Selipar Kylie Jenner Bernilai RM307 Ribu. Apakah Keistimewaan Rekaan Ini?

Share

Adakah kehebatan sesebuah jenama fesyen terletak kepada tanda harga yang mahal? Ataupun ketelitian dan keremehan dalam menghasilkan sesebuah rekaan? Hirarki di dalam dunia fesyen berubah-rubah mengikut musim dan juga bergantung kepada demografi pemakainya. Sebagai contoh dalam laporan Independent, jenama Louis Vuitton kini dilihat sebagai sebuah jenama untuk setiausaha oleh golongan kaya China kerana jenama tersebut terlalu senang untuk diperolehi dan boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Terbaru dalam hantaran di Instagram, mogul dunia kecantikan dan fesyen, Kylie Jenner, 23, telah memperlihatkan sebuah rekaan selipar rona hitam berkulit tekstur kerikil dari MSCHF yang dianggarkan bernilai USD76 ribu ataupun RM307 ribu. Mahalkan? Rekaan selipar itu mengikut paten selipar Birkenstock dan yang menjadikannya unik adalah bahan yang digunakan menghasilkan rekaan itu.

Selipar yang berharga seperti sebuah rumah di Malaysia. Sumber gambar: Instagram Kylie Jenner

Menurut pereka jenama itu, bahan yang digunakan untuk membuat selipar itu merupakan dari beg Hermes yang diolah semula. Seperti yang kita tahu, Hermes merupakan antara beg tangan paling mahal di dunia dan untuk mendapatkannya bukan mudah. Bahkan ada yang perlu menunggu giliran.

 Selipar koleksi terhad itu boleh dibeli melalui tempahan khas dan harga berada dalam lingkungan USD34 ribu sehingga USD76 ribu. Ia didatangkan dengan kotak berwarna jingga menyerupai kotak ikonik Hermes. Selain Kylie, khabarnya rapper, Future dan juga penyanyi, Kehlani turut memiliki selipar tersebut. Macam-macam gelagar dunia fesyen bukan? Kadang-kadang kedengaran tidak masuk akal tetapi itulah hakikatnya. Jenama mewakili prestij sesebuah rekaan.

IKLAN