Setelah Malaysia mencecah 90 peratus kadar vaksinasi lengkap (telah menerima dua dos vaksin) dalam kalangan orang dewasa Ahad lalu, rakyat mula diberikan kelonggaran untuk merentas daerah (termasuk di Sabah bermula hari ini) dan merentas negeri sejak Isnin lalu.
Lalu, ramailah yang merasakan program vaksinasi di seluruh negara bakal tamat tidak lama lagi apabila kesemua golongan remaja bawah 18 tahun menyempurnakan program vaksinasi PICK diikuti kanak-kanak bawah 12 tahun sekiranya dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tidak sangka pula, negeri Sarawak hari ini memulakan pemberian vaksin ketiga kepada penduduk negeri itu.
Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, seramai 122,540 penerima telah disenaraikan untuk menerima vaksin dos ketiga dan dos penggalak.
Ads
Apakah fungsi dua jenis vaksin baharu ini dan adakah ia membabitkan golongan remaja bawah 25 tahun di Sarawak?
Vaksin dos ketiga dan dos penggalak ini dalam bahasa mudah adalah sejenis pemberian dos vaksin tambahan.
Ia khas untuk golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan petugas barisan hadapan perubatan. Bukan itu saja, ia juga khas untuk mereka yang didapati tidak mempunyai tindak balas imun yang mencukupi pada peringkat awal semasa suntikan dua dos vaksin dahulu.
Ads
Bagi korang yang mempunyai tidak balas imun yang cukup semasa suntikan dua dos vaksin terdahulu pula jangan mendabik dada. Besar kemungkinan tidak balas imun itu dalam badan korang sudah berkurangan dari semasa ke semasa. Korang mungkin sedar akan hal tersebut jika berdepan masalah kesihatan dan badan tetap merasa ketahanan badan masih lemah. Golongan ini dikenali sebagai immunocompromiseyang mempunyai sistem imun lemah akibat menghidap sejenis penyakit atau sedang menjalani rawatan perubatan. Mereka juga turut tersenarai.
Daripada 122,540 penerima vaksin dos ketiga dan dos penggalak yang disenaraikan, golongan immunocompromiseini dianggarkan seramai 11,900.
PPV di Dewan Universiti Curtin di Sarawak. Sumber Foto : Utusan Borneo
Satu lagi persoalan timbul, adakah semua warga usia emas seperti ibu bapa kita yang sudah melebihi usia 60 tahun wajib mengambilnya? Well, mereka DISARAN untuk mengambilnya demi ketahanan badan yang lebih baik. Golongan warga emas saja sudah mewakili majoriti 80,300 orang penerima manakala petugas barisan hadapan perubatan (frontliners) pula seramai 30,340. Perbandingan itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa pentingnya dos ketiga dan dos galakan ini.
Untuk pengetahuan, vaksin yang diberikan untuk kali ketiga ini adalah dari jenis Pfizer-BioNTech. Sekiranya korang menerima jenis vaksin berbeza semasa suntikan pertama dan kedua, jangan risau.
Apapun, jika korang berada di Sarawak dan didapati tersenarai sebagai penerima dos vaksin ketiga atau dos penggalak, korang jangan lepaskan peluang mendapatkannya. Bukan semua orang tau yang terpilih.
Pemberian ini boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik-klinik swasta. Hubungi klinik atau hospital terlebih dahulu untuk menetapkan janji temu. Senarai lokasi tersebut bagaimanapun masih belum dikeluarkan dan akan dimaklumkan kementerian dari semasa ke semasa.
Dos ketiga boleh mula diambil sekurang-kurangnya 28 hari selepas korang menerima dos vaksin kedua.
Bagi yang akan menerima dos penggalak pula, ia boleh diambil sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua. Maklumkan kepada ibu bapa dan kenalan yang terpilih untuk menerimanya okay!
Seorang lagi anak kelahiran Malaysia membanggakan nama negara apabila berjaya dipilih untuk menyertai salah satu kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich. Celine Chuang merupakan pemain sayap skuad B-15 wanita kebangsaan telah mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita negara beraksi di liga itu.
Menurut Football Association of Malaysia, gadis berusia 15 tahun itu beraksi untuk skuad kedua B-17 wanita FC Bayern Munich sejak Julai lalu dan tidak menjadikan jantinanya sebagai batu penghalang untuk beraksi di atas padang. Ia sekali gus membuktikan bahawa wanita juga mampu bersaing dalam sukan yang didominasi kaum lelaki ini.
Gadis ini mula berjinak-jinak dengan sukan bola sepak sejak empat tahun yang lalu selepas menyaksikan adik-beradiknya bermain bola sepak.
“Ibu saya minat dengan sukan dan beliau ingin saya melakukan sesuatu dengan masa terluang. Adik-beradik saya pernah bermain bola sepak juga dan ibu saya menjumpai kelab Bintang Biru,”
“Beliau membawa saya untuk berlatih di situ setiap hujung minggu. Saya mula meminati sukan itu,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Astro Awani.
Celine juga menjelaskan bahawa dia telah berpindah ke Thailand untuk mengasah kemahiran dan kecergasan kerana ingin menjadi pemain professional. Di sana, dia terpaksa berlatih tujuh hari supaya tidak ketinggalan. Anak muda ini juga mengakui yang dirinya masih belum sempurna, namun lebih baik jika mahu dibandingkan dengan kemahirannya empat tahun lalu.
Berbeza dengan sesi latihan di Malaysia, Celine mendedahkan bahawa intensiti latihannya di Jerman agak berbeza dan dia masih dalam fasa menyesuaikan diri berlatih dalam cuaca sejuk dan langit yang bertukar malam dengan lebih cepat.
Walaupun latihan di Jerman amat kompetitif, namun Celine merasakan ia adalah satu pengalaman yang seronok kerana dapat berkawan dengan lebih ramai orang, khususnya pemain-pemain di kelab tersebut.
Syabas kami ucapkan kepada Celine Chuang dan semoga dengan kejayaan pemain-pemain muda ini dapat menyuntik lagi semangat para remaja di Malaysia untuk terus kekal aktif dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.
“Macam Oppa Korea!” – itulah antara komen yang membanjiri media sosial apabila wajah kacak Raja Azlan Muzaffar Shah, putera Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mula tular. Nama beliau kini menjadi sorotan netizen selepas beberapa gambar dan video terbarunya dikongsikan di aplikasi Threads.
Raja Azlan Muzaffar Shah, putera Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa kecil
Rata-rata netizen nyata terpegun dengan penampilan segak Raja Azlan yang baru berusia 17 tahun. Malah, ramai mengaitkan wajahnya dengan pelakon popular Korea, Ahn Jae-hyun kerana iras wajah dan aura yang dimiliki. Ada yang menulis, “ingatkan oppa Korea, rupanya putera diraja Malaysia”, sekali gus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Bukan setakat wajah tampan, ketinggian dan karisma Raja Azlan juga menarik perhatian ramai. Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman bertemu dengannya secara berdepan dan mengakui terkejut dengan personalitinya yang tinggi lampai. Walaupun sering tampil sederhana, gaya yang dibawa tetap menyerlahkan keyakinan diri seorang pewaris keluarga diraja.
Lebih istimewa, aura Raja Azlan terserlah dalam setiap penampilannya yang sopan dan berkarisma. Netizen bukan sahaja memuji raut wajahnya, tetapi juga kagum dengan personaliti tenang serta pesona yang dimilikinya. Tidak hairanlah mengapa ramai anak muda mula menjadikan beliau sebagai inspirasi gaya dan ikon remaja baharu.
Fenomena ini membuktikan bahawa pengaruh media sosial sangat besar dalam menonjolkan personaliti muda. Walaupun belum menceburi dunia hiburan, Raja Azlan sudah berjaya mencuri perhatian seantero Malaysia dengan daya tarikan semula jadinya.
Siapa tahu, dengan populariti yang semakin meningkat, mungkin suatu hari nanti Raja Azlan bakal melangkah lebih jauh sama ada dalam bidang akademik, kepimpinan mahupun menjadi ikon belia.
Apa yang pasti, wajah kacaknya sudah pun menambat hati ramai persis seorang bintang K-drama sebenar!
Aktiviti berbasikal memang tidak asing lagi dengan rakyat Malaysia. Bagaikan trend terkini, bukan hanya kepada anak muda, malah oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira umur.
Kalau korang perasan, sekarang ini ramai yang sudah mula menjinakkan diri dalam sukan berbasikal. Selain daripada beriadah, antara manfaat yang korang akan peroleh sekiranya melakukan aktiviti berbasikal adalah seperti meningkatkan kesihatan mental, menurunkan berat badan dan mengurangkan sakit jantung serta risiko kanser.
Gambar Hiasan : Bicycling Australia
Namun begitu, kebanyakkan yang melakukan aktiviti berbasikal ini memilih baju sukan yang agak menjolok mata dan mengenakan jersi ketat. Pernah menimbulkan perbalahan netizen mengenai aurat wanita. Mari ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.
Soalan
Assalamualaikum. Saya berimpian untuk menyertai acara berbasikal yang menjadi sukan kegemaran ramai pada masa kini. Soalan saya, adakah dibolehkan jika seorang perempuan berpakaian sukan seperti memakai seluar tight dan skirt paras peha serta t-shirt lengan pendek berinner untuk memudahkan aktiviti berbasikal memandangkan aktiviti tersebut memerlukan pergerakan yang banyak. Adakah situasi kami ini boleh dikira sebagai darurat untuk etika berpakaian?
Ringkasan jawapan
Setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita wajib menjaga batasan aurat yang telah ditentukan oleh syara’. Hal ini termasuk untuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya, dengan memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dan longgar daripada dilihat oleh bukan mahram. Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau bentuk badan adalah haram dan berdosa.
Huraian jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Etika pakaian sukan dan Menutup Aurat
Umum mengetahui batasan aurat lelaki dan perempuan adalah seperti yang dijelaskan oleh BaFadhl al-Hadrami:
Maksudnya: Aurat lelaki dan hamba sahaya ialah antara pusat dan lutut dan aurat wanita yang merdeka ketika di dalam solat atau ketika terdapat di sekelilingnya orang yang bukan mahram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan dan (aurat) ketika bersama mahramnya ialah antara pusat hingga ke lutut.
[Rujuk: al-Muqaddimah al-Hadramiyah 1/76]
Islam menitikberatkan juga soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat yang telah ditetapkan. Islam mewajibkan umatnya menutup aurat dengan sempurna baik lelaki mahupun perempuan. Imam Nawawi berkata:
ستر العورة واجب
Maksudnya: Menutup aurat adalah wajib.
[Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab 3/165]
Umat Islam perlu mematuhi panduan berpakaian tersebut dalam apa jua aktiviti yang dilakukan termasuklah ketika bersukan lebih-lebih lagi aktiviti sukan diluar rumah yang terdedah kepada pandangan umum seperti aktiviti berbasikal.
Syariat Islam telah meletakkan garis panduan tentang cara menutupi aurat yang sempurna seperti pakaian yang berkain tebal yang disebut oleh Imam ash-Syairazi:
Bermaksud: Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit seperti baju tebal atau kulit atau daun.
[Rujuk: al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafie 1/125]
Selain daripada itu, berpakaian tebal juga tidak mencukupi sekiranya pakaian tersebut bersifat ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai. Allah SWT berfirman:
Bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah an-Nur 24:30)
Imam Ibnu Abbas رضى الله تعالى عنهما ketika menjelaskan maksud إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ketika mensyarahkan ayat diatas ialah wajah dan kedua-dua telapak tangan.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/376]
Oleh yang demikian, berdasarkan nas dan pendapat ulama dapat difahami bahawa berpakaian yang menutup aurat itu hendaklah tebal yang tidak menampakkan warna kulit sesorang dan juga pakaian tersebut bersifat longgar yang tidak menonjolkan bentuk badan si pemakai. Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang:
ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ
Bermaksud: Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.
(Hadis Riwayat Muslim 2128)
Dalam memahami maksud hadith, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni ada menerangkan maksud كاسِياتٌ عارياتٌ dalam hadith diatas ialah mereka yang berpakaian tetapi bertelanjang dalam tafsirnya seperti berikut:
كاسيات في الصورة عاريات في الحقيقة، لأنهنّ يلبسن ملابس لا تستر جسداً، ولا تخفي عورة، والغرض من اللباس السترُ، فإذا لم يستر اللباس كان صاحبه عارياً
Bermaksud: Berpakaian namun bertelanjang pada hakikatnya, kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutupi badan dan menyembunyikan aurat, dan tujuan berpakaian ialah menutupi (aurat), maka sekiranya pakaian itu tidak menutupi (auratnya) maka si pemakainya dikira bertelanjang.
[Rujuk: Tafsir Rawai’ul Bayan 2/385)
Berdasarkan penerangan hadith diatas, maka sebarang pakaian yang bersifat ketat apatah lagi pakaian yang nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang.
Hal ini demikian kerana ciri-ciri pakaian seperti itu akan mempamerkan bentuk tubuh seseorang yang memakainya. Apatah lagi berpakaian seperti itu ketika bersukan yang memerlukan pergerakan yang boleh menarik perhatian orang kepadanya.
Hukum ini tidak tertumpu kepada golongan wanita sahaja akan tetapi juga terlaksana kepada golongan lelaki yang bersukan. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian sukan yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakkan bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahkan anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapnya di persekitaran awam. Firman Allah SWT:
وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن
Bermaksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka.
(Surah an-Nur 24:31)
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, orang perempuan yang beriman perlu menundukkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan oleh Allah SWT keatas mereka untuk melihat selain daripada suami-suami mereka.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]
Berdasarkan firman Allah SWT diatas jelas bahawa golongan wanita juga perlu menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang membawa kepada fitnah. Nabi SAW juga bersabda mengenai pandangan wanita terhadap lelaki sepertimana hadis baginda yang berbunyi:
وقد روت أم سلمة رضي الله عنها قالت: كنت عند رسول الله صلى الله عليه وسلم وعنده ميمونة، فأقبل ابن أم مكتوم فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (احتجِبا منه، فقلنا يا رسول الله أليس أعمى لا يبصرنا ولا يعرفنا؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم: أفعمياوان أنتما؟ ألستما تبصرانه)،
Bermaksud: Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah RA berkata: ketika aku bersama Rasulullah SAW dan disisinya ada Maimunah RA, maka datang Ibnu Ummi Maktum, maka Nabi SAW bersabda: berhijablah kalian berdua daripadanya, dan Kami pun seraya berkata wahai Rasulullah SAW: tidakkah dia buta dan tidak melihat kita dan tidak mengenali kita? Maka Nabi SAW bersabda: Adakah kamu berdua buta? Tidakkah kamu berdua dapat melihat dia?.
(Hadis Riwayat Abu Daud 4112)
Hadis diatas dinukilkan oleh Imam Ibnu Kathir sebagai hujah bagi mereka yang berpendapat bahawa tidak boleh bagi orang perempuan melihat lelaki ajnabi sama ada dengan syahwat mahupun tidak bersyahwat.
[Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir 3/283]
Maka dapat difahami bahawa golongan wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat dan nipis yang diharamkan untuk dilihat.
Begitu juga, golongan lelaki perlu menitik beratkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah ketika bersukan bagi mengelakkan pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulkan fitnah.
Kesimpulan
Oleh yang demikian, aurat perlulah dijaga dan ditutup rapi dengan cara berpakaian yang seiring dengan kehendak syarak ketika dalam apa jua aktiviti baik lelaki mahupun wanita.
Merupakan satu kesilapan apabila masyarakat menganggap dengan memakai pakaian yang menutup sebahagian anggota badan atau berpakaian ketat sudah memadai dikira menutup aurat.
Oleh yang demikian, pendapat bahawa pakaian yang patuh syariah ini menghalang pergerakan ketika beriadah dan bersukan dengan alasan rimas, susah bergerak dan tiada pilihan boleh dikatakan alasan yang tidak boleh dikira sebagai darurat dalam Islam kerana menutup aurat adalah wajib bagi semua umat Islam.
Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya sama ada untuk berbasikal atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan oleh agama iaitu memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dari dilihat oleh bukan mahram dan berpakaian longgar agar tersembunyi bentuk pada badannya dari kelihatan umum.
Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.