Sudah Niat Lukis Mural Agong Kerana Berjiwa Rakyat, Pelukis Frontliners Fikir Positif

Share

 

Bukan mudah ya untuk kita melukis potret wajah seseorang di atas kertas. Inikan lagi melukis mural pada dinding setinggi 10 kaki.

Namun apakah daya, lukisan mural di Taman Cahaya U12, Shah Alam terpaksa dipadam semula setelah insiden vandalisme dicetuskan oleh 2 orang wanita yang kini sedang dikenal pasti.

Pertembungan REMAJA bersama 3 orang pelukis mural frontliners semalam memberi kesempatan untuk mereka menjelaskan betapa sukarnya proses yang perlu mereka tempuhi untuk menyiapkan projek tersebut.

“Idea untuk melukis mural frontliners ini tercetus apabila kami melihat keperibadian (Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan) Agong. Bagaimana baginda begitu rendah diri dan prihatin terhadap rakyat… sempoi

. Di situlah terdetik niat untuk melukis mural wajah Baginda.

Sumber foto: STAR

“Saya mulakan dengan lukisan digital dahulu sebelum dipindahkan ke dinding mural. Wajah Baginda dimulakan sebelum musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala wajah Dr. Noor Hisham sewaktu musim PKPB,” kata Suhaimi yang sudi ditemuramah oleh REMAJA selepas MBSA menyiapkan kerja mengecat semula dinding.

REMAJA tertanya juga berapa lama masa yang diambil oleh Suhaimi, Firdaus dan Hadi dalam pembikinan dinding mural frontliners ini.

Sumber Foto: Metro

“Masa yang diambil untuk lukisan mural bergantung kepada saiz dinding, design dan ketinggian.

“Lebih tinggi lukisan itu, lebih lama masa yang diambil kerana pergerakan kami terbatas akibat keselamatan diri,” jelasnya.

Rasa Terkilan Tentu Ada

“Perasaan itu tentulah terkilan kerana hasil seni kita diperlakukan seperti ini. Apa yang kita buat untuk masyarakat di sini. Orang luar pun datang dari jauh untuk bergambar.

“Kami bertiga gembira bila orang datang dari jauh untuk bergambar dan melihat mural ini. Kita rasa seperti bakat kita dihargai. Kalau kami tak lakukannya (melukis mural), mungkin kami juga tidak berpeluang untuk bertemu dengan Agong . Ia adalah salah satu pencapaian tinggi kami dalam hidup.

Tambah rakan pelukis Firdaus, “Dengan adanya mural ini juga, perniagaan dan kedai-kedai di sini juga dapat kami bantu apabila ramai yang berkunjung. Kawasan ini agak ke dalam sedikit, jadi sedikit sebanyak kami gembira apabila ia menarik perhatian pengunjung dan membangunkan kawasan ini.”

Tambah mereka, perasaan positif masih ada dalam diri mereka untuk meneruskan projek-projek lukisan mural seterusnya di kawasan lain. Apabila ditanya sama ada mereka akan melukis semula di kawasan U12, mereka beranggapan lebih baik sekiranya niat itu ditangguhkan kerana gentar jika ia akan mengalami nasib yang sama dengan lukisan frontliners sebelum ini.

Baca artikel lanjut kami dengan Suhaimi, Firdaus dan Hadi di sini.

 

 

IKLAN