Perasaan gemuruh yang dirasai ketika memasuki gelanggang pantas ditepis oleh gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam bagi meraih pingat gangsa di Kejohanan Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan sekaligus menjadi gimnas Malaysia pertama untuk melakar kejayaan itu dalam sejarah.
Sharul, 22 beraksi cemerlang dalam acara melombol dengan mengutip 14.466 mata di belakang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet Uzbekistan, Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata).
Malangnya, pencapaian ini belum cukup untuk mengesahkan kelayakan Sharul ke Sukan Olimpik 2024 di Paris memandangkan Sharul sekadar mengambil bahagian dalam satu acara sedangkan slot ke Olimpik hanya diberikan kepada juara acara all-around.
Ketika ditemui rakan pemberita BERNAMA di sana, Sharul kongsikan bagaimana dia cuba bangkit daripada perasaan putus asa yang dialaminya ketika tiba di sana apabila terjatuh tiga ke empat kali ketika sesi latihan.
Ads
Ditambah pula dengan kehadiran gimnas, Carlos Yulo yang juga merupakan juara bertahan Sukan SEA, Sharul bergelut dengan permainan psikologi dan tekanan fizikal akibat kecederaan di bahagian pergelangan kaki.
“Saya dapatkan rawatan dari fisioterapi dekat sini untuk kaki saya yang cedera bagi menaikkan semangat saya semula.
“10 minit sebelum bermula, saya cuba tenangkan diri. Saya gembira, akhirnya saya berjaya cipta sejarah lagi di peringkat Asia untuk MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia).
Ads
“Mungkin tahun depan, saya nak tukar pingat gangsa ini kepada perak atau emas dan kemudian, terus kekal (dengan pencapaian cemerlang) untuk tahun seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden MGF, Francis Loh Soong Park berkata persatuan akan fokus untuk membantu Sharul cemerlang dalam acara all-around bagi meningkatkan peluangnya bertanding di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan lain, seorang lagi atlet remaja kebangsaan, S. Sivasangari turut cemerlang pada minggu ini setelah berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 pemain squasy wanita profesional terbaik dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bukan mudah untuk seseorang artis seni visual muda mendapat peluang mempamerkan kreativiti serta skilnya menerusi pameran solo di galeri tempatan; apatah lagi untuk memperolehi peluang berbuat sedemikian di galeri antarabangsa.
Berdiri di atas bakat sendiri dan dek minat yang mendalam dalam dunia seni visual, gadis keturunan Malaysia yang dikenali sebagai Azzah Sultan baru-baru ini telah dihidangkan peluang untuk mengetengahkan karya seninya di Galeri Trotter & Sholer, New York menerusi pameran solo keduanya.
Bercakap kepada REMAJA sewaktu dihubungi baru-baru ini, Azzah menggambarkan peluang ini telah lama didambakannya sejak minat terhadap dunia artistik berputik pada usia kanak-kanak.
Azzah dibesarkan dalam persekitaran berbeza; dilahirkan di Abu Dhabi dan kemudiannya dibesarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Finland, Bahrain sebelum akhirnya berkelana di Amerika Syarikat. Boleh dikatakan sepanjang kehidupannya dihabiskan dengan peluang merantau. Enggan melupakan jati diri, Azzah sebaliknya lebih menghargai budaya serta tradisi yang dimilikinya sebagai seorang yang berjiwa Malaysia.
“Saya berpindah ke New York pada usia 16 tahun sebagai penuntut jurusan Seni Halus di Parsons. Dari situ saya mengembangkan potensi saya sebagai seorang artis seni visual hingga menamatkan pengajian Sarjana dalam jurusan Seni Halus di Washington State University pada tahun 2020.
“Saya kemudiannya kembali ke kota New York dan di sinilah saya berpeluang mengadakan pameran solo pertama saya bersama galeri Trotter and Sholler sewaktu pandemik melanda. Pada waktu sama, saya tidak berhenti daripada mengambil tugas sebagai seorang guru seni dan turut meneruskan residensi bersama Pioneer Works,” kongsinya sewaktu dihubungi.
Azzah menggambarkan keputusannya untuk berkecimpung dalam dunia seni visual ini tidak selalunya indah. Sekiranya di Malaysia, bidang seni halus kadangkala diperlekehkan sebagai bidang ‘tiada kepentingan’, situasi sama tidak jauh berbeza di New York.
Selalunya, remaja hilang segala keyakinan diri untuk memilih seni sebagai cabang kerjaya memandangkan banyak kata-kata negatif di sekeliling yang berbisik jalan yang dipilih ini tidak mungkin dapat menjamin kehidupan yang selesa.
Namun jika korang rajin mencari peluang dan bijak mengatur langkah sebagai seorang artis seni visual, dalam diam rupanya ada banyak dana serta sumber di luar sana yang boleh membantu seseorang mengejar impiannya.
Contoh paling jelas yang dapat REMAJA kongsikan adalah bagaimana Azzah berjaya muncul dengan pameran seni solo keduanya berjudul Batu Belah, Batu Bertangkup sejak 20 Januari lalu.
“Kisah dongeng Batu Belah, Batu Bertangkup adalah antara kisah yang selalu saya dengari ketika kanak-kanak. Dalam kisah sebegini, perhubungan di antara ibu dan anak perempuan sering digambarkan sebagai bermasalah dan tragis. Ibu pula selalu dilabel sebagai watak jahat.
“Namun menerusi pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini, saya telah singkapkan lapisan yang lebih kompleks dalam konteks figura seorang ibu. Ibu di sini saya gambarkan sebagai seorang insan yang terpaksa melalui kepayahan dan trauma yang dirasainya selama ini terserlah menerusi tingkah lakunya.”
“Mak, don’t talk like that” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
“Saya ingin pemerhati merasai betapa terusiknya emosi sang ibu yang bertanggungjawab ke atas anak perempuannya. Permulaan pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini seakan diceritakan dari sudut pandang seorang ibu. Barulah kemudiannya saya mengubah kepada perspektif sang anak pula pada bahagian kedua pameran.
“Pada lukisan terakhir saya yang berjudul Not My Burden To Bear, anak perempuan tadi tersedar bahawa dia tidak berdiri di bawah bayang-bayang ibunya tetapi dia ialah insan yang boleh membuat keputusan sendiri. Dari situlah baru si dia dapat melupakan tragedi lampau dan ‘move on’,” jelas Azzah.
“Don’t forget what I’ve told you” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric and found pearls. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
Bagi Azzah, pemilihan kisah dongeng Melayu sebagai inspirasi utamanya adalah demi membuatkan gadis muda mudah memahaminya.
Mana-mana anak gadis di luar sana mempunyai figura ibu dalam hidup mereka. Azzah enggan lagi membiarkan naratif negatif yang sama setiap kali perhubungan antara ibu dan anak perempuannya dijadikan sebagai inspirasi.
Sebaliknya, menerusi Batu Belah, Batu Bertangkup; Azzah inginkan pemerhati wanitanya merasai betapa hebatnya diri mereka sebagai seorang individu. Si anak bukanlah 100 peratus bayangan siapa gerangan ibunya. Masing-masing ialah insan berbeza. Jika seseorang itu berjaya, ia adalah hasil usahanya. Jika seseorang itu bersalah, ia adalah tanggungjawab yang harus dipikulnya dan bukannya meletakkan kesalahan itu ke atas ibunya.
“Kisah Batu Belah, Batu Bertangkup semakin dilupakan oleh generasi baharu. Oleh itu, ini adalah cara saya untuk mengembalikannya menerusi konteks yang lebih moden dan segar,” simpul Azzah.
Situasi ‘full house’ sewaktu malam pelancaran pameran ini pada 20 Januari 2022. Foto : Instagram @sitisultan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Di saat pasukan Malaysia yang berbilang sukan mewakili negara kini berada di Birmingham, United Kingdom (UK) sempena temasya Sukan Komanwel 2022, lain pula ceritanya dengan pasukan gimnastik berirama atau gimrama Malaysia.
Amat malang bagi atlet gimrama yang bertanding pada edisi kali setelah dua orang jurulatih pasukan yang berasal dari Rusia sedang berdepan isu sekatan kemasukan yang dikenakan oleh kerajaan UK ke atas warga Rusia disebabkan konflik Rusia-Ukraine.
Kongsi Afrita Ariany Nasril yang merupakan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), para atlet yang sudahpun berada di Birmingham tidak mempunyai pilihan, selain melakukan latihan menerusi interaksi secara dalam talian (online) bersama jurulatih mereka yang tersekat di Malaysia sekarang.
Latihan dilakukan secara dalam talian menerusi aplikasi ‘Zoom’. Foto : Ihsan Afrita Ariany Nasril
Kata Afrita kepada BERNAMA, dua jurulatih yang tidak didedahkan namanya itu sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini disamping terus memberikan sokongan kepada para gimnas di sana menerusi perhubungan ‘Zoom’.
Manakala Afrita dan jurulatih tempatan, Chrystal Lim Win Chean telahpun berada di Birmingham bagi membantu melancarkan sesi latihan tersebut.
Afrita (kiri) dan Chrystal sebelum berlepas ke Birmingham, United Kingdom. Foto : Instagram
Latihan dalam talian ini dilakukan secara serentak selama lima jam pada setiap hari sebelum acara dilangsungkan bermula 4 Ogos ini di Arena Birmingham.
Terdahulu, media melaporkan bahawa dua jurulatih Rusia tersebut mungkin akan berdepan masalah visa seperti yang diberitahu oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Biarpun berdepan kekangan ini, para gimnas yang terdiri daripada Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan serta pasukan gimnastik berirama Malaysia ingin terus memberi tumpuan mencapai misi mereka untuk memperolehi satu pingat emas bagi edisi kali ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Nur Syafiqah Husna Zainul Arshad, membuktikan bahawa dengan tekad, usaha dan cabaran hidup tidak menghalang untuk meraih kejayaan.
Graduan berusia 25 tahun ini baru sahaja menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-24, selepas menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dengan Kepujian.
Walaupun bekerja sebagai pembantu jualan sambilan sepanjang pengajiannya, Nur Syafiqah Husna berjaya mengimbangi antara pekerjaan, pelajaran, dan kehidupan seharian.
Katanya, prinsip utama dalam hidupnya adalah untuk tidak membebankan ibu bapa, yang sudah bersara, dengan kos pengajian dan perbelanjaan hidupnya.
“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), keadaan ekonomi keluarga agak tidak menentu, jadi saya mengambil keputusan untuk mencari duit sendiri.
“Ibu bapa saya sudah bersara, dan saya tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.
Walaupun ramai yang bertanya bagaimana cara dia dapat mengimbangi masa antara belajar dan bekerja, Nur Syafiqah Husna menjelaskan bahawa pengurusan masa yang baik adalah kunci kejayaan.
“Saya tumpukan perhatian sepenuhnya dalam kelas dan mengulang kaji pada waktu malam,” tambahnya.
Selain akademik dan pekerjaan sambilan, beliau juga aktif dalam aktiviti kokurikulum, terutamanya dalam program kesukarelawanan. Nur Syafiqah memegang jawatan setiausaha pada Majlis Anak Negeri Pulau Pinang, yang memberinya pengalaman dalam kepimpinan dan kerja berpasukan.
Sumber: Portal UTHM
Kini, selepas tamat pengajian di peringkat sarjana muda, dia merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di UTHM, menyasarkan untuk terus menimba ilmu dan memperbaiki diri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Khairul Aming Ramadan sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup merakam video 30 hari 30 resipi selama hampir 14 jam walaupun sibuk mengurus restoran Rembayung.