
“Saya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya tak mahu hidup dalam teka-teki.” – Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina.
Kematian tragis seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, terus menjadi tanda tanya buat seluruh rakyat Malaysia. Bagi ibunya, Noraidah Lamat, 45, pemergian anak tunggalnya bukan sahaja menyayat hati, tetapi turut membangkitkan pelbagai persoalan yang belum terjawab hingga kini.
Menurut Berita Harian, selepas dua minggu pemergian itu, Noraidah tampil dengan tuntutan yang tegas dan penuh keazaman kubur anaknya perlu digali semula untuk menjalankan bedah siasat pertama, demi merungkai punca sebenar kematian Zara Qairina.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada keesokan harinya.
Pada awalnya, kematiannya dianggap akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama. Namun, pelbagai spekulasi mula timbul termasuk dakwaan wujud unsur buli dan gangguan, menambahkan lagi kekeliruan serta tekanan kepada keluarga arwah.
Menurut Noraidah, pengebumian anaknya pada 17 Julai dilakukan tanpa bedah siasat kerana tiada sebarang cadangan dari pihak berwajib pada ketika itu. Namun, selepas mendengar pelbagai cerita dan melihat keadaan fizikal anaknya ketika di hospital, beliau dan keluarga mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya telah melantik dua peguam bagi menguruskan permohonan menggali semula kubur Zara Qairina untuk menjalankan bedah siasat pertama. Saya tak boleh terus hidup dengan persoalan,” tegas beliau.
Beliau turut meminta agar polis menjalankan siasatan telus dan menyeluruh, termasuk meneliti semula semua aspek kejadian.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, sebanyak 60 individu telah dirakam keterangan, termasuk pelajar, guru dan staf sekolah. Nama seperti ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ turut disebut sebagai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Kes ini kini diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis lanjut dan penilaian forensik yang lebih mendalam.
Satu pendedahan penting dibuat oleh ibu arwah, Zara Qairina pernah mengadu menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pelajar. Kes tersebut dilaporkan kepada guru kaunseling dan tindakan telah diambil. Namun, Noraidah tidak pasti jika kejadian itu ada kaitan dengan tragedi yang berlaku.
“Arwah seorang pelajar bijak dan ceria. Dia dapat masuk ke sekolah asrama penuh kerana prestasi cemerlangnya. Ramai mengenalinya di Sipitang,” katanya.
“Apa pun hasil bedah siasat nanti, saya reda. Tapi saya mahu tahu kebenaran yang sebenar.”
– Noraidah.Kes Zara Qairina membuka mata ramai tentang isu buli, gangguan seksual dan keselamatan di asrama. Sebagai remaja, kamu berhak untuk rasa selamat, dihormati dan dilindungi di mana-mana, terutamanya di sekolah.
Jika kamu pernah diganggu, dibuli, atau menyaksikan rakan dalam situasi mencurigakan, jangan diam. Laporkan kepada guru, kaunselor, ibu bapa, atau pihak berwajib. Suara kamu mungkin menyelamatkan nyawa.
BACA LAGI : “Kami Reda, Tapi Takkan Diam” –Keluarga Tuntut Keadilan Buat Arwah Zara Qairina
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.