“Tak Perlu Panik!” Walaupun 15 Pelajar Pasir Gudang Jadi Mangsa Terbaru Gas Beracun

Share

 

Meskipun sudah ada yang menjadi mangsa, namun pihak berkuasa masih menganggap keadaan tetap terkawal buat masa ini.

 

Kira-kira jam 5 petang tadi, pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan di mana 15 orang pelajar mula mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas akibat pencemaran udara.

Kesemua mereka kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

Bercakap dengan rakan media di BERNAMA mengenai punca sebenar insiden tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya kini mensyaki ia disebabkan gas beracun.

“Simptom ini kelihatan mirip gas beracun atau gas organik yang mudah meruap seperti insiden di Sungai Kim Kim (juga di Pasir Gudang, Johor),” kata beliau.

Masih terlalu awal untuk sebarang penutupan sekolah yang terlibat. Apa yang penting sekarang bagi beliau adalah untuk melihat maklumat seperti jenis ketoksikan dan tahap pendedahan pencemaran.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebudayaan Johor iaitu YB Muhd Huzair Abu Bakar pula berkata kerajaan negeri Johor sedang terus memantau keadaan di Pasir Gudang agar berada pada tahap stabil.

Kualiti udara di sini dianggap masih baik. Masih belum ada keperluan untuk membuka bilik gerakan (seperti yang berlaku ketika kes pencemaran udara di Sungai Kim Kim awal tahun ini) kerana jumlah mangsa masih terkawal.

“Saya berharap agar penduduk di Pasir Gudang tidak  panik kerana pihak berkuasa tempatan, JAS dan BOMBA sentiasa memantau keadaan semasa udara di sini.”

Pada Mac lalu, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim telah menyebabkan penutupan 111 buah sekolah di Pasir Gudang setelah 4,000 orang didapati jatuh sakit akibat pencemaran.

IKLAN