
Selepas menerima Anugerah Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencipta sejarah apabila dianugerahkan Felo Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (FeMPPM).
Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Siti Nurhaliza menerusi satu hantaran di media sosial, yang meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.
Menurut penyanyi tersohor itu, anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan besar dan menjadi suntikan semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat, industri serta negara.

Anggap Pengiktirafan Sebagai Amanah
Menerusi perkongsiannya, Siti Nurhaliza menzahirkan penghargaan kepada Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) atas penganugerahan yang diterimanya.
“Alhamdulillah, segalanya dengan izin dan limpah kurnia Allah SWT.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) atas penganugerahan Felo MPPM (FeMPPM) ini.
Pengiktirafan ini amat bermakna buat saya dan akan terus menjadi pembakar semangat untuk saya memberikan yang terbaik kepada masyarakat, industri dan negara.”
Perkongsian tersebut turut menerima ucapan tahniah daripada peminat serta rakan selebriti yang menyifatkan Siti Nurhaliza sememangnya layak menerima pengiktirafan berprestij itu.
View this post on Instagram
Terus Diiktiraf Atas Sumbangan Dalam Pelbagai Bidang
Sebelum ini, Siti Nurhaliza turut menerima Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University, sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya dalam industri seni, pembangunan kreatif serta pengaruh positif yang dibawa sepanjang lebih dua dekad dalam dunia hiburan.
Penganugerahan Felo MPPM ini sekali lagi membuktikan bahawa pengaruh Siti Nurhaliza bukan sahaja diiktiraf dalam bidang seni, malah turut dihargai atas sumbangan dan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat serta dunia keusahawanan di Malaysia.
Tahniah TokTi! Terus menjadi inspirasi buat ramai menerusi dedikasi, kerja keras dan jasa yang dicurahkan kepada industri serta negara.
Sumber: Instagram Siti Nurhaliza
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











