
Hari demi hari semakin banyak kita mendengar berita tentang penutupan operasi cawangan kedai-kedai terbesar di Malaysia akibat pandemik COVID-19.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, masyarakat dunia berhadapan dengan krisis ekonomi, dimana rata-ratanya melalui detik sukar seperti terpaksa diberhentikan kerja, pemotongan gaji atau menanggung kerugian perniagaan.
Sektor-sektor besar seperti pelancongan antara yang terjejas teruk dan menyebabkan banyak syarikat perhotelan gulung tikar. Begitu juga dengan cawangan perniagaan yang beroperasi di pusat membeli-belah, ada diantaranya sudah tidak mampu menanggung kerugian dan terpaksa ditutup.
Terbaharu, F.O.S Mid Valley juga dikatakan bakal menghentikan operasi setelah 22 tahun melayani pelanggan mereka di pusat membeli-belah itu.

Menurut perkongsian daripada laman Facebook rasmi F.O.S, penutupan cawangan ini adalah disebabkan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada ekonomi Malaysia dan memaksa mereka untuk membuat keputusan yang sukar.

F.O.S juga berterima kasih kepada semua pelanggan mereka yang selama ini menyokong dan memberikan kepercayaan kepada jenama besar itu.
Walau bagaimanapun, pelanggan masih lagi boleh mengunjungi cawangan F.O.S yang lain seperti di Berjaya Times Square, i-City Shah Alam, Dataran Pahlawan Melaka Mall, East Coast Mall dan banyak lagi.
Boleh semak disini: http://fos.com.my/stores

Pastinya pihak F.O.S sendiri berat hati untuk membuat keputusan ini, namun mungkin ini yang terbaik buat seluruh warga kerja mereka.
Apa-apa pun sama-sama kita doakan agar pekerja di F.O.S cawangan Mid Valley terus kuat menghadapi dugaan ini dan diberikan rezeki yang lebih baik.
Sumber: (1)
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kucing Cakar & Gigit Sampai Berlubang Punca Lelaki Gantung Kucing Sampai Mati

Allah bayar cash! Mungkin inilah perkataan paling tepat buat seorang lelaki apabila perbuatan zalimnya menggantung seekor kucing hingga mati akhirnya berbalas. Namun kisahnya juga patut dijadikan pengajaran buat orang lain agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
Tentu ramai yang masih ingat dan marah dengan tindakan melampau seorang lelaki yang menggantung seekor kucing hingga mati pada hari raya lalu.
Laporan Harian Metro memaklumkan, perbuatan kejam lelaki menjerut kucing jantan bernama Jebon hingga mati, lima hari lalu akhirnya mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja gerai makan, Al Azri Norhisham, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.


Mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada seekor kucing jantan di tangga Blok A3, Jalan 4/27A, Seksyen 2, Wangsa Maju pada jam 1.30 petang, 10 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum bawah akta 29(1) yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya.
“Kucing itu cakar dan gigit tangan saya sehingga berlubang. Saya mohon hukuman diringankan lagi pun saya anak yatim piatu,” rayunya.
Siti Hajar bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk pencegahan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan yang dilakukannya melampaui batas.
“Perbuatan tertuduh adalah satu perbuatan jenayah dan satu bentuk penzaliman dan penganiayaan ke atas kucing.
“Sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras tak patut lakukan perbuatan itu terhadap seekor haiwan yang lemah. Tangan dicakar bukan alasan buat demikian,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu menyedari kucing miliknya mati di hadapan rumah selepas diberitahu oleh jirannya.
Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran pengadu, tertuduh dilihat membunuh kucing itu dengan menjerut kucing itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di tangga hadapan rumah jiran pengadu lalu beredar.
Ibu jiran pengadu kemudian membuka tali rafia itu dan membawa kucing berkenaan ke hadapan rumah pengadu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan kucing jantan ditemui tergantung dengan tali pada tangga di blok pangsapuri berkenaan.
Bangkai haiwan malang itu ditemui oleh jiran pemilik kucing terbabit kira-kira 2 petang.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki memegang kucing berkenaan sebelum mengikat leher haiwan terbabit pada tangga.
Percubaan pertama lelaki terbabit mengikat leher kucing itu gagal sebelum dia mengejarnya dan mengikat kali kedua.
Pemilik kucing itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penjelasan Kenapa Bil Mahal! Rupanya Pengguna Dikenakan Cas Pada Kiraan Blok 3 Bersamaan RM0.5160 PerkWh/kW

Sana sini rakyat Malaysia sudah mulai bising tentang tentang bil elektrik yang diterima agak tinggi semenjak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian bersambung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir sehingga Ogos nanti.
Kalau diperhatikan di media sosial, rata-rata pengguna “bising” bila bil api mereka tinggi dan bukan seperti bulan-bulan biasa. Walau mengakui kipas dipasang 24 jam sehari namun ramai tertanya-tanya kenapa bil naik lebih 500 peratus dari kadar biasa dibayar.
Remaja percaya, ramai yang telah membuat pertanyaan dan aduan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pastinya jawapan diperoleh, ianya adalah bil anggaran selama 3 bulan semasa PKP berikut pembaca meter tidak datang ke kediaman kita. Walau ramai tidak berpuas hati dengan peningkatan bil yang tinggi namun apa yang pasti ianya perlu dijelaskan juga kalau tidak mahu bekalan elektrik dipotong.
Namun perkongsian maklumat dari individu bernama Mat Apit di fbnya mengenai kadar bil ini ternyata ada kebenarannya. Ini kerana sebelum perkongsian dibuat, beliau telah berurusan dengan pegawai di TNB bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu mengapa bil tinggi.
Ternyata bil yang tinggi adalah kerana kita dicharge pada kiraaan blok 3 iaitu RM0.5160 perkWh/kW di mana meter kita tidak di reset kembali ke kiraan blok 1 bersamaan RM0.2180 perkWh/kW seperti bulan-bulan sebelumnya. Rupanya setiap kali bacaan dibaca, meter kita akan direset semula pada kiraan blok 1 dan sebab itulah bil kita masih murah seperti sebelumnya. Namun disebabkan PKP sudah masuk lebih 80 hari bermakna, meter kita tidak direset dan ia mencecah pada kiraan blok 3.
Bacalah penjelasannya. Moralnya bukan semua orang mampu bayar bil yang melambung tinggi ini.

Itu hari dapat bil TNB tinggi.
Dengan nasihat yang baik dari Syafiq untuk aku tulis complaint, aku pun buat aduan kepada TNB dan dalam masa yang sama, aku up la satu pos sebagai tanda protes, dengan harapan, semakin ramai orang bercakap, kerajaan akan pandang isu ni dan ambil tindakan.
Masa aku karang ayat komplen tu, aku tengah marah sebenarnya.. Aku pun letak ayat, "..Bil saya terlalu tinggi dan tak munasabah.. Minta tolong hantar orang buat penerangan pada saya tentang bil eletrik tinggi ni.. Hantar lebih dari 2 orang, takut-takut kalau dia salah jawab, parang saya tiba-tiba terbang nanti.."
Tapi aku edit balik la bagi ayat muluk-muluk. Orang bertamadunkan tak mendahulukan emosi
Harini pegawai TNB hubungi aku dan beri penerangan.
Aku cakap, semua hujah dia aku boleh terima. Masalah PKP tak boleh keluar pergi baca meter, bahagikan purata penggunaan, bla bla bla.
Dia juga kata, sepanjang PKP orang duduk di rumah, dan penggunaan banyak. Ini alasan yang tak munasabah sebab isteri aku work from home dah dekat 2 tahun, makna kata rumah sentiasa ada orang, tapi bil maintain saja. Apa pula bila PKP ni tiba-tiba jadi mahal? Kalau pun penggunaan lebih, takkan sampai 600% peningkatan?
Aku bagitau pegawai tu, hujah kata waktu PKP orang duduk rumah sebabkan penggunaan tinggi tu semua alasan fatal yang kelakar.
Sebab sebenar yang buat bil eletrik naik mendadak adalah, bila dia buat bacaan selepas 3 bulan, penggunaan sudah masuk ke blok penggunaan ke-3 dengan harga 0.51/Kwh, sedangkan penggunaan sebelum-sebelum ni tak pernah sampai pun pada blok ke-3, jarang-jarang melepasi blok pertama, dan kalau lepas masuk blok ke-2 pun, sangat sedikit (rujuk gambar 1)
Bagi yang tak jelas, penggunaan elektrik TNB ni ada 3 blok.
200kwh pertama, harga sekian-sekian..
100kwh kedua, harga sekian-sekian (lebih mahal)
300kwh seterusnya, harga sekian-sekian (lebihh mahal lagi)
(Rujuk gambar 2)

Setiap kali pegawai datang baca meter dan bilkan penggunaan pada pelanggan, kos penggunaan tu akan reset balik kepada blok pertama.
Tapi bila PKP dan TNB tak hantr orang datang baca meter, bil penggunaan masuk blok ke-3, bacaan akan santak sampai maksimum. Itu la punca bil naik jadi gila.
Pegawai TNB tu kata apa yang aku cakap tu betul.Tapi ini polisi TNB. Memang cara baca meter macam tu.
Dan aku kata, polisi dan cara TNB tu adalah zalim, menekan, menindas pengguna, sedangkan PKP dek wabak Covid19 yang kita hadapi ini adalah unprecedented, tak pernah berlaku.
Kalau gitu, untung lagi TNB kalau kerajaan buat PKP sampai setahun. Selepas setahun, penggunaan blok ke-3 dah tentu lebih banyak, sebab bacaan penggunaan takkan reset ke blok pertama balik, selagi TNB tak datang bilkan kepada pengguna.
Manusiawi la mas bro.
Patutnya bagi la kiraan rata (sebab ia penggunaan 3 bulan sekaligus) kepada penggunaan eletrik melepasi blok ke 3 tu. Lebih merigankan dan sama-sama dapat manfaat. TNB dapat ambil kesempatan, pengguna dapat sedikit diskaun dek kerana TNB tak mai baca meter.
Tapi brader yang call tu memang gentleman.
Dia akui yang cara tu menyebabkan bil jadi melampau dan menindas pengguna. Tapi dia tak boleh buat apa, kerana dia bekerja ikut polisi. Kerajaan kena bercakap berkenaan 'benda' ni, supaya polisi TNB berobah.
Nahh. Sekarang jom kita sama-sama bercakap benda ni, viralkan, cucuk wakil rakyat anda suruh diorang bercakap pasal isu ni, supaya TNB ubah sikit polisi dan kita sama-sama boleh terima manfaat.
Kalau malas complain, cukup sekadar share tulisan saya ni, supaya lebih meluas lagi orang bercakap.
Kalau aku salah, aku sedia dibetulkan.
Sekian
.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
6 Beradik Tidur Berhimpit Dalam Kereta Di Stesen Minyak, LZS Hulur Bantuan

Semalam tular kes enam beradik berusia di antara 5 bulan hingga 14 tahun terpaksa tidur di dalam kereta secara berhimpit-himpit. Malah keluarga ini memilih sebuah stesen minyak di Rasa Hulu Selangor untuk meletak kenderaan.
Kesemua mereka tinggal di dalam kereta selepas tuan rumah menghalau dari rumah sewa berikutan ibu tidak mampu membayar sewa rumah yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.Menyedihkan ibu yang menjadi gantungan anak-anak ini telah diberhentikan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula. Ayah yang diharap menjaga mereka pula terus menghilangkan diri tanpa khabar berita dan langsung tidak menghulurkan duit belanja.
Dalam pada itu menerima twitter Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan khabar berita gembira buat enam beradik ini di mereka tidak lagi perlu tidur berhimpit di dalam kereta sebaliknya sudah dibawa tidur di hotel budget di mana anak-anak ini boleh tidur dengan selesa dan tiada nyamuk.



Menurut tweet LZS, seorang ibu muda, berusia 30 tahun tinggal di dalam kereta bersama 6 orang anak berumur 14, 10, 8, 3, 2 dan 5 bulan di stesen minyak Rasa, Hulu Selangor. Kesemua mereka dihalau keluar kerana sewa tertunggak beberapa bulan oleh tuan rumah.
Dimaklumkan juga, ibu muda ini dalam proses bercerai di mana suami sudah tidak balik lebih dari 4 bulan dan terus menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak keluar rumah.
Dalam pada itu, pihak Lembaga Zakat Selangor sudah menyalurkan sumbangan kecemasan RM500 bagi menampung keperluan pemohon dan anak-anak sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat.
Hasil bancian mendapati, ibu enam anak ini layak didaftarkan sebagai asnaf fakir.
Antara bantuan lain yang akan disalurkan oleh LZS kepadanya ialah, deposit dan sewa bulanan rumah, bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan serta bantuan perubatan (rawatan bulanan).
“Bantuan ini hasil dari zakat yang dibayar oleh orang ramai untuk membantu keluarga miskin seperti ini,”kata LZS dalam kenyataan tweet tersebut. Dalam pada itu, usaha sedang dilakukan oleh pihak ini pegawai zakat untuk mencari rumah sewa yang sesuai untuk keluarga ini. Jika tiada sebarang masalah, keluarga ini akan masuk ke rumah sewa terus. Gambar : Lembaga Zakat Selangor
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

