untuk belajar dalam bidang kejuruteraan teknikal dan ingin bekerja di industri O&G, ramai yang membangkang dan mengatakan bahawa kerjaya ini bahaya dan bukannya untuk orang perempuan. Saya menerima banyak tentangan dan halangan tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan hasrat saya untuk meneruskan impian menjadi seorang jurutera teknikal,”
“Menjadi seorang yang agak lasak, saya suka bekerja di luar ofis dan kerana itu juga saya memilih kerjaya ini. Paling mencabar tentang kerjaya saya terutamanya di atas laut adalah cabaran fizikal. Kami perlu menyelenggarakan barang-barang berat, tetapi bukanlah bermaksud saya perlu mengangkat kesemua barangan tersebut. Jika ia terlalu berat, ia akan diangkat oleh kren. Cuma operasi di offshore ini sangat bahaya, macam saya pernah bekerja di telaga minyak. Jadi kita tak tahu dibawah itu suhunya bagaimana dan oleh kerana itu, semuanya memerlukan perancangan yang rapi,” jelas Cempaka.
Walau bagaimanapun, kerjaya ini banyak memberikan ilmu mahu pun pengalaman yang manis buat Cempaka. Tambahnya lagi, pekerjaan ini juga memberinya peluang untuk berkunjung ke merata tempat di seluruh dunia. Jadi baginya, jika korang memang suka bekerja sambil berjalan, ini adalah pekerjaan yang sesuai untuk korang.
“Kemahiran teknikal memang perlu dilatih dan sewaktu saya mula bekerja dulu, bukannya saya terus pandai. Saya masih perlu belajar dan menghadiri banyak sesi latihan. Saya melakukan latihan di beberapa negara luar seperti Perancis dan Abu Dhabi. Tahun lepas, saya juga berkesempatan untuk bekerja di Thailand. Jadi, korang boleh lihat bidang O&G ini memang begitu luas di seluruh dunia dan bagi korang yang memang suka travel sambil menimba ilmu, I think O&G is the best place for you,” jawabnya.
Inspirasi untuk anak muda
Mungkin kisah Cempaka ini boleh dijadikan sebagai inspirasi, khususnya buat anak kampung yang kurang berkeyakinan dan menganggap mustahil bagi mereka untuk mengejar impian. Dengan usaha dan semangat, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan serta semuanya terpulang kepada diri sendiri.
“Bukan senang nak jadi senang. The more you want something, the harder it is for you to achieve the dreams. Hidup ini penuh cabaran tetapi sebagai anak muda, kita perlu berani untuk mengambil risiko. Jangan risau, kalau plan A korang tak jadi, masih ada Plan B dan Plan C. Semua orang bermula daripada bawah,”
“Saya juga dulunya langsung tidak tahu berbahasa Inggeris. Selagi korang ada keinginan untuk belajar, semuanya masih belum terlambat. Korang masih ada masa untuk meningkatkan kemahiran dengan menyertai kelas bahasa Inggeris contohnya. Sekarang ni pun banyak perkara yang kita boleh belajar secara online. Ambil peluang sewaktu PKPB ini untuk mengisi masa menambah baik ilmu yang ada,” tambahnya lagi.
Masih ramai remaja diluar sana yang takut untuk mencuba dan menganggap adalah mustahil untuk mereka mengubah hidup. Apa yang paling penting adalah usaha yang diiringi doa, pasti korang akan dapat melihat hasilnya. Paling penting, jangan pernah berhenti berharap selagi korang tidak pernah berusaha untuk merealisasikannya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan meraih perhatian selepas mencatat satu lagi kejayaan peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis konvokesyen tersebut berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok, Kedah, pada semalam.
Beliau yang kini berusia 59 tahun merupakan antara 879 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada sesi kedua majlis tersebut. Penyampaian ijazah itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Pencapaian Peribadi & Teladan
Datuk Seri Dr. Ahmad menzahirkan rasa syukur atas kejayaan menamatkan pengajian selepas empat tahun penuh cabaran. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, termasuk isterinya, para pensyarah, penyelia dan rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.
“Hari ini hari konvokesyen yang merupakan hari bersejarah kepada saya dan keluarga. Semoga ini sedikit sebanyak boleh dijadikan teladan bahawa mencari ilmu adalah satu usaha sepanjang hayat. Pendidikan adalah usaha sepanjang hayat dan mudah-mudahan ia menjadi inspirasi kepada ramai pihak,” katanya sambil menzahirkan kecintaannya terhadap universiti tempat beliau menimba ilmu itu.
Cabaran Sepanjang Pengajian PhD
Dalam pada itu, beliau sempat berkongsi mengenai cabaran sepanjang pengajian PhD Komunikasi di UUM. Menurutnya, tempoh pandemik COVID-19 menjadi antara ujian terbesar apabila beliau perlu menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian sambil menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Cabaran saya semasa COVID-19, saya kena kelas dalam talian. Masa saya balik kawasan kadang-kadang kena berhenti di R&R untuk mengikuti kuliah, selepas itu ada peperiksaan dua subjek utama iaitu Research Methodology dan Academic Writing,” jelasnya.
“Alhamdulillah, kedua-dua subjek ini saya dapat A+. Tentulah ada proses-proses lain seperti membentang kertas seminar antarabangsa, menulis, proposal defense, Quantitative Analysis, menulis tesis dan bertemu penyelia,” ujarnya.
Kredit foto: FB Rasmi Ahmad MaslanKredit foto: FB Rasmi Ahmad Maslan
Fokus Penyelidikan & Inspirasi Pendidikan Sepanjang Hayat
Penyelidikan beliau bagi pengajian peringkat PhD Komunikasi itu memfokuskan kepada komunikasi kerajaan yang berkait rapat dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) — satu topik yang relevan dengan pengalaman beliau dalam bidang pentadbiran dan kewangan.
Datuk Seri Dr. Ahmad turut menzahirkan harapan agar kejayaannya memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira usia atau latar belakang, serta menjadikan pendidikan sebagai satu usaha berterusan sepanjang hayat.
“Ilmu tak pernah mengenal usia. Saya harap lebih ramai akan menjadikan pembelajaran sebagai satu gaya hidup. Inilah mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui kejayaan menamatkan PhD Komunikasi ini,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dibesarkan dalam keluarga yang menjadikan bahasa isyarat sebagai medium komunikasi harian tidak pernah mematahkan semangat Arifah Azhari untuk mengejar kejayaan dalam bidang akademik.
Sebaliknya, perbezaan...