Baru-baru ini, saudara kembar yang juga pelajar tingkatan 2 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Anas Rayyan Muhammad Shaifuddin dan Amir Rayyan Muhammad Shaifuddin mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024.
Mereka berdua membuat keputusan menyertai pertandingan esei itu semasa berkunjung ke London untuk menemui kakak mereka, Sofea Arisya Muhammad Shaifuddin yang kini merupakan pelajar tahun tiga Wharton Business School, University of Pennsylvania, dan berjaya menghasilkan esei yang diperlukan walaupun dalam masa yang terhad dan singkat.
Dalam pada itu, saudara kembar ini meluahkan rasa girang serta syukur di atas kejayaan yang diraih dan berkongsi persediaan rapi yang mereka lakukan untuk pertandingan esei berkenaan.
“Memenangi anugerah ini memberi motivasi untuk kami meneruskan usaha mencari cara baru untuk melahirkan pandangan kami menerusi penulisan”
Mereka berkata dalam satu kenyataan dihantar kepada Bernama, sebelum kejayaan ini, Anas dan Amir pernah menyertai peraduan esei yang lain, tetapi penyertaan untuk Queen’s Commonwealth Essay Competition, adalah yang pertama.
Selain itu, esei mereka turut memberi tumpuan kepada tema nilai kekeluargaan, perpaduan dan warisan budaya, ternyata paling unggul dalam kalangan ribuan esei yang diterima oleh pihak penganjur.
Esei Anas, bertajuk ‘A Culinary Journey with Tok and Me’, memberi peluang kepada pembaca untuk berkongsi pengalamannya mempelajari cara memasak makanan tradisional Malaysia daripada neneknya (Tok).
“Nak buat kuih yang sedap mesti ada rasa kasih dalam setiap langkah membuat kuih itu’,” nenek Anas memberitahunya.
Menurut Anas, pesanan neneknya itu mengajar dirinya kepentingan bersabar, daya kreatif serta nilai menyatukan komuniti menerusi makanan.
Sementara itu, esei Amir yang berjudul ‘A Malaysian Tale of Family and Unity’, menekankan kepentingan perhimpunan keluarga sewaktu musim perayaan seperti hari raya.
Amir menggambarkan suasana meriah, berkongsi makanan dan tradisi yang mengeratkan lagi jalinan silaturrahim sesama anggota keluarga, di samping nilai-nilai berkenaan penting memupuk perpaduan dalam Komanwel.
“Bagi saya, tradisi ini adalah simbol kekuatan dan perpaduan, nilai yang saya percaya boleh menyatukan semua dalam Komanwel,” ujarnya.
Tema Queen’s Commonwealth Essay Competition 2024, berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan, hospitaliti, kerjasama, hormat-menghormati serta maruah serta konsep yang digunakan oleh Anas dan Amir untuk esei mereka.
Pada masa yang sama, saudara kembar ini juga menyatakan penghargaan kepada guru bahasa Inggeris mereka, Sir Qassim dan En Ng atas bimbingan serta galakan yang diberikan untuk mereka berkarya sebagai penulis muda.
Anda mungkin berminat dengan
Mereka juga melahirkan harapan esei yang dihasilkan itu akan memberi inspirasi kepada yang lain untuk mencuba kuasa penceritaaan serta menjadikan nilai-nilai seperti perikemanusiaan dan saling hormat-menghormati, malar segar, dalam evolusi dunia yang kian pesat.
Sumber Artikel & Foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dunia olahraga dikejutkan dengan kemunculan seorang bintang baharu dari Jepun apabila remaja berusia 16 tahun, Sorato Shimizu, mencatat sejarah sebagai pelari bawah 18 tahun terpantas dunia dalam acara 100 meter.
Catatan masa luar biasanya, 10.00 saat, telah mencipta rekod dunia baharu yang sukar dipercayai bagi usianya. Rekod itu dicipta semasa Kejohanan Sekolah Menengah Antara Wilayah Jepun yang berlangsung di Hiroshima baru-baru ini.

Atasi catatan terbaik Usain Bolt
Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih mengagumkan adalah, Shimizu bukan sahaja memadamkan rekod terdahulu milik Christian Miller (Amerika Syarikat) dan Puripol Boonson (Thailand) yang masing-masing mencatat 10.06 saat, malah dia turut mengatasi catatan terbaik Usain Bolt ketika berusia 20 tahun, iaitu 10.03 saat.
Menurut laporan, pencapaian ini sekaligus menempatkan Sorato Shimizu dalam senarai lima pelari terpantas sepanjang zaman di Jepun, menjadikan dirinya satu nama yang perlu diberi perhatian, bukan hanya di Asia tetapi juga di pentas dunia.
Selain mencipta rekod dunia kategori bawah 18 tahun, Shimizu juga kini memegang rekod kebangsaan sekolah menengah Jepun, mengatasi catatan lama 10.01 saat yang dicatat Yoshihide Kiryu pada tahun 2012.
Dalam satu kenyataan ringkas selepas perlumbaan, Shimizu meluahkan kegembiraannya:
“Saya bertekad untuk berlari di bawah 10 saat menjelang perlumbaan akhir. Saya gembira dapat mencipta rekod sekolah menengah. Saya ingin mencuba rasanya jika saya boleh melayakkan diri.”

Impian Shimizu bukan sekadar berakhir dengan pencapaian ini. Beliau kini layak untuk menyertai Kejohanan Dunia Olahraga yang bakal berlangsung di Tokyo pada bulan September nanti. Ia akan menjadi pentas sebenar untuk remaja ini menguji kekuatannya berhadapan jaguh-jaguh pecut dari seluruh dunia.
Kejayaan ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada remaja di Malaysia dan seluruh dunia. Tahniah Sorato Shimizu, moga terus terbang di dalam arena olahraga.
BACA LAGI : Dari Kampung Ke UK: Remaja Orang Asli Ini Buktikan Kejayaan Milik Semua
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Ada berita menarik buat rakyat Malaysia!
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membuat satu pengumuman penting sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat pada jam 10.30 pagi, Rabu (esok).

Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di media sosial pada Selasa.
“Perdana Menteri akan membuat pengumuman berkenaan penghargaan buat semua rakyat Malaysia pada 10.30 pagi Rabu,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa beliau memerlukan sedikit masa untuk meneliti pengumuman tersebut selepas menghadiri pemukiman Kerajaan Perpaduan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.
Dalam satu lagi perkongsian di Facebook, beliau turut menyatakan bahawa akan ada pengumuman besar sebagai tanda penghargaan luar biasa kepada rakyat. Namun, tiada butiran lanjut dikongsikan buat masa ini.
Apa agaknya bentuk penghargaan itu? Sama-sama kita nantikan pagi esok!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr Akef berjaya mencuri perhatian apabila mencapai Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam perjalanan hafazan al-Quran selepas memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk dalam tempoh hanya 15 jam 42 minit.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook Maahad Tahfiz Al Fateh, kejayaan membanggakan Tengku Umayr Akef diumumkan selepas beliau berjaya menamatkan ujian hafazan tahap tertinggi itu pada 2 Julai lalu dengan keputusan cemerlang.
Lebih mengagumkan, pelajar berusia 16 tahun itu memulakan bacaan seawal jam 4.30 pagi sebelum mengakhiri ujian pada waktu malam. Hasil ketekunan dan kekuatan hafazannya, beliau berjaya memperoleh keputusan Mumtaz Ma’a Martabat Syarof dengan markah 97.7% selepas dinilai oleh enam panel penguji.

Menurut salah seorang panel penilai, Ustaz Ahmad Lutfi, antara detik paling menyentuh berlaku ketika Tengku Umayr Akef memasuki 15 juzuk terakhir apabila keadaan fizikalnya semakin letih, namun beliau tetap meneruskan bacaan ayat suci al-Quran dengan lancar.
“Bacaannya apabila masuk ke 15 juzuk kedua sudah masuk ke mod separa sedar tetapi bibirnya tetap tepat kumat kamit bacaan ayat suci Al-Quran,” katanya.
“Yang lebih terharu bacaan beliau, tiada pembetulan dari kami panel 6 orang. Tiada yang yang beliau lupa. Semuanya disemak hingga baris-baris hujung dalam kalimah,” jelasnya lagi.
Selain itu, ujian tersebut menyaksikan Tengku Umayr Akef berjaya mengekalkan kelancaran bacaan tanpa memerlukan sebarang pembetulan daripada panel penilai. Pencapaian itu dianggap luar biasa kerana ujian Syahadah Ula bukan sekadar menguji hafazan, malah memerlukan ketahanan mental, fokus dan kekuatan fizikal yang tinggi.
Namun, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha dalam tempoh singkat. Menurut Ustaz Ahmad Lutfi, di sebalik 15 jam 42 minit tasmik yang dilalui Tengku Umayr Akef, terdapat bertahun-tahun latihan, pengulangan hafazan serta pengorbanan besar yang dilakukan sebelum berjaya mencapai tahap berkenaan.

Sebelum ini, Tengku Umayr Akef berkongsi bahawa beliau mula menghafal Al-Quran ketika berusia 12 tahun. Selepas memperoleh Syahadah Ula, beliau berhasrat untuk mendalami ilmu tadabbur Al-Quran selain memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
BACA: Inspirasi Generasi Muda! Hafizah 30 Juzuk, Putri Qistina Raih ACCA No.2 Terbaik Dunia
Sepanjang 1,260 hari menuntut ilmu di Maahad Tahfiz Al-Fateh, beliau turut dikenali sebagai pelajar yang menjaga adab terhadap guru serta sentiasa mengingatkan rakan-rakan supaya memelihara hubungan dengan Al-Quran dan menjauhi perkara yang boleh menjejaskan hafazan. Kejayaan itu juga tidak terpisah daripada sokongan keluarga, bimbingan guru serta suasana tarbiyah yang membentuk disiplin dan kekuatan dirinya.
Pencapaian Tengku Umayr Akef menjadi bukti bahawa kejayaan besar lahir daripada kesungguhan, kesabaran dan istiqamah dalam menuntut ilmu. Kisah hafiz muda ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk mencintai Al-Quran, menghargai jasa guru serta terus berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, keluarga dan masyarakat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞