
Seorang pelajar senior tampil memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dalam prosiding hari ke-25 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina, membuka sisi sebenar kehidupan di asrama yang dihuni remaja berusia 14 tahun itu.
Menurut saksi kanak-kanak ke-16, dia tidak mempercayai tuduhan bahawa Zara pernah mencuri, sebaliknya menggambarkan arwah sebagai seorang yang suka membantu rakan-rakannya.
“Saksi mengatakan Zara pernah memberi semangat kepadanya untuk belajar. Saksi juga pernah mendengar orang berkata Zara mahu menjadi BADAR serta rapat dengan seorang pelajar senior.
“Saksi menganggap Zara hanya menjadikan pelajar senior itu sebagai idola,” jelas peguam yang mewakili ibu Allahyarham.
Tambah peguam, saksi turut menyifatkan Zara sebagai pelajar ceria, menghormati senior dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda menghadapi tekanan di asrama.
Namun, saksi percaya ada segelintir pelajar yang tidak menyenangi Zara, malah menggelarnya “Zara yang problem itu” selepas timbul tuduhan kononnya dia mencuri.
Ketika memberi keterangan, saksi tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk insiden sewaktu Mesyuarat Aras (MA) iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior.
Selain itu, saksi turut mendedahkan pernah disindir oleh pelajar senior
hanya kerana dirinya merupakan BADAR dan sering merampas telefon pelajar yang melanggar peraturan.“Mereka menyindir saksi dengan kata-kata ‘tu na tu jibam’. ‘Jibam’ bermaksud ‘pe-report’ (orang yang suka melaporkan). Saksi buat tidak tahu terhadap komen mereka,” katanya.
Menurut saksi lagi, pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan junior biasanya akan menyerbu dan memaki mereka dengan kata-kata kesat.
“Saksi berkata, pelajar senior sering menunjukkan contoh tidak baik kepada pelajar junior dan walaupun sudah dinasihati, mereka tetap melakukan perkara yang sama.
“Saksi menyatakan bahawa budaya tuduh-menuduh serta tindakan menyerbu atau menyoal siasat pelajar junior dengan cara marah-marah tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Saksi turut menambah bahawa
warden asrama jarang melakukan pemeriksaan, menyebabkan banyak isu di asrama tidak disedari. Namun selepas kes Zara Qairina berlaku, para warden dilihat mula lebih aktif memantau setiap aras asrama.Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.