Foto: Berita Harian

Tanggungjawab yang disandang oleh seorang guru amat besar dalam masyarakat kerana mereka menjadi ‘ibu bapa kedua’ para pelajar ketika di sekolah.

Selain daripada mencurahkan ilmu, guru juga sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada para pelajar mereka.

Inilah yang telah dilakukan oleh seorang Guru Cemerlang Kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh yang telah meraih anugerah antarabangsa, baru-baru ini.

Cikgu V.Komathy sudah berkhidmat sebagai seorang guru selama 14 tahun dengan cemerlang. Atas sebab itu, beliau telah menerima pengiktirafan The Global Teacher Award 2021 dalam sebuah majlis yang dianjurkan secara maya menerusi Facebook dan saluran YouTube rasmi AKS Education Awards.

IKLAN

Ketika ditemui oleh media tempatan, Cikgu Komathy menjelaskan bahawa dia masih tidak  percaya dirinya terpilih daripada 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari seluruh dunia. Daripada jumlah itu, 500 orang telah disenarai pendek termasuklah enam calon guru warganegara Malaysia.

Guru Kimia Raih Anugerah Antarabangsa, Menang The Global Teacher Award 2021
Foto: Harian Metro

Cikgu Komathy telah menghasilkan beberapa produk inovasi untuk mencungkil minat pelajar terhadap subjek Kimia hingga dikenali di peringkat antarabangsa.

IKLAN

Antara produk inovasi yang dihasilkan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk pembelajaran dan pemudahan (PdPC) Kimia berbentuk kad permainan sebagai modul bimbingan. Ia direka khas bagi meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap penulisan formula molekul, struktur, penamaan bagi sebatian alkana, alkena, alkuna, alcohol, asid karboksilik serta ester.

Beliau turut mencipta satu produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah iaitu Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable Environment. Produk ini pula bertujuan mengembangkan karbon aktif biomas daripada tiga sisa pertanian iaitu serabut tebu, sekam kelapa dan kulit pisang untuk menghilangkan pewarna beracun daripada air tercemar.

IKLAN

“Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan. Oleh itu, saya perlu mendidik dengan cara menghiburkan agar menarik minat pelajar untuk tidak mudah putus asa ketika mempelajari subjek ini,” katanya.

Tahniah kami ucapkan kepada Cikgu Komathy atas kejayaannya ini dan semoga segala usaha dan ilmu yang dicurahkan memberi manfaat kepada anak Malaysia.

Sumber: (1)

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI