Isu gaji rendah bukan lagi topik baharu dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda. Walaupun kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 baru-baru ini, ramai berpendapat ia sekadar ‘plaster sementara’ kepada masalah yang jauh lebih besar.
Bekas Gabenor Bank Negara, Muhammad Ibrahim tampil menyuarakan pandangan yang mengundang perhatian ramai apabila menyatakan bahawa gaji graduan universiti sepatutnya berada dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000, jika diselaraskan dengan kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus.
Realiti Graduan Hari Ini
Hakikatnya, menurut beliau, graduan baharu ketika ini hanya memperoleh antara RM2,000 hingga RM3,000, itu pun jika bernasib baik. Lebih membimbangkan, beliau mendedahkan bahawa gaji sebenar rakyat Malaysia telah merosot hampir tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad lalu.
Sebagai perbandingan, beliau menyatakan bahawa gaji RM2,000 hingga RM3,000 hari ini hanya sedikit lebih tinggi daripada RM1,300 yang diterimanya pada tahun 1984.
Malah, julat gaji RM7,000 hingga RM8,000 yang dicadangkannya itu sebenarnya bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada era 1980-an.
Netizen: “Tak Terkejut Pun…”
Rata-rata netizen menganggap pendedahan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Ada yang berpendapat gaji sukar meningkat kerana kebanyakan syarikat terlalu berkira dalam soal perbelanjaan.
Ads
Seorang lagi pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana mereka yang tinggal di Lembah Klang mampu bertahan dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, apatah lagi dengan kos sewa, pengangkutan dan makanan yang semakin meningkat. Tidak hairanlah semakin ramai terpaksa melakukan kerja sambilan untuk menampung kos sara hidup.
Majikan Pernah Bantah Kenaikan Gaji Minimum
Tidak lama dahulu, cadangan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 turut menerima tentangan daripada Malaysian Employers Federation (MEF).
Ketika itu, MEF menyatakan bahawa perniagaan belum bersedia melaksanakan kadar baharu susulan kerugian yang dialami akibat pandemik Covid-19. Mereka juga berhujah bahawa kenaikan gaji boleh meningkatkan kos barangan, perkhidmatan serta kos operasi, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana.
Bagaimanapun, awal tahun ini MEF akhirnya menyokong kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dengan alasan ia mampu membantu majikan menarik dan mengekalkan bakat, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Ads
Terperangkap Dalam ‘Middle-Income Trap’
Menurut Muhammad Ibrahim, Malaysia sudah lama terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana. Beliau menegaskan bahawa negara memerlukan rombakan menyeluruh terhadap sistem pendidikan dan struktur ekonomi.
Antara punca utama yang dikenal pasti ialah kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, kegagalan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi serta sistem pendidikan dan latihan kemahiran yang ketinggalan zaman.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila rakyat Malaysia sendiri berhijrah ke luar negara demi gaji lebih lumayan, walaupun terpaksa melakukan pekerjaan buruh.
“Jika Malaysia gagal mentransformasikan struktur ekonominya, kita berisiko menjadi pengeksport tenaga buruh dan bukannya bakat. Suatu hari nanti, anak-anak kita mungkin bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara dan saya tidak akan terkejut jika ia berlaku.”
An Asian woman is counting Malaysian Ringgit (RM), RM10 and RM1 bank notes
Negara Lain Sudah Jauh Ke Hadapan
Beliau turut memberi contoh negara seperti China, Taiwan, South Korea dan Japan yang suatu ketika dahulu berada di belakang Malaysia dari segi pendapatan per kapita pada era 1960-an.
Namun hari ini, negara-negara tersebut telah jauh meninggalkan Malaysia hasil strategi pertumbuhan yang dirancang secara konsisten selama beberapa dekad.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak seharusnya menanda aras dengan ekonomi ASEAN yang lebih lemah. Sebaliknya, negara perlu menyasarkan ekonomi berprestasi tinggi serta memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Harian, Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Legenda bola sepak dunia, Lionel Messi secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa pada usia 39 tahun, sekali gus menamatkan perjalanan luar biasa selama dua dekad bersama skuad kebangsaan Argentina.
Messi menerusi perkongsian di media sosial pada Isnin mengesahkan keputusan tersebut selepas merekodkan 207 penampilan dan 125 gol bersama La Albiceleste sejak melakukan debut pada tahun 2005.
Keputusan itu menyaksikan Messi meninggalkan skuad Argentina sebagai pemain dengan jumlah penampilan dan jaringan terbanyak dalam sejarah negara berkenaan.
Lebih istimewa, perjalanan antarabangsa Messi turut dihiasi kejayaan menjulang trofi Piala Dunia 2022 serta dua kejuaraan Copa América pada tahun 2021 dan 2024.
Beri Peluang Kepada Generasi Baharu
Dalam ucapan perpisahannya, Messi mengakui keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan bukan sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu merasakan sudah tiba masanya untuk memberikan ruang kepada generasi baharu Argentina mengambil alih tanggungjawab dalam pasukan.
Sepanjang dua dekad menyarung jersi Argentina, Messi menegaskan dirinya telah memberikan segala-galanya kepada negara dan matlamatnya sejak awal hanyalah untuk memberikan kegembiraan kepada penyokong serta membuatkan rakyat Argentina berbangga menerusi bola sepak.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga, penyokong, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan tersebut.
“Saya pergi dengan tenang dan penuh rasa bangga,” tulis Messi.
Selepas ini, Messi berkata dia akan menjadi salah seorang penyokong Argentina yang menyaksikan perjuangan pasukan tersebut dari luar padang.
Messi turut mendedahkan ucapan persaraannya sebenarnya sudah ditulis pada 21 Julai lalu, dua hari selepas aksi final Piala Dunia 2026, namun memilih untuk tidak menerbitkannya ketika itu.
Pemergian bapanya, Jorge Messi pada 8 Ogos lalu kemudian mengukuhkan lagi keputusannya bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan karier antarabangsa.
Jorge merupakan antara individu terpenting dalam perjalanan karier Messi sejak kecil dan turut bertindak sebagai wakilnya selama bertahun-tahun.
Messi percaya Argentina kini mempunyai ramai pemain muda berbakat yang bersedia memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad kebangsaan.
Final Piala Dunia 2026 Jadi Aksi Terakhir
Aksi terakhir Messi bersama Argentina adalah pada final Piala Dunia 2026 apabila pasukan itu tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol selepas perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.
Kekalahan tersebut menyaksikan Argentina terlepas peluang mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi mereka di Qatar empat tahun sebelumnya.
Dilahirkan di Rosario pada 24 Jun 1987, Messi melakukan penampilan sulung bersama skuad senior Argentina ketika berusia 18 tahun menentang Hungary pada 2005.
Pemilik Rekod Lapan Ballon d’Or
Selain kejayaannya bersama Argentina, Messi merupakan pemilik rekod lapan anugerah Ballon d’Or.
Di peringkat kelab, dia mencipta era gemilang bersama Barcelona sebelum menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021 dan berhijrah ke Inter Miami pada 2023.
Walaupun perjalanan bersama Argentina sudah berakhir, Messi masih akan meneruskan karier di peringkat kelab bersama Inter Miami selepas menandatangani lanjutan kontrak sehingga musim Major League Soccer (MLS) 2028.
Selepas 207 penampilan, 125 gol, dua Copa América dan sebuah trofi Piala Dunia, persaraan Messi menutup salah satu bab paling ikonik dalam sejarah bola sepak antarabangsa.
Daripada seorang remaja berusia 18 tahun yang melakukan debut pada 2005 kepada kapten yang akhirnya menjulang Piala Dunia, nama Lionel Messi kekal sebagai antara figura terbesar yang pernah menyarung jersi Argentina.
Sumber : The Nation
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, penyanyi dan chef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan bahawa mahligai perkahwinannya yang dibina selama 18 tahun sudah runtuh sejak beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, Fazley dalam satu kenyataan menjelaskan beliau dan Azrena Soraya Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Azrene Ahmad telah sah bercerai dan bekas isterinya itu sudah selesai menjalani tempoh iddah beberapa bulan lalu.
“Keputusan untuk bercerai telah diambil atas persetujuan bersama selepas 18 tahun bergelar suami isteri dan saya sendiri telah memfailkan penceraian.”
Kredit: Instagram Fazley Yaakob
“Semoga dengan adanya pengumuman ini, tidak akan ada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini.”
Walau bagaimanapun, menurut Fazley (46) keduanya masih mengekalkan hubungan baik sesama mereka mereka seperti waktu mula-mula berkenalan dahulu.
Kredit: Instagram Fazley Yaakob
Selain dari itu, keempat-empat anak mereka juga difahamkan kini berada dalam penjagaan bersama.
Sekadar info, Fazley dan Azrene telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu iaitu Ahmad Fariedz Shah (15), Ahmad Fieradz Shah (14), Ahmad Fierudz Shah (13) dan Alayna Selma (7).
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sungguh menginspirasikan apabila seorang remaja berusia 14 tahun, Muhammad Asri Rosli baru-baru ini menerima pingat Hang Tuah sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 atas keberaniannya menyelamatkan rakan yang terkena renjatan elektrik pada 2 Oktober lalu.
Menurut Asri, dia mengakui teruja, gembira dan terharu yang bercampur-baur disaat menerima anugerah tersebut serta sempat berkongsi kisah ketika kejadian tersebut berlaku.
Katanya, pada ketika kejadian itu berlaku, dia sedang bermain sepak takraw bersama rakan di sekolah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.
“Masa saya dan rakan nak ambil bola, saya nampak dia memegang besi dalam keadaan bergetar. Saya tarik dia beberapa kali sebelum tangannya terlepas dari besi. Saya terus peluk dia dan rasa ada aliran elektrik pada badannya”
“Kemudian, saya terus bawa dia ke bilik guru pendidikan jasmani,” katanya.
Dalam pada itu, ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci, Zuraini Harun (49) turut meluahkan rasa bangga dengan tindakan anak keenam daripada lapan beradik itu. Jelasnya, Asri dilahirkan kembar tiga dan antara ketiga-tiga mereka, anaknya itu paling banyak mengalah dan bijak.
“Apa yang dia buat (menyelamatkan rakan) amat membanggakan kami sekeluarga,” ujar Zuraini.
Bercakap mengenai penerimaan pingat anugerah berkenaan, Muhammad Asri membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi.
Sementara itu, pada majlis yang sama, tujuh anugerah diumumkan merangkumi Anugerah Pingat Hang Tuah, Anugerah Khas Kanak-Kanak, Anugerah Gemilang Akademik, Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Keseniaan, Anugerah Gemilang OKU, Anugerah Gemilang Sukan dan Anugerah Khas NGO Kanak-Kanak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!