Cuba baca perbualan antara dua orang remaja lelaki ini di sebuah pasar raya.

Remaja A: Siapakah gadis cantik yang sedang memilih baju di hujung sana? Alangkah baiknya jika aku boleh mendekatinya.

Remaja B: Aku juga ingin berkenalan dengan gadis itu, tapi aku malu. Hanya melihat dari jauh sajalah.

IKLAN

Remaja A: Tak mengapa. Kita cuma ingin berkenalan sahaja.

Perbualan remaja di atas walaupun nampak biasa, namun jika diteliti, mereka telah menggunakan pelbagai kata penegas untuk menjelaskan hasrat dan keinginan mereka untuk berkenalan dengan seorang gadis. Pengunaan “kah”, “juga”, “hanya” dan “cuma” merupakan contoh kata penegas yang terdapat dalam dialog di atas.
Kata penegas ialah kata yang memberikan penekanan kepada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Hal ini bermakna kata penegas berfungsi menjelaskan, menentukan atau menerangkan bahagian tertentu dalam ayat.

IKLAN

Kata penegas juga disebut sebagai partikel. Maknanya dapat dipastikan dengan jelas setelah digunakan dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas iaitu, penegas frasa predikat dan penegas frasa nama. Penegas frasa predikat hanya akan berlaku jika predikat atau bahagian-bahagian lain yang ditegaskan itu mengalami proses pendepanan predikat. Penegas frasa nama pula bersifat bebas dari segi kehadirannya sama ada hadir pada bahagian subjek atau frasa predikat. Contoh ayat dapat diperlihatkan seperti yang berikut:

​​​​​​
  1. Siapakah yang memenangi tempat pertama?
  2. Apatah kurangnya peserta kedua itu.
  3. Alangkah baiknya jika dia ada di sisi.
  4. Aku pun tidak dapat ke sana.
  5. Hanya senyuman yang dapat kuberikan padamu.
  6. Dia masih lagi berada di pejabat walaupun hari sudah lewat malam.
  7. Anis dan Ainin memang gemar makan nasi kandar.
  8. Meskipun ada banyak halangan aku tetap pergi jua.
  9. Saya juga ingin mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.
  10. Saya cuma ingin mengemukakan pendapat.

Berdasarkan contoh ayat di atas, kita boleh memahami bagaimana kata penegas itu berperanan dalam ayat. Melalui ayat (1) telah berlaku penegasan frasa predikat iaitu penggunaan partikel “kah. Ayat itu sepatutnya berbunyi pemenang tempat pertama itu siapa. Kata penegas telah digandingkan dengan kata tanya “siapa” menjadi “siapakah” untuk memberikan penegasan kepada kata tanya tersebut. Maka dengan itu frasa predikat ini perlu melalui proses pendepanan. Ayat (9) pula menunjukkan penegas frasa nama melalui penggunaan “juga” yang terletak di hadapan kata nama.

IKLAN

Daripada penjelasan ini, diharapkan pembaca, khususnya remaja dapat memahami fungsi dan penggunaan kata penegas dalam pertuturan seharian.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJAH NOOR ZILA BINTI MD. YUSUF

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI