
Alam Haikal (kiri) bersama ibunya semasa menerima keputusan STPM 2024 di SMK Machang
Kalau dah usaha, doa dan yakin, tak ada apa yang mustahil!
Begitulah kisah inspirasi yang dikongsikan oleh Alam Haikal Jansari Anuar, 20 tahun, seorang pelajar autistik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, Kelantan yang berjaya membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk cemerlang dalam pelajaran.
Baru-baru ini, Alam Haikal mencatat sejarah peribadi apabila memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 penuh dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Apa yang lebih mengagumkan, kejayaan ini turut didorong oleh amalan harian yang konsisten, iaitu solat tahajud dan membaca al-Quran.
“Saya memang sentiasa istiqamah solat tahajud setiap malam dan baca al-Quran. Itu antara usaha tambahan saya untuk capai keputusan yang baik,” katanya
Bukan setakat bergantung kepada doa dan ibadah, Alam Haikal juga sangat disiplin dalam urusan belajar. Dia membahagikan masa ulang kaji kepada dua sesi:
🕒 Sesi pertama: 3 pagi hingga 6 pagi
🕓 Sesi kedua: 4 petang hingga 7 malam
Bayangkan, bangun seawal 3 pagi untuk belajar, memang bukan perkara mudah! Tapi itulah komitmen luar biasa Alam Haikal demi mencapai impian.
“Saya fokus sepenuhnya dalam kelas dan juga waktu ulang kaji. Tak kira subjek apa pun, saya akan beri tumpuan penuh,”
jelasnya.Menurut Alam Haikal, dia sendiri tak sangka mampu meraih keputusan 4.0, apatah lagi dengan cabaran sebagai individu autistik. Tapi dia tak pernah jadikan kekurangan itu alasan untuk tidak berjaya.
Ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan pula sentiasa beri sokongan moral, jadi dia makin bersemangat untuk buktikan kemampuan diri.
“Saya nak jadi guru satu hari nanti, ubah nasib keluarga dan balas jasa mak ayah,” kata Alam Haikal penuh semangat.
Kisah Alam Haikal adalah bukti jelas bahawa kejayaan bukan milik mereka yang ‘sempurna’ sahaja, sebaliknya milik siapa saja yang gigih berusaha, tak mudah putus asa dan bergantung harap pada Allah.
Kalau korang rasa diri ada kekurangan, jangan down. Jadikan Alam Haikal sebagai inspirasi – kekurangan itu bukan halangan, tapi pemangkin untuk kita buktikan kemampuan diri.
Kejayaan itu milik semua, asalkan ada usaha dan doa yang berterusan!
BACA: Lim Ji Yeon Kekal Langsing Walau Suka Makan, Aktres Korea Ini Ada Petua Diet!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.