
Baru-baru ini, salah satu jenama terkenal, Stanley yang mencetuskan fenomena popular Stanley Cups, kini seolah-olah memberi bayangan tentang kolaborasi eksklusif bersama bintang global, Jennie BLACKPINK.
Pada 10 September lalu, Stanley telah memuat naik sebuah video pendek di media sosial yang menampilkan rekaan cawan berwarna hitam dengan motif bunga yang elegan sehingga membuatkan para peminat BLACKPINK, iaitu BLINK mula membuat spekulasi ia merujuk kepada kerjasama istimewa bersama Jennie.
“Ruby, kelopak, ikon global. 12 September akan mengungkap semuanya,” jelas Stanley di ruangan kapsyen
Untuk pengetahuan, Jennie atau nama sebenarnya Kim Jennie (29) memang tidak asing lagi dengan produk Stanley. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat kerap melihatnya memegang Stanley Cups dalam pelbagai acara, termasuk ketika sesi siaran langsung dan aktiviti santai bersama rakan-rakan.
Apa yang lebih menarik, Jennie turut mencuri perhatian apabila berpose dengan Stanley Cups berwarna kuning semasa siri konsert jelajah dunia BLACKPINK Deadline baru-baru ini. Aksi itu seakan memberi bayangan tentang hubungan eratnya bersama jenama gaya hidup popular berkenaan.
Jika kerjasama yang hangat diperkatakan di media sosial benar, kolaborasi ini sekaligus menandakan satu lagi pencapaian penting buat Jennie, yang bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan rapper, tetapi juga ikon fesyen serta trendsetter di peringkat global.
Sementara itu, pengumuman rasmi yang dijadualkan pada 12 September kini menjadi antara momen yang paling dinantikan peminat di seluruh dunia, khususnya BLINK yang tidak sabar untuk mengetahui hasil kerjasama ini.
Dengan populariti Stanley Cups yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda masa kini, ditambah pula dengan pengaruh besar Jennie dalam dunia fesyen dan gaya hidup, kolaborasi ini dijangka mencetuskan fenomena baharu dalam budaya pop global.
Kini, para peminat hanya perlu menunggu detik pengumuman rasmi untuk melihat sama ada Jennie benar-benar bakal menjadi wajah utama kolaborasi terbaharu Stanley ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.