
Meski kini menghampiri usia 50 tahun, pelakon Marissa Yasmin tetap tampil awet muda dan sering menerima pujian ramai. Namun bagi pelakon berusia 48 tahun ini, semua itu adalah rezeki daripada Allah dan bukan hasil pembedahan estetik.
“Alhamdulillah, rezeki Allah bagi. Saya tetap beruban dan ada kedut pada wajah tetapi pegangan saya mudah nak ‘age gracefully’ (menua dengan anggun),” kongsi Marissa semasa ditemui di pelancaran drama Viu Pabila Dia Tersenyum.
Pelakon drama hit Bidaah itu juga menjelaskan bahawa dia tidak percaya untuk ‘melawan masa’ hanya kerana ingin kelihatan muda.
ARTIKEL BERKAITAN: Berlari & Pemakanan Seimbang ‘Rahsia’ Sofia Jane Kekal Jelita Dan Sihat
“Tidak ada di mana-mana kitab kalau tua akan jadi muda. Sudah semestinya boleh buat pembedahan tetapi bagi saya kenapa nak ‘against the clock’.
“Kadang-kadang saya was-was orang kata saya muda sebab saya tahu saya tua. Seperti yang semua lihat, cara saya berpakaian dan bergerak, memang mengikut gaya Marissa Yasmin,” tambahnya lagi.
Selain itu, Marissa juga berkongsi rutin penjagaan kesihatannya yang bermula dari cara pemakanan seimbang.
“Benda saya nak kongsi kepada umum, makan semua makanan tetapi dalam kuantiti yang sikit. Kalau sukakan gula, ambillah tetapi selepas itu jangan makan nasi banyak.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggun Dan Ayu Pelakon ‘Layangan Putus’ Ini, Berikut Fakta Menarik Tentang Putri Marino
“Kena seimbangkan, banyakkan makan sayur dan buah. Tidak mahu kata tak boleh makan itu ini sebab sistem badan kita Allah dah buat cantik.
“Kita kena makan semua benda sikit-sikit. Kadang orang kata tidak boleh makan telur sebab ada kolestrol tetapi telur banyak nutrisi,” jelasnya panjang.
Tambahnya, waktu tidur juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan berat badan dan kesihatan dalaman.
“Badan kita ada hormon, 10 malam sehingga 4 pagi adalah waktu cantik untuk tidur kerana hormon nak ubah suai badan.
“Kalau tidak tidur dalam masa tersebut, badan kita akan simpan lemak dan menyebabkan berat badan kita bertambah. Allah dah cipta badan kita cantik, kita sahaja yang gatal tidak tidur ikut masa,” katanya berseloroh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.