Dalam dunia media sosial yang sering tegang dengan isu perbezaan kaum dan budaya, satu perkongsian ringkas di TikTok tiba-tiba mencuri perhatian ramai bukan kerana kontroversi, tetapi kerana keikhlasan.
Seorang ibu berbangsa Cina yang dikenali sebagai Zhu Er Chan, atau lebih dikenali di TikTok sebagai @joeychan427, berkongsi kisah bagaimana beliau menghantar anaknya yang berusia dua tahun setengah, KangKang, ke sebuah Tadika PASTI di Chaah, Johor.
Bukan untuk sensasi. Bukan juga untuk membuktikan apa-apa. Sekadar pilihan hidup yang praktikal, namun akhirnya menyentuh hati ramai.
Menurut Zhu Er Chan, keputusan tersebut dibuat secara spontan dan berasaskan keperluan semasa. Pada November tahun lalu, beliau pulang dari Perak ke kampung halamannya di Chaah, Johor atas urusan rumah dan keluarga.
Tempoh menetap di sana dijangka sekitar tiga bulan. Dalam tempoh itu, sebagai seorang ibu, beliau tidak mahu anaknya hanya menghabiskan masa di rumah tanpa pendedahan awal kepada pembelajaran dan interaksi sosial.
Justeru, pencarian tadika sementara pun bermula. Setelah melihat beberapa pilihan, beliau tertarik dengan suasana sebuah Tadika PASTI yang terletak berhampiran.
Dikecam, Tetapi Tidak Goyah
Perkongsian Zhu Er Chan di TikTok mendapat pelbagai reaksi. Ramai yang memuji sikap terbuka beliau, namun tidak kurang juga yang melontarkan komen negatif.
Antara persoalan yang timbul ialah mengapa seorang ibu Cina memilih untuk menghantar anak ke sekolah agama Melayu. Ada yang menganggap keputusan itu tidak sesuai, malah ada yang menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka.
Namun, bagi Zhu Er Chan, perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan. Beliau melihatnya sebagai pengalaman pembelajaran, bukan isu perkauman atau agama.
Pengalaman hidupnya sendiri banyak membentuk cara beliau berfikir. Ketika melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam di Chaah suatu ketika dahulu, beliau merupakan satu-satunya pelajar Cina dalam kelas.
“Bagi saya, belajar budaya lain adalah satu perkara yang baik. Kita jadi lebih faham dan lebih bertolak ansur,” jelasnya.

Tiga Bulan Yang Bermakna
Walaupun KangKang hanya mengikuti sesi pembelajaran di Tadika PASTI selama kira-kira tiga bulan, perubahan positif jelas dapat dilihat.
Anak kecil itu bukan sahaja kelihatan selesa dengan persekitaran baharu, malah menunjukkan perkembangan dari segi bahasa dan keyakinan diri.
Dalam tempoh singkat tersebut, KangKang sudah mula menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu seperti “ibu”, “duduk”, dan nombor “satu, dua, tiga”. Kadangkala, dia juga menyanyi lagu kanak-kanak Melayu yang dipelajari di sekolah.
Lebih daripada itu, perkara yang paling menggembirakan hati seorang ibu ialah melihat anaknya ceria setiap kali ke tadika.
“Saya tengok dia happy sangat dekat sana,” katanya ringkas, tetapi penuh makna.
Sebuah Kenangan Yang Akan Dirindukan

Menjelang Februari, Zhu Er Chan perlu kembali semula ke Perak. Sambutan Tahun Baru Cina akan diraikan di sana, dan sekitar Mac beliau juga akan kembali bekerja sepenuh masa sebagai seorang guru.
Walaupun tempoh tersebut singkat, Tadika PASTI di Chaah akan kekal sebagai tadika pertama dalam hidup KangKang satu kenangan awal yang sukar dilupakan.
Anda mungkin berminat dengan
Beliau turut berkongsi hasrat untuk membawa KangKang kembali melawat cikgu-cikgu serta rakan tadikanya jika berkesempatan pulang ke Johor suatu hari nanti.
Di sebalik kisah sederhana ini, ramai melihatnya sebagai satu peringatan bahawa perpaduan tidak semestinya lahir daripada slogan atau kempen besar.
Ia sering bermula daripada tindakan kecil yang ikhlas seorang ibu yang membuat pilihan terbaik untuk anaknya, seorang anak yang belajar mengenal dunia, dan sebuah tadika di kampung kecil yang membuka ruang kefahaman.
Dari situ, benih saling menghormati dan memahami mula tumbuh, tanpa perlu dipaksa atau diperdebatkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Terbaru, masalah jerebu yang melanda negara dijangka berlarutan hingga awal tahun depan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berterusan, selain peningkatan risiko pembakaran terbuka di beberapa kawasan. Situasi itu dijangka menjadi lebih mencabar sekiranya keadaan cuaca kering berpanjangan tanpa menerima taburan hujan yang mencukupi.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, fenomena El Nino yang sedang berlaku turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut, dengan fenomena berkenaan dijangka mencapai tahap lebih kuat pada penghujung tahun ini dan berpotensi berterusan sehingga awal 2027.
“Negara sedang berhadapan dengan El Nino kuat dan berpotensi mencapai tahap ‘Super’ (sangat kuat) bermula Oktober hingga Januari 2027,” katanya.

“Keadaan kering berpanjangan akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terbuka, terutama di kawasan mudah terbakar, sekaligus berpotensi memburukkan keadaan jerebu,” jelasnya lagi.
Menurut Datuk Seri Arthur, keadaan jerebu kali ini berpotensi mengambil tempoh lebih panjang untuk pulih berbanding situasi sebelum ini yang lazimnya berlaku sekitar satu hingga dua bulan. Cuaca yang semakin panas tanpa hujan yang mencukupi juga boleh menyebabkan keadaan sedia ada menjadi lebih buruk.
Dalam perkembangan sama, Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyumbang kepada pencemaran jerebu, khususnya di Kalimantan yang dilaporkan mempunyai lebih 1,400 titik panas. Bantuan yang ditawarkan termasuk operasi pemadaman kebakaran dari udara menggunakan helikopter, pesawat amfibi serta pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA).

Difahamkan, tawaran tersebut dibuat menerusi surat yang dikemukakan kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia pada 9 September lalu sebelum mendapat persetujuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Bentuk bantuan akan diselaraskan bersama pihak Indonesia mengikut keperluan di lapangan, dengan penglibatan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, NADMA, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, MET Malaysia dan TUDM.
Pada masa yang sama, usaha menangani isu jerebu dan cuaca kering turut diperkukuhkan menerusi kerjasama serantau. Malaysia sebelum ini membawa perkara berkenaan ke peringkat ASEAN dengan menggesa negara anggota meningkatkan langkah pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko kebakaran serta pencemaran jerebu merentas sempadan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam tragedi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tampil menafikan dakwaan tular di media sosial, sambil mendedahkan bahawa anaknya sebenarnya ditikam kira-kira 200 kali, bukan 50 seperti yang disebarkan sebelum ini.

Wong Lee Ping berkata, maklumat itu diperoleh daripada laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan beliau amat kecewa dengan pelbagai berita tidak sahih yang berlegar di media sosial sejak tragedi itu berlaku.
“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru,” katanya ketika sidang media di Nirvana Center Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Jeritan Terakhir Dalam Tandas Sekolah
Menurut laporan siasatan polis, suspek yang merupakan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada dalam bilik tandas berkunci.
“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya dengan nada sebak.
Tragedi ini berlaku sekitar jam 9.30 pagi Selasa lalu, dan telah menggoncang perasaan ramai ibu bapa serta masyarakat, yang kini menuntut penjelasan lebih menyeluruh mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah.

Ibu Minta Henti Sebar Fitnah & Berita Palsu
Dalam sidang media sama, Lee Ping menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenali suspek, dan menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian rogol atau hubungan antara keduanya.
“Anak saya telah menjadi mangsa. Saya harap orang ramai hentikan penyebaran berita tidak benar di media sosial. Anak saya tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan suspek,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai penipuan kod QR palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengutip derma atas nama keluarganya.

“Kalau ada yang ingin menderma, sila datang sendiri ke Nirvana Center. Jangan percaya pada kod QR yang berlegar di media sosial,” tegasnya.
Mangsa Dikenali Sebagai Pelajar Aktif & Berdisiplin
Menurut ibu mangsa, anak bongsunya itu seorang pelajar yang cerdik, aktif dan berdisiplin tinggi.
“Dia aktif dalam bola tampar dan badminton. Dua hari sebelum kejadian, dia baru menang tempat kedua dalam kejohanan badminton di Kuala Lumpur,” katanya sambil menahan sebak.
Rakan-rakan dan guru di sekolah turut menggambarkan mangsa sebagai seorang pelajar yang periang, ringan tulang dan disenangi ramai.
Polis Sahkan Tikaman Di Dada & Leher Jadi Punca Kematian
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, sebelum ini mengesahkan bahawa hasil bedah siasat di PPUM mendapati tikaman pada dada dan leher menjadi punca utama kematian pelajar terbabit.
Bedah siasat selesai pada jam 10.30 malam Rabu, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif sebenar kejadian.
Tragedi Yang Wajar Jadi Amaran
Kes tragik ini membuka mata ramai pihak tentang isu keselamatan sekolah, kesihatan mental remaja, dan empati sosial dalam kalangan pelajar.
Pakar psikologi menyarankan agar pihak sekolah dan ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar, terutama yang menunjukkan tanda tekanan atau kemarahan ekstrem.
“Cukuplah Anak Saya Jadi Mangsa”
Mengakhiri sidang media, Lee Ping menyeru agar tragedi seperti ini tidak berulang dan dijadikan pengajaran untuk semua pihak.
“Cukuplah anak saya jadi mangsa. Jangan biarkan perkara ini terjadi lagi kepada anak orang lain,” katanya perlahan.
Remaja, Tolong Jaga Diri & Cari Bantuan Jika Perlu
Majalah Remaja menyeru semua pelajar dan remaja yang sedang berdepan tekanan emosi, marah atau perasaan tertekan supaya tidak memendam rasa sendirian.
Bantuan profesional tersedia melalui talian berikut:
- Talian HEAL KKM: 15555
- Befrienders KL: 03-7627 2929 (24 jam, percuma dan rahsia)
Sumber : Sinar Harian
∞
Detik menyayat hati dilalui seorang bapa apabila tanpa disedari, dia melihat sendiri jasad anak perempuannya yang maut dalam satu kemalangan jalan raya.
Menerusi laporan media tempatan, Mazli Yusoh, 51, melalui pengalaman paling perit dalam hidupnya apabila ternampak satu jasad yang dipayungi di atas jalan raya, tanpa mengetahui bahawa mangsa itu adalah anak kandungnya sendiri.

Anak perempuannya, Syakirah Hanan, 25, disahkan maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam.
Menurut Mazli, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan ke Kuala Berang bagi menyelesaikan urusan peribadi dan kebetulan melalui lokasi kemalangan berkenaan. Ketika itu, dia melihat satu jasad di atas jalan raya, namun langsung tidak terlintas di fikirannya bahawa mangsa adalah anaknya sendiri.
Segala persoalan terjawab apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai JPJ yang memaklumkan sebuah kenderaan yang didaftarkan atas namanya terlibat dalam kemalangan maut.

Ketika panggilan diterima, Mazli berkata dia sudah berada di Kampung Tapu, Kuala Berang sebelum berpatah balik dengan segera ke lokasi kejadian.
Berkongsi lanjut ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut itu memaklumkan arwah merupakan anak kedua daripada tujuh beradik.
Difahamkan, arwah dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi menguruskan hal berkaitan latihan mengajar yang dijadualkan bermula Mac depan. Arwah juga ada menghubungi bapanya pada malam sebelum kejadian dan memaklumkan hasrat untuk ke Perpustakaan Awam Negeri sebelum ke JPNT.
Pada pagi kejadian, Mazli berkata dia kebetulan mempunyai urusan di Kuala Terengganu dan sempat singgah di rumah di Kampung Kuala Bekah, tempat arwah menetap ketika ini, sekali gus menjadi pertemuan terakhir mereka.
Mazli yang menetap di Jertih, Besut mengakui meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, kehilangan anak yang sangat rapat dengannya itu amat sukar diterima. Menurutnya, arwah sering berkongsi segala urusan berkaitan pengajian dan kehidupan seharian serta dikenali sebagai seorang yang manja dan mudah meluahkan perasaan kepada bapanya.

Walaupun berdepan kesedihan yang mendalam, Mazli berkata dia reda menerima takdir yang telah ditetapkan dan percaya pemergian anaknya dalam kemalangan tersebut tergolong sebagai mati syahid.
Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa terkilan apabila cita-cita arwah untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai seorang pendidik tidak kesampaian.
Untuk rekod, arwah sebelum ini menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir pada tahun lalu sebelum menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada April lepas, selain menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pendidikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online
∞