Setelah membuka dua cawangan taman tema di bawah jenama ESCAPE di Pulau Pinang dan di pusat membeli-belah Paradigm Petaling Jaya, kini pengusahanya iaitu Sim Leisure Group bersama-sama Hektar Muda Sdn Bhd bersedia untuk membuka cawangan baru ESCAPE.
Siapa sangka, destinasi sasaran mereka pada kali ini ialah kawasan pelancongan tanah tinggi, Cameron Highlands!
Dalam sesi menandatangani memorandum rasmi secara atas talian pada hari ini, CEO merangkap pengasas Sim Leisure Group, Encik Sim Choo Kheng dan Dato Jimmy Doh dari Hektar Muda Sdn Bhd tampil memberikan gambaran menarik mengenai apa yang dirancang oleh dua syarikat tersebut untuk ESCAPE Cameron Highlands.
(Dari kiri atas) Pengacara majlis Nadia Heng, Encik Sim Choo Kheng dan (bawah) Dato Jimmy Doh
Menurut mereka, Cameron Highlands bukan saja berkisarkan kepada tarikan ladang teh dan buah-buahan. Ia juga merupakan lokasi pilihan ramai rakyat Malaysia yang ingin ‘melarikan’ diri buat seketika waktu terutamanya meluangkan masa hujung minggu dalam persekitaran dingin.
Jom kita lihat 5 poin menarik yang dikongsikan sebentar tadi.
KONSEP
Dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 sekarang, salah satu sektor paling teruk terjejas adalah sektor pelancongan. Tanpa kemasukan pelancong asing dan rakyat di dalam negara pula tersekat daripada merentas daerah serta negeri, industri pelancongan yang selalunya membawa masuk keuntungan berbilion Ringgit dijangka akan memfokuskan kepada pelancongan dosmetik untuk beberapa tahun akan datang ini.
Lalu, ESCAPE Cameron Highlands yang terletak di atas tanah seluas 60 ekar ini ialah lokasi istimewa bagi meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Terbuka kepada semua peringkat usia, dari yang muda hinggalah yang lebih berusia dapat menikmati masa bercuti di sini.
Gambaran Artis : ESCAPE Cameron Highlands.
Apa yang menjadikannya lebih menarik adalah konsep taman tema ini yang pertama seakannya di rantau Nusantara. ESCAPE Cameron Highlands mempunyai tarikan ‘Dry Ski Slope’ atau lereng ski kering dengan persekitaran yang diilhamkan daripada benua Eropah. Ilham itu datang daripada sejarah zaman penjajahan Cameron Highlands sendiri yang mengadaptasi budaya Eropah; baik dari segi seni bina atau makan minumnya.
LAPANGAN SKI KERING
But wait, apa yang dimaksudkan dengan ski kering? Adakah pengunjung akan meluncur di atas pasir?
Ads
Kongsi Encik Sim, dry ski slope bukanlah sesuatu yang baharu di Eropah. Lapangan ski kering selalu digunakan oleh atlet ski profesional di sana semasa negara mereka memasuki musim bunga, panas dan luruh tanpa turunnya salji.
Gambaran Artis : ESCAPE Cameron Highlands.Sky lift chair membawa pengunjung ke puncak. Imej Tangkap Layar dari video yang dimainkan.
Permukaan berwarna putih ini diperbuat daripada plastik dengan tekstur berus (brushes) dan ia akan ‘terbentang’ sejauh 1.2 kilometer dari ketinggian 200 meter! Wow, memang menyerupai lapangan ski betul ni.
Bukan itu saja, ESCAPE Cameron Highlands merancang untuk mempunyai sky lift chair sepanjang 920 meter dari kawasan landai hinggalah ke puncak taman tema. Dapatlah korang ‘feeling’ tengah ski.
AKAN DISIAPKAN MENGIKUT FASA
Bercakap mengenai tarikan di ESCAPE Cameron Highlands, kesemuanya akan dibina mengikut fasa; dari fasa 1 hingga fasa 4. Fasa 1 dijangka memulakan pembinaan pada Disember tahun ini dan memakan masa 18 bulan sebelum siap pada pertengahan tahun 2023.
Pada fasa pertama ini, antara tarikan sudah dibuka kepada pengunjung nanti adalah seperti lapangan ski dan sky lift chair yang disebut tadi. Selain itu, pemaju juga merancang pusat penginapan jenis glamping, camping dan hotel dalam bentuk kotej lereng bukit.
Dari pandangan udara. Gambaran Artis : ESCAPE Cameron Highlands.Gambaran binaan kotej penginapan lereng bukit persis di negara Eropah. Imej Tangkap Layar dari video yang dimainkan.
Setiap fasa yang dirancang akan mempunyai beberapa zon; ilham beberapa bahagian benua Eropah yang berbeza. Antaranya seperti zon Iberian, zon British Isle, zon Balkan, zon Nordic dan zon Alpian. Setiap zon mempunyai permainan berbeza untuk kepuasan pengunjung. Apabila ditanya tentang jenis-jenis permainan dari zon British Isle, Encik Sim berkata kita boleh menjangkakan aktiviti tradisi masyarakat Inggeris seperti ‘Street Bowling’ dan ‘Chasing after Cheese’.
Ads
Gambaran Artis : ESCAPE Cameron Highlands.Gambaran Artis : ESCAPE Cameron Highlands.
Tambahnya, pengunjung akan memerlukan 2 hari berturut-turut untuk menghabiskan kesemua 20 permainan yang disediakan. Bersiap-sedialah korang untuk tidur semalam di sini.
MESRA ALAM
Sudah tentu, setiap projek pembinaan semega ESCAPE Cameron Highlands ini akan mendatangkan persoalan mengenai keadaan alam semulajadi di sana. Apakah ia akan menganggu habitat Cameron Highlands yang sebelum ini tidak terusik?
Pihak pemaju akan memastikan pembinaan kurang impak terhadap persekitaran seperti yang pernah mereka lakukan di ESCAPE Pulau Pinang. Taman tema di kawasan tanah tinggi ini juga menggunakan 100 peratus tenaga boleh guna semula yang bersifat neutral karbon.
Sumber tenaga bagi mengoperasikan ESCAPE Cameron Highlands datang dari fasiliti photovoltaic (sumber cahaya matahari), wind turbine (sumber angin) dan beberapa lagi alternatif lain.
Antara permainan yang biasa kita lihat di ESCAPE Pulau Pinang dan Paradigm Mall juga ada di sini. Imej Tangkap Layar dari video yang dimainkan.
Penulis sedar keadaan trafik yang cukup menguji iman apabila kita memandu naik ke Cameron Highlands. Sedangkan pada hujung minggu pun kereta bersesak-sesak ke sana, inikan lagi pada musim cuti sekolah. Adakah dengan pembukaan taman tema ini, bukan hanya jalan bertambah sesak tetapi nafas kita turut sama sesak? Hehe..
Jelas Encik Sim, mengikut Rancangan Malaysia ke-12 yang diumumkan kerajaan awal tahun ini, terdapat perancangan untuk menyediakan laluan baharu ke Cameron Highlands tanpa perlu melalui Tanah Rata. Ia dapat mengelakkan sebarang kesesakan major di sana.
Di ESCAPE Cameron Highlands juga, mereka merancang jumlah parkir kenderaan yang memadai bagi mengelakkan kesesakan sewaktu laluan masuk ke tanah tinggi itu.
Pemandangan dari puncak. Imej Tangkap Layar dari video yang dimainkan.
SOALAN CEPUMAS : HARGA TIKET
Walaupun masih belum memulakan pembinaan, penulis tidak sabar lagi untuk mengetahui harga tiket masuk ke taman tema ini.
Untuk pengetahuan, masih belum ada harga tiket masuk yang ditetapkan. Namun korang boleh menjangkakan harganya tidak akan jauh berbeza berbanding tiket masuk ke taman tema ESCAPE Pulau Pinang. Ia bermula serendah RM80 hingga RM160 bergantung kepada seawal mana korang mendapatkan tiket tersebut. Lebih awal, lebih murah.
*
Jadi, adakah korang bersedia menantikan ESCAPE Cameron Highlands pada 2023?!
Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia baru-baru ini kembali menjadi tumpuan apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 yang akan berlangsung di Adidas Arena, Paris bermula hari ini. Apa yang lebih mengagumkan, kemunculan semula pemain berusia 27 tahun itu dinanti-nantikan selepas berehat panjang akibat kecederaan buku lali sejak Mac lalu.
Menurut perkongsian Team LZJ di laman Instagram, Zii Jia tidak mahu meletakkan tekanan besar ke atas dirinya dalam kejohanan kali ini.
“Sudah agak lama dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama saya selepas berehat panjang”
“Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan pada diri sendiri. Saya hanya mahu menikmati kembali berada di gelanggang kompetitif dan yang paling penting, menamatkan kempen di Paris tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Kredit foto: IG Team LZJ
Pada masa yang sama, dalam satu pendedahan kepada BWF, pemain kesayangan negara itu mengakui tempoh lima bulan berehat memberi tamparan hebat bukan sahaja dari segi fizikal malah emosi.
“Sepanjang lima bulan itu, saya bukan sahaja berdepan kecederaan tetapi juga tekanan dan sudah tentu menghadapi sedikit kemurungan. Ini bukan sesuatu yang normal (berehat selama lima bulan),” ujarnya.
“Saya pernah berada dalam situasi, saya mahu berhenti bermain kerana semua kecederaan dan perkara yang membelenggu saya,” jelasnya lagi.
Mengakui berdepan cabaran mental, Zii Jia berkata beliau memilih untuk menjauhkan diri daripada media sosial dan dunia badminton buat sementara waktu. Sebaliknya, beliau menumpukan masa ‘perjalanan penyembuhan’ dengan aktiviti membaca, mengembara solo, terjun udara di Dubai serta melawat muzium seni di Abu Dhabi.
“Saya juga mengembara untuk segarkan fikiran. Saya agak obses dengan seni. Saya sedar melalui seni mampu mengekspresikan perasaan kita, bukan sahaja sisi indah tetapi kadangkala sisi gelap juga. Sebab itu saya kongsikan gambar-gambar tersebut,” tambah Zii Jia.
Terdahulu, pada Julai Zii Jia mencuri perhatian menerusi beberapa perkongsian gambar lukisan misteri di media sosialnya menimbulkan spekulasi mengenai keadaan emosinya ketika itu.
Kredit foto: IG Team LZJ
Kini, dengan semangat baharu, beliau berharap penampilan semula di Paris mampu membuka lembaran positif buat kariernya. Kejohanan Dunia ini bukan sahaja menjadi peluang untuk menguji ketahanan dirinya selepas kecederaan, malah platform penting untuk membina kembali keyakinan menjelang baki saingan musim ini.
Sekadar info, bekas juara All England 2021 itu sebelum ini dilanda kecederaan ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada Disember lalu. Kecederaan tersebut memaksanya menarik diri daripada beberapa siri kejohanan utama termasuk Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China, selain tersingkir awal dalam kejohanan Masters Orleans dan All England pada Mac.
Untuk perkembangan terkini, bagi aksi pembukaan pemain kelahiran Alor Setar itu dijadualkan menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyuk-jin yang berada di ranking ke-38 dunia.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Saya menulis dan membaca setiap hari dengan satu harapan, agar keluar nanti bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu ialah kebebasan sebenar.”
Bermula Dari Titik Gelap
Dari jeriji besi ke pentas konvokesyen, perjalanan hidup Mohd Razin membuktikan bahawa kejatuhan bukan noktah kepada masa depan.
Bekas anggota keselamatan ini menamatkan pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas melalui tempoh getir selama tiga tahun dalam tahanan di Penjara Alor Setar.
Kisah kejayaannya tular di media sosial selepas dikongsi oleh Facebook rasmi UUM, menarik perhatian ramai atas ketabahan luar biasa yang ditunjukkan.
Beliau ditahan pada 20 Jun 2022 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan hanya dibebaskan selepas didapati tidak bersalah pada 1 April 2025.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk hidup di penjara. Segalanya gelap, waktu seakan berhenti,” katanya.
Ujian Berlapis Di Balik Tembok Besi
Ketika di sebalik jeriji besi, ujian hidup datang bertimpa-timpa. Isterinya memohon fasakh dan rumah tangga yang baru dibina berakhir dengan perceraian.
“Konflik keluarga dan tekanan kewangan membuatkan perceraian berlaku ketika saya masih ditahan. Jiwa saya hampir rebah.
“Tapi di saat itu saya sedar, ALLAH tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik saya untuk menjadi manusia yang baru,” ujarnya.
Walaupun kehidupannya terbatas dan gajinya ditahan, semangat untuk bangkit tidak pernah padam. Doa menjadi tongkat kekuatan setiap hari.
Menulis Tesis Dalam Sel 8×15 Kaki
Dengan bantuan Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Dr. Mazli Mutazam, serta sokongan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pengarah Penjara Alor Setar, Suhairi Awang, beliau dibenarkan meneruskan pengajian dari dalam penjara.
Setiap helaian tesis disiapkan dalam ruang sempit 8×15 kaki, berlampu samar, tanpa kipas dan hanya beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.
“Saya menulis dan membaca setiap hari dengan satu harapan iaitu agar keluar nanti bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu ialah kebebasan sebenar,” katanya.
Hari Viva Yang Takkan Dilupa
Pada 18 September 2024, beliau hadir ke sesi viva dengan berpakaian ungu tahanan penjara.
“Tiada tali leher, tiada uniform rasmi. Tapi saya yakin ilmu mampu membebaskan jiwa.
“Apabila pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu saya tahu, ALLAH tidak pernah meninggalkan saya,” katanya lagi.
Ibu, Sumber Kekuatan Dari Luar Penjara
Kejayaan ini tidak akan bermakna tanpa sokongan insan paling penting iaitu ibunya.
“Ibu saya berjuang dari luar penjara dengan menyediakan apa sahaja supaya saya dapat terus belajar. Hari ini, beliau paling gembira melihat saya naik ke pentas menerima ijazah,” katanya.
Dua Kemenangan Besar Dalam Hidup
Selepas dibebaskan dan berjaya menamatkan pengajian, Mohd Razin menyifatkan kejayaannya sebagai dua kemenangan terbesar dalam hidupnya.
“Saya bebas selepas mahkamah dapati saya tidak bersalah dan hari ini saya menggenggam ijazah sarjana.
“Kini saya faham, kebebasan sebenar bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM, para pensyarah, pegawai penjara serta ibunya yang tidak pernah berhenti percaya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM News
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika pemimpin dunia lain menjadi penerima pertama suntikan dos vaksin COVID-19 seawal Februari 2021, lain pula ceritanya dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Bertempat di Manurewa Marae, selatan Auckland pada hari ini, Jacinda telah menerima dos vaksin pertamanya dan berkata suntikan tersebut “tidak sakit dan lebih mudah daripada suntikan demam”.
Namun, keputusan Jacinda untuk baru menerimanya; kira-kira lima bulan selepas rakyat New Zealand mula menerima suntikan vaksin membuatkan ramai yang tertanya-tanya. Mengapa baru sekarang?
Mengapa tidak Jacinda juga menjadi individu pertama yang disuntik memandangkan beliau adalah orang kuat bagi memastikan pentadbiran negara kiwi itu berjalan lancar.
“Saya tidak pernah ingin menjadi di antara yang terawal.. tapi saya juga mahu menjadi role model (kepada rakyat yang tidak pasti jika vaksin adalah selamat). (Masa yang ditentukan ini) bagi saya adalah seimbang.
“Saya sendiri yang memilih untuk disuntik sekarang untuk memainkan peranan saya (sebagai Perdana Menteri) dan demonstrasikan bahawa (vaksin) adalah selamat, efektif dan penting untuk orang ramai mendapatkannya apabila tiba masa mereka ,” ulas iron woman itu kepada rakan media di sana.
Massive thank you to all the scientists that created the COVID-19 vaccine and the health officials who are delivering it … 🌺 pic.twitter.com/PtrOutjcHv
— NZ ChiefSciAdvisor (@ChiefSciAdvisor) June 18, 2021
Tambah Jacinda, amatlah penting untuk New Zealand memastikan kumpulan paling berisiko tinggi seperti petugas industri perubatan dan petugas di sempadan negara itu untuk mendapatkan vaksin lebih awal.
Setelah fasa itu berakhir, barula New Zealand menyusun rakyatnya yang berusia 60 tahun ke atas untuk menerima suntikan bermula Julai ini dan yang berusia 55-59 tahun akan menerimanya bermula Ogos.
Ia diikuti golongan berusia 45 – 54 tahun (pertengahan hingga hujung Ogos), 35 – 44 tahun (pertengahan hingga hujung September) dan lain-lain peringkat umur bermula Oktober 2021.
*
Baru-baru ini, kerajaan pimpinan Jacinda mengumumkan bahawa mereka telah memgesahkan stok sejuta dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk lima juta penduduknya. Pihak berkuasa bahagian perubatan negara itu buat masa ini masih belum meluluskan pemberian vaksin selain Pfizer-BioNTech kepada para penduduknya.