
Bintang K-Pop terkenal, Suga BTS baru-baru ini mencuri perhatian peminat apabila sempat menyentuh mengenai bulan Ramadan ketika mengadakan siaran langsung sempena sambutan hari jadinya. Momen ringkas itu segera menjadi perbualan dalam kalangan ARMY yang menghargai keprihatinannya terhadap mereka yang sedang menjalani ibadah puasa.
Menerusi sebuah siaran langsung di Weverse, Suga atau pemilik nama sebenar Min Yoongi (33) muncul secara santai untuk berinteraksi dengan peminat yang menyertai sesi tersebut. Penyanyi rap itu dilihat meluangkan masa berbual mengenai pelbagai perkara termasuk persiapan semasa, jadual latihan yang padat serta beberapa projek akan datang.
Pada masa yang sama, Suga turut menyedari terdapat komen daripada peminat yang menyebut tentang Ramadan. Dengan nada santai dan ingin tahu, beliau berkata,
“Ada yang sedang menyambut Ramadan dan berpuasa. Setahu saya, ketika Ramadan kamu boleh makan selepas matahari terbenam, betul tak? Saya juga makan pertama kali selepas matahari terbenam,” katanya
Walaupun hanya seketika, kenyataan tersebut terus tular dan mendapat perhatian ramai peminat terutama dalam kalangan ARMY beragama Islam. Ramai yang berasa dihargai apabila idola mereka mengambil maklum mengenai bulan suci yang disambut oleh jutaan peminat di seluruh dunia.
BACA: SUGA BTS Sentuh Hati Masyarakat, Sumbang 5 Bilion Won Bina Pusat Rawatan Autisme Di Seoul
Seperti diketahui umum, BTS memiliki pengaruh global yang sangat besar dengan komuniti peminat yang luas termasuk di Timur Tengah, Asia Tenggara serta beberapa negara Asia Selatan di mana Ramadan disambut secara meluas setiap tahun.
Sementara itu, di media sosial, peminat turut berkongsi reaksi mereka terhadap momen tersebut dengan nada berseloroh. Malah ada yang bergurau mengatakan Suga seolah-olah ‘berpuasa’ bersama mereka, manakala segelintir peminat secara jenaka memanggilnya sebagai ‘Brother Yoongi’ kerana sikap umat Islam yang sinonim menghargai hubungan persaudaraan sesama muslim.
Dalam perkembangan terkini, BTS bakal melancarkan album terbaru berjudul ‘Arirang’ pada 20 Mac ini sebelum memulakan konsert jelajah dunia bermula April depan. Kumpulan sensasi K-Pop itu juga dijangka bakal memeriahkan pentas di Kuala Lumpur pada 12 dan 13 Disember ini sebagai sebahagian daripada siri jelajah berkenaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.